Perencat rho kinase untuk glaukoma sudut terbuka primer dan hipertensi okular

Soalan

Apakah manfaat dan risiko ubat titis mata perencat rho kinase dalam merawat penghidap glaukoma atau tekanan mata yang tinggi?

Mesej utama

Ubat titis mata anti glaukoma seperti latanoprost dan timolol mungkin mengurangkan tekanan mata dengan lebih banyak berbanding rawatan dengan perencat rho kinase, tetapi perbezaan dengan timolol adalah kecil. Apabila perencat rho kinase digabungkan dengan jenis ubatan lain, tekanan mata mungkin dikurangkan dengan lebih banyak. Mereka yang dirawat dengan perencat rho kinase mengalami lebih banyak kejadian buruk (kesan sampingan) berbanding dengan rawatan lain. Penyelidikan pada masa hadapan dalam bidang ini patut memberikan tumpuan terhadap laporan mengenai perkembangan penyakit (bagaimana glaukoma boleh melarat dengan masa).

Apa itu glaukoma?

Glaukoma adalah penyakit mata yang mengancam penglihatan sehingga boleh menyebabkan buta jika tidak dirawat. Terdapat pelbagai jenis glaukoma dan glaukoma yang paling biasa dipanggil glaukoma sudut terbuka primer. Tekanan mata yang tinggi adalah faktor risiko yang diketahui untuk mendapat glaukoma.

Rawatan perubatan untuk glaukoma

Terdapat pelbagai jenis ubat titis mata yang boleh digunakan untuk merawat glaukoma. Semua rawatan perubatan untuk glaukoma berfungsi dengan mengurangkan tekanan mata. Latanoprost dan timolol adalah dua ubatan glaukoma, dan sejenis ubatan baru untuk glaukoma dikenali sebagai perencat rho kinase.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengkaji sama ada keberkesanan dan keselamatan ubat titis mata perencat rho kinase adalah lebih baik atau lebih teruk daripada ubatan lain.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan:

- perencat rho kinase dengan plasebo (rawatan tanpa kesan terapeutik);

- perencat rho kinase dengan lain-lain jenis ubatan glaukoma (latanoprost dan timolol).

Tarikh pencarian

Kami membuat pencarian dalam pangkalan data perubatan pada 11 Disember 2020.

Apa yang telah kami temui?

Kami menemui 17 kajian melibatkan 4953 orang berumur sekurang-kurangnya 18 tahun yang telah didiagnosa menghidap glaukoma sudut terbuka primer atau tekanan mata yang tinggi dan telah dirawat dengan perencat rho kinase. Kajian-kajian merangkumi tempoh rawatan antara 24 jam hingga 12 bulan. Kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun. Daripada kajian-kajian itu, 16 telah dibiayai oleh syarikat farmaseutikal dan satu kajian tidak memberikan maklumat tentang sumber pembiayaan. Kesan rawatan telah ditaksir dengan mengukur tekanan mata dan menilai kejadian buruk akibat rawatan.

Kajian tidak melaporkan data mengenai perkembangan penyakit, tetapi melaporkan data tentang penurunan tekanan dalam mata dan kejadian buruk. Rawatan dengan latanoprost mungkin lebih baik daripada perencat rho kinase. Rawatan dengan timolol mungkin sedikit lebih baik daripada rawatan dengan perencat rho kinase. Tambahan pula, rawatan dengan kedua-dua perencat rho kinase dan latanoprost atau timolol mungkin mengurangkan tekanan mata dengan lebih banyak. Secara keseluruhan, kajian-kajian telah melaporkan kejadian buruk dengan sangat berbeza. Lebih ramai orang yang dirawat dengan perencat rho kinase mungkin telah mengalami kejadian buruk yang berkaitan dengan mata mereka; namun kami tidak begitu pasti dengan penemuan ini. Tiada kejadian buruk yang serius dilaporkan untuk rawatan dengan perencat rho kinase.

Limitasi utama bukti

Kajian tidak melaporkan kesemua hasil yang kami ingin ketahui. Kajian bertumpu kepada keputusan khusus seperti tekanan mata dan kejadian buruk, sedangkan kami ingin menjawab persoalan yang lain juga. Bukti terkini adalah berdasarkan beberapa kajian. Beberapa kajian telah dijalankan dengan cara yang mungkin menyebabkan ketidaktepatan dalam keputusannya. Kajian adalah berbeza dalam kaedah mengukur hasil kajian dan oleh itu mungkin tidak setanding antara satu sama lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Hull). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information