Ubat antiviral untuk pencegahan penularan virus hepatitis B dari ibu ke anak di kalangan wanita hamil yang hidup dengan kedua-dua human immunodeficiency virus dan virus hepatitis B

Soalan ulasan

Bolehkah ubat kombinasi antiviral antenatal (diberikan semasa mengandung) mencegah penularan virus hepatitis B dari ibu ke bayi di kalangan wanita hamil yang menghidap kedua-dua human immunodeficiency virus (HIV) dan virus hepatitis B (HBV)?

Mesej utama

Bukti daripada lima kajian klinikal rawak yang kecil menunjukkan tiada kesan yang berfaedah mahupun kesan yang memudaratkan ubat kombinasi antiviral yang mengandungi tenofovir berbanding dengan zidovudine sahaja atau ubat antiviral yang tidak mengandungi tenofovir, di kalangan wanita hamil yang menghidap kedua-dan HIV dan HBV, diukur dengan kematian bayi akibat sebarang sebab, atau kejadian buruk yang serius pada bayi dan ibu.

Hanya satu kajian melaporkan kematian bayi akibat sebarang sebab atau kejadian buruk yang serius pada bayi manakala hanya dua kajian melaporkan kejadian buruk yang serius pada ibu.

Walaupun kajian ini menunjukkan bahawa rejimen kombinasi antiviral yang berasaskan tenofovir boleh meningkatkan bilangan bayi dengan kejadian buruk yang serius, keputusan ini adalah sangat diragui disebabkan kekurangan kajian (iaitu hanya satu ditemui) dan bilangan peserta yang rendah.

Apakah itu jangkitan bersama HBV-HIV semasa kehamilan?

Jangkitan bersama HBV-HIV semasa kehamilan adalah apabila terdapatnya kedua-dua jangkitan dalam seseorang individu yang sedang hamil. Apabila kedua-dua jangkitan wujud bersama dalam seseorang individu, HIV secara aktif merangsang perkembangan penyakit hepatitis B menjadi lebih teruk. Apabila seseorang wanita hamil hidup dengan kedua-dua HBV dan HIV, rawatan HBV sahaja, tanpa merawat HIV yang juga dihidapinya, mungkin membawa kepada kemunculan jenis HIV yang kalis terhadap ubat-ubatan anti-HIV.

Bagaimanakah jangkitan bersama HBV-HIV semasa kehamilan dirawat?

Jangkitan bersama HBV-HIV semasa kehamilan boleh dirawat dengan rejimen kombinasi antiviral berasaskan tenofovir (ubat-ubatan). Ubat-ubatan boleh terdiri daripada tenofovir sahaja atau digabungkan dengan lamivudine, atau emtricitabine, atau zidovudine, atau mana-mana ubat antiviral yang lain.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan antenatal ubat kombinasi antiviral yang mengandungi tenofovir (ubat-ubatan diberikan semasa kehamilan) adalah lebih baik daripada plasebo, atau tenofovir sahaja, atau mana-mana ubat antiviral yang tidak mengandungi tenofovir (sama ada secara tunggal atau digabungkan dengan sekurang-kurangnya dua), untuk memperbaik semua punca kematian bagi kedua-dua bayi dan ibu, penularan jangkitan HBV dari ibu ke bayi, ibu dengan DNA HBV yang boleh dikesan (bahan keturunan hepatitis B) sebelum bersalin, atau serokonversi hepatitis B ibu (pulih daripada hepatitis B) sebelum bersalin di kalangan wanita hamil yang hidup dengan kedua-dua HIV dan HBV.

Kami juga ingin mengetahui sama ada penggunaan antenatal ubat kombinasi antiviral yang mengandungi tenofovir (ubat-ubatan diberikan semasa kehamilan) berbanding dengan plasebo, atau tenofovir sahaja, atau mana-mana ubat antiviral yang tidak mengandungi tenofovir (sama ada secara tunggal atau digabungkan dengan sekurang-kurangnya dua), berkait dengan sebarang kesan yang tidak diingini pada bayi dan ibu.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian klinikal rawak (kajian di mana peserta diagihkan kepada kumpulan secara kebetulan) yang menilai faedah dan mudarat penggunaan antenatal ubat kombinasi antiviral yang mengandungi tenofovir (ubat-ubatan diberikan semasa kehamilan), berbanding dengan plasebo atau tenofovir sahaja, atau mana-mana ubat antiviral yang tidak mengandungi tenofovir (sama ada secara tunggal atau gabungan), untuk wanita hamil yang hidup dengan kedua-dua jangkitan HIV dan HBV. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami dapati?

Kami menjumpai lima kajian rawak yang melibatkan 533 wanita hamil yang menghidap kedua-dua HIV dan HBV yang disusuli sepanjang kehamilan dan proses bersalin, dengan bayi mereka disusuli sehingga dua tahun selepas kelahiran. Semua keputusan adalah tidak muktamad antara kumpulan. Bukti daripada lima kajian klinikal rawak yang kecil menunjukkan tiada kesan berfaedah mahupun memudaratkan ubat kombinasi antiviral yang mengandungi tenofovir berbanding dengan zidovudine sahaja, atau ubat antiviral yang tidak mengandungi tenofovir, pada wanita hamil yang menghidap kedua-dua HIV dan HBV, diukur dengan kematian bayi akibat sebarang sebab, atau kejadian buruk yang serius pada bayi dan ibu. Hanya satu kajian melaporkan kematian bayi akibat sebarang sebab atau kejadian buruk yang serius pada bayi, manakala hanya dua ujian melaporkan kejadian buruk yang serius pada ibu. Walaupun kajian ini menunjukkan bahawa rejimen kombinasi antiviral yang berasaskan tenofovir boleh meningkatkan bilangan bayi dengan kejadian buruk yang serius, keputusan ini adalah sangat diragui disebabkan kekurangan kajian (iaitu hanya satu ditemui) dan bilangan peserta yang rendah. Kami tidak menemui data mengenai hasil lain yang lain diinginkan. Tiada kajian menggunakan plasebo atau tenofovir sahaja. Semua kajian menerima sokongan daripada industri.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin terhadap bukti kerana bukan semua kajian memberikan data tentang kesemua yang kami ingini. Tidak jelas sama ada peserta kajian mengetahui rawatan manakah yang telah mereka terima. Tambahan lagi, tidak terdapat kajian yang memadai untuk memastikan hasil keputusan kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat 30 Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information