Mesej utama
Intervensi psikologi diwujudkan untuk membantu pesakit mengubah cara pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka.
Kami berpendapat bahawa intervensi psikologi mungkin lebih baik daripada rawatan biasa untuk membantu penghidap fibrosis sista (CF) dalam pengambilan rawatan sedutan, dan berkemungkinan hanya menyebabkan sedikit atau tiada kesan buruk (seperti kebimbangan atau kemurungan) apabila dinilai semula pada jangka masa enam hingga 12 bulan selepas memulai rawatan.
Kami tidak pasti sama ada temu duga bermotivasi (MI) adalah lebih baik atau tidak jika dibandingkan dengan pendekatan pendidikan berserta pendekatan penyelesaian masalah (EPS) dalam membantu penghidap CF untuk mengambil rawatan sedutan mereka.
Latar belakang
CF adalah keadaan genetik yang kronik, yang kebiasaannya dikenalpasti semasa bayi dilahirkan melalui saringan awal bayi baru lahir. Penghidap CF mengalami jangkitan kuman paru-paru berulang kali akibat daripada pengumpulan lendir (atau kahak) yang tebal dan melekit dalam paru-paru dan sistem pencernaan mereka. Rawatan sedutan kebiasaannya diberi sama ada untuk menipiskan kahak (memudahkan kahak untuk dikeluarkan atau dibatuk keluar), atau untuk merawat dan mengawal pembiakan bakteria di dalam paru-paru (untuk mengurangkan jangkitan).
Pesakit yang menghidap sebarang penyakit kronik akan mempunyai masalah untuk mematuhi rawatan-rawatan yang diberikan dengan patuh, dan penghidap CF tidak terkecuali daripada situasi ini.
Apakah yang kami ingin tahu?
Adakah intervensi psikologi boleh membantu penghidap CF untuk patuh kepada pengambilan rawatan sedutan mereka, dan adakah terdapat sebarang kesan bahaya atau yang tidak diingini disebabkan oleh intervensi seumpama ini (contohnya kebimbangan atau kemurungan)?
Teknik manakah (cth penetapan matlamat, penyelesaian masalah) yang paling berkesan untuk membantu penghidap CF mengambil rawatan sedutan mereka?
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan pelbagai jenis intervensi psikologi, atau membandingkan intervensi itu dengan rawatan biasa, untuk membantu penghidap CF apapun umurnya untuk mengambil rawatan sedutan mereka.
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dijalankan.
Apa yang kami temui?
Kami memasukkan 10 kajian dengan 1642 penghidap CF (kira-kira 54.3% adalah wanita). Empat kajian melibatkan kanak-kanak dan remaja; lima kajian melibatkan dewasa; dan satu kajian melibatkan kedua-dua golongan. Sembilan kajian membandingkan intervensi psikologi dengan rawatan biasa, dan satu kajian membandingkan dua jenis intervensi psikologi (MI berbanding EPS). Pesakit (atau dalam satu kajian, pusat CF) dipilih secara rawak untuk satu kumpulan atau yang lain. Pesakit disusuli dari enam ke lapan minggu dan 23 bulan.
Intervensi psikologi adalah pelbagai. Mereka memasukkan satu intervensi yang menggabungkan teknologi digital (laman web atau aplikasi) dengan sokongan daripada kakitangan kesihatan terlatih. Intervensi psikologi melibatkan pelbagai jenis teknik, penyelesaian masalah dan pemberian arahan tentang cara pengambilan rawatan adalah teknik yang paling kerap diamalkan.
Keputusan utama
Intervensi psikologi mungkin lebih baik daripada rawatan biasa dalam membantu penghidap CF mengambil rawatan sedutan mereka, dan mungkin menyebabkan sedikit atau tiada sebarang bahaya (cth. kebimbangan atau kemurungan) apabila diukur enam hingga 12 bulan selepas rawatan. Intervensi psikologi juga boleh menambahbaik tanggapan terhadap bebanan rawatan (dinilai berdasarkan kajian soal selidik tentang kualiti hidup (QoL). Tiada bukti perbezaan di antara kumpulan dari segi fungsi paru-paru (ukuran seberapa baik fungsi paru-paru seseorang), bilangan jangkitan paru-paru, atau tanggapan gejala paru-paru (sekali lagi dinilai berdasarkan kajian soal selidik QoL).
Kami tidak pasti sama ada MI adalah lebih baik atau lebih teruk daripada EPS dalam membantu penghidap CF untuk mengambil rawatan sedutan mereka, menambahbaik fungsi paru-paru atau QoL, atau mengurangkan jangkitan paru-paru pada penghidap CF. Kajian yang dimasukkan tidak melihat sama ada MI atau EPS menyebabkan kemudaratan (cth. kebimbangan atau kemurungan).
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti untuk intervensi psikologi lebih baik atau lebih teruk daripada penjagaan biasa berkisar dari rendah hingga sederhana. Kajian terbesar memasukkan intervensi psikologi (yang mempunyai keputusan antara enam dan 12 bulan selepas rawatan dimulakan) tertumpu pada orang dewasa dengan CF (berumur 16 tahun dan ke atas), sedangkan soalan yang ingin kami jawab adalah lebih luas (iaitu kami tidak pasti sama ada keputusan akan sama pada kanak-kanak). Kajian besar yang mempunyai tempoh susulan yang lebih lama (cth. 12 bulan) adalah diperlukan untuk kanak-kanak penghidap CF. Adalah mungkin kerana orang yang melengkapkan penilaian hasil mengetahui kumpulan mereka berada, ini mungkin menjejaskan keputusan untuk QoL, kebimbangan dan kemurungan.
Kami tidak yakin dengan bukti yang membandingkan MI dengan EPS. Satu-satunya kajian yang memeriksa ini menyertakan sebilangan kecil orang dewasa, jadi kami tidak dapat memastikan sama ada keputusannya akan sama pada kanak-kanak atau dalam kumpulan yang lebih besar. Kami tidak pasti sama ada peserta dimasukkan ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza secara benar-benar rawak, jadi perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh perbezaan antara orang dan bukannya rawatan. Kami juga tidak pasti tentang orang yang meninggalkan kajian lebih awal dan bagaimana ini boleh menjejaskan keputusan. Kami juga berpendapat bahawa kerana orang yang melengkapkan penilaian hasil mengetahui kumpulan mana mereka berada, ini mungkin menjejaskan keputusan QoL.
Bukti semasa mengenai teknik (cth. penetapan matlamat, penyelesaian masalah) yang paling berkesan untuk membantu penghidap CF mengambil rawatan sedutan mereka adalah terhad. Kajian masa depan harus memberikan lebih banyak perincian tentang teknik yang digunakan dalam intervensi.
Sejauh manakan bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini hingga 7 Ogos 2022.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).