Mesej-mesej utama
• Kami tidak tahu sama ada suntikan plasma kaya platelet (PRP) di dalam rahim lebih baik daripada tiada rawatan atau rawatan palsu dari segi kelahiran hidup (atau kehamilan yang berterusan), keguguran, kehamilan klinikal, kehamilan kembar, atau kehamilan ektopik. Suntikan PRP di dalam rahim boleh meningkatkan risiko kelahiran pramatang. Kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang kemungkinan kesan PRP yang tidak diingini yang lain.
• Kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang penggunaan suntikan PRP di dalam ovari.
• Memandangkan kami tidak yakin dengan keputusannya, kami memerlukan lebih banyak penyelidikan yang berkualiti tinggi untuk melihat sama ada penggunaan PRP bermanfaat dan selamat bagi wanita yang cuba hamil melalui pembiakan terbantu.
Apakah itu plasma kaya platelet dan bagaimana ia dapat membantu wanita untuk hamil?
Plasma kaya platelet (PRP) terdiri daripada plasma (bahagian cecair darah) dan kepekatan platelet yang tinggi (sel-sel yang mengakibatkan pembekuan darah). Ia dihasilkan daripada keseluruhan darah pesakit yang dirawat. PRP mengandungi faktor pertumbuhan yang merangsang pembaikan tisu manusia, terutamanya dalam tisu yang sembuh dengan perlahan. Sesetengah pakar percaya bahawa PRP boleh membantu ovari bertindak balas dengan lebih baik terhadap rangsangan ovari (rawatan hormon yang diberikan untuk meningkatkan jumlah telur yang dikeluarkan), dan dapat membantu endometrium (lapisan rahim) bertindak balas dengan lebih baik terhadap implantasi embrio. Dengan cara ini, PRP dapat membantu wanita yang menjalani pembiakan terbantu untuk hamil.
Apakah yang telah kami temui?
Kami ingin mengetahui sama ada PRP lebih baik daripada tiada rawatan, plasebo (rawatan palsu), atau rawatan yang lain untuk memperbaiki:
• kemungkinan kelahiran hidup atau hamil yang berterusan (degupan jantung janin selepas 12 minggu kehamilan); dan
• kemungkinan hamil klinikal (degupan jantung janin pada tujuh minggu kehamilan).
Kami juga ingin mengetahui sama ada PRP mempengaruhi risiko:
• keguguran;
• sakit, jangkitan, atau tindak balas alahan;
• kehamilan berganda (kembar dua, kembar tiga, dll.);
• kehamilan ektopik (apabila embrio implan di luar rahim);
• sekatan pertumbuhan janin;
• kelahiran pramatang (sebelum 37 minggu kehamilan); dan
• keabnormalan janin.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan PRP tanpa rawatan, plasebo, atau rawatan yang lain pada wanita yang tidak subur yang menjalani pembiakan terbantu. Kami telah membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian. Kami berminat terutamanya dengan keputusan kajian yang direka dengan baik, jadi kami menganalisis kajian-kajian tersebut secara berasingan.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 12 kajian yang melibatkan 1069 wanita. Sembilan kajian membandingkan suntikan PRP di dalam rahim tanpa rawatan atau plasebo. Dua kajian membandingkan suntikan PRP di dalam rahim dengan suntikan faktor perangsang koloni granulosit (G-CSF) di dalam rahim. Satu kajian membandingkan suntikan PRP di dalam ovari tanpa rawatan.
Keputusan utama
Suntikan plasma kaya platelet di dalam rahim berbanding tanpa rawatan
Terdapat hanya satu kajian yang direka dengan baik dalam perbandingan ini. Ia memberikan bukti yang tidak mencukupi untuk menunjukkan sama ada PRP lebih baik daripada tiada rawatan dari segi kadar kelahiran hidup, keguguran, kehamilan klinikal, atau kehamilan ektopik. Kajian menunjukkan bahawa jika kemungkinan kelahiran hidup selepas tiada rawatan adalah 17.4%, maka kemungkinan selepas suntikan PRP adalah 7% hingga 40%; dan jika risiko keguguran selepas tiada intervensi adalah 4%, maka risiko selepas suntikan PRP adalah 1% hingga 24%.
Berdasarkan analisis semua kajian, kami tidak tahu sama ada suntikan PRP di dalam rahim adalah lebih baik daripada tiada rawatan atau plasebo dari segi kelahiran hidup (atau kehamilan yang berterusan), keguguran, kehamilan klinikal, kehamilan kembar, atau kehamilan ektopik. Suntikan PRP di dalam rahim boleh meningkatkan risiko kelahiran pramatang.
Tiada kajian yang melaporkan kesan rawatan lain yang tidak diingini.
Suntikan plasma kaya platelet di dalam rahim berbanding suntikan faktor perangsang koloni granulosit di dalam rahim
Tiada kajian dalam perbandingan ini direka dengan baik. Berdasarkan keputusan kajian ini, kami tidak tahu sama ada suntikan PRP di dalam rahim lebih baik daripada suntikan G-CSF di dalam rahim dari segi kelahiran hidup (atau kehamilan yang berterusan), keguguran, dan kehamilan klinikal. Tidak ada kajian yang melaporkan peristiwa yang tidak diingini selain daripada keguguran.
Suntikan plasma kaya platelet di dalam ovari berbanding tiada rawatan
Kajian yang menilai perbandingan ini tidak direka dengan baik. Kami tidak pasti mengenai kesan PRP ovari terhadap kehamilan yang berterusan dan kehamilan klinikal. Kajian tidak melaporkan kelahiran hidup atau sebarang peristiwa yang tidak diingini.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin dengan bukti tersebut, kerana:
• beberapa kajian memberi tumpuan kepada populasi tertentu, dan soalan yang ingin kami jawab adalah lebih luas;
•
beberapa kajian adalah kecil;
• kebanyakan kajian tidak direka dengan baik; dan
• hasil daripada kajian yang berbeza kadang-kadang tidak konsisten.
Pembaca perlu menafsir keputusan penemuan kami dengan berhati-hati. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan penemuan.
Sejauh manakan bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi).