Mesej utama
– Terapi tingkah laku kognitif (CBT) dengan atau tanpa senaman mungkin mengurangkan ketakutan jatuh dalam kalangan orang tua yang tinggal dalam komuniti, apabila diukur sebaik sahaja rawatan telah tamat. Penambahbaikan yang berterusan mungkin dapat dikekalkan dalam tempoh enam bulan selepas rawatan, dan tempoh ini mungkin akan berlangsung melebihi enam bulan.
– Akibat daripada intervensi ini, orang mungkin kurang cenderung untuk mengelakkan aktiviti selepas menjalani rawatan dan keparahan kemurungan mereka mungkin dapat dikurangkan.
–Tidak jelas sama ada kekerapan jatuh dikurangkan selepas rawatan.
– Kami tidak tahu sama ada terdapat sebarang kesan buruk (kemudaratan) yang disebabkan oleh CBT dengan dan tanpa senaman untuk mengurangkan rasa takut jatuh, kerana tiada kajian yang mengukur ini sebagai salah satu hasil mereka. Kami memerlukan lebih banyak kajian melihat kesan buruk.
Apakah itu ketakutan jatuh?
Ketakutan jatuh adalah kebimbangan yang berkekalan tentang jatuh yang membawa kepada seseorang mengelakkan aktiviti yang masih mampu dilakukannya. Ketakutan jatuh adalah perkara yang kerap dijumpai dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua. Mereka mungkin pernah diberi amaran oleh kakitangan kesihatan, keluarga dan sahabat handai tentang bahaya jatuh, serta mungkin telah menyaksikan secara langsung atau tidak langsung akibat jatuh. Hal Ini penting kerana sebanyak 34% orang dewasa yang lebih tua jatuh setiap tahun, dan sebanyak 5% mengalami patah tulang. Tambahan pula, mereka mungkin menyedari bahawa badan mereka tidak sekuat ketika mereka masih muda, menambah kebimbangan bahawa mereka mungkin tidak dapat melindungi diri mereka daripada jatuh, dan oleh itu, mesti mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan daripada jatuh. Orang yang takut jatuh boleh mengalami akibat secara fizikal, psikologi dan sosial. Oleh itu, menangani masalah ketakutan jatuh penting untuk mengurangkan kepincangan kognisi dan tingkah laku yang membawa kepada akibat ini.
Bagaimanakah penyakit ini dapat dirawat?
Terdapat beberapa pendekatan rawatan: antaranya, terapi tingkah laku kognitif (CBT) (iaitu, terapi bercakap yang membantu mengolah pemikiran dan tingkah laku), senaman (aktiviti fizikal yang terancang, berstruktur dan berulang-ulang untuk mengekalkan kesihatan badan), atau gabungan kedua-dua pendekatan di atas. Rawatan ini biasanya diberikan dalam tetapan kumpulan oleh ahli terapi terlatih.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada CBT dengan dan tanpa senaman dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua yang tinggal dalam komuniti (yang tinggal di tempat tanpa sokongan tambahan, seperti pusat kediaman dibantu) adalah lebih baik daripada penjagaan biasa atau rawatan tiruan dalam mengurangkan ketakutan jatuh. Kami juga ingin mengetahui pengaruh CBT dengan dan tanpa senaman terhadap pengelakan aktiviti, jatuh dan kemurungan, atau jika ianya mendatangkan sebarang mudarat.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari beberapa pangkalan data elektronik dan berunding dengan pakar untuk kajian yang membandingkan intervensi untuk mengurangkan ketakutan jatuh menggunakan CBT sahaja dan CBT dengan senaman.
Kami menggabungkan dan merumuskan keputusan merentas semua kajian itu. Kami menaksir tahap keyakinan kami terhadap mutu bukti berdasarkan faktor seperti reka bentuk kajian, kaedah dan bilangan peserta.
Apakah yang kami temui?
Kami mengenal pasti 12 buah kajian yang relevan, dan 11 kajian tersebut telah dianalisa secara statistik, melibatkan sejumlah 2383 orang peserta, dengan purata umur dalam julat usia 73 hingga 83 tahun. Jenis terapi (sama ada CBT atau rawatan semu) diberikan pada kadar kekerapan mulai tiga kali seminggu sehingga sekali sebulan, selama lapan sehingga 48 minggu. Secara keseluruhan, tempoh rawatan berlangsung antara enam sehingga 156 jam. Kebanyakan intervensi dilaksanakan secara berkumpulan antara lima sehingga 10 orang peserta, dan dalam salah satu kajian, sehingga seramai 25 orang. Matlamat utama 10 kajian tersebut adalah untuk mengurangkan rasa takut jatuh.
Keputusan utama
Kami mendapati bahawa CBT baik dengan mahupun tanpa gabungan senaman mungkin dapat mengurangkan ketakutan jatuh dalam kalangan orang tua yang tinggal dalam komuniti sebaik sahaja rawatan telah tamat. Penambahbaikan yang berterusan mungkin dapat dikekalkan dalam tempoh enam bulan selepas rawatan, dan tempoh ini mungkin akan berlangsung melebihi enam bulan. Selain itu, kami mendapati bahawa orang mungkin kurang berpeluang untuk mengelakkan aktiviti dan hal ini dapat mengurangkan tahap kemurungan mereka. Namun, masih belum jelas sama ada kekerapan jatuh bertambah baik selepas rawatan dijalankan.
Apakah batasan bukti?
Tahap keyakinan kami terhadap mutu bukti terhad kerana keputusan mungkin telah dipengaruhi oleh peserta dalam kajian yang sudah mengetahui jenis rawatan yang mereka terima, manakala kajian-kajian tersebut juga menggunakan kaedah yang berbeza untuk melaksanakan intervensi.
Untuk meningkatkan kepastian bukti, kami memerlukan lebih banyak kajian, dengan lebih banyak persamaan dalam cara mereka merawat dan mengukur ketakutan jatuh.
Sejauh manakah bukti ini adalah terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 11 Januari 2023.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).