Mesej utama
- Pembedahan untuk memindahkan bendalir yang berlebihan dari otak (penyalurpintasan cecair serebrospinal (CSF) mungkin memperbaik kelajuan berjalan dan mengurangkan kecacatan jangka pendek (pada titik masa kurang daripada enam bulan pasca pembedahan) dalam kalangan penghidap hidrosefalus bertekanan normal idiopatik (iNPH).
- Penyalurpintasan CSF tidak mengakibatkan kematian, dan pembedahan berulang jarang berlaku, tetapi kesan tidak diingini kerap dialami dalam kajian-kajian sedia ada yang ditaksir.
- Lebih banyak bukti mengenai kesan penyalurpintasan CSF terhadap kualiti hidup diperlukan.
Apakah itu hidrosefalus bertekanan normal idiopatik?
Hidrosefalus bertekanan normal (NPH) merupakan penyakit yang terjadi apabila struktur otak yang dipenuhi cecair normal (ventrikel) perlahan-lahan menjadi lebih besar dari semasa ke semasa (hidrosefalus), dan struktur otak di sekitarnya perlahan-lahan berubah sebagai gerak balas penyesuaian diri terhadap perubahan ini. Akhirnya, struktur otak kritikal terjejas lalu menyebabkan gejala seperti kesukaran berjalan, kesulitan berfikir serta masalah kawalan pundi kencing. Kadang-kadang terdapat penyebab yang jelas yang mengakibatkan pembesaran ventrikel, misalnya selepas kecederaan kepala, apabila darah 'menyumbat' rongga ventrikel. Walau bagaimanapun, dalam kalangan pesakit dewasa yang lebih tua (usia lebih dari 60 tahun), NPH berlaku tanpa sebarang penyebab yang jelas, yang dikenali sebagai hidrosefalus bertekanan normal 'idiopatik' (InPH).
Apakah yang kami ingin ketahui?
Sejak tahun 1965 terdapat laporan pesakit iNPH yang beransur baik apabila menjalani pembedahan pemasukan tiub ke dalam otak atau rongga saraf tunjang untuk memindahkan takungan bendalir serebrospinal (CSF) ke bahagian badan yang bertekanan lebih rendah seperti rongga perut atau atrium kanan jantung (penyalurpintasan CSF). Walau bagaimanapun, kebanyakan bukti yang menyokong penggunaan penyalurpintas CSF berkualiti rendah, dan pesakit yang telah menjalani penyalurpintasan CSF tidak dibandingkan secara langsung dengan kumpulan kawalan yang tidak menjalani penyalurpintasan CSF. Oleh itu, para pengamal perubatan belum mencapai kata sepakat berkenaan manfaat pembedahan salur pemintas CSF dalam rawatan iNPH. Kami ingin membandingkan kajian-kajian berkualiti tinggi yang sedia ada untuk mengetahui sama ada terdapat bukti yang menunjukkan bahawa penyalurpintasan CSF dapat memperbaik kebolehan berjalan (dari segi gaya berjalan), kecacatan, fungsi kognitif (pemikiran), fungsi kawalan pundi kencing, dan kualiti hidup. Kami juga ingin mengetahui sama ada penyalurpintasan CSF dikaitkan dengan sebarang kesan tidak diingini.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari dan membandingkan semua kajian di mana pesakit NPH diagihkan secara rawak sama ada ke rawatan penyalurpintasan CSF atau kawalan yang menjalani penyalurpintasan CSF tertunda atau pembedahan penyalurpintasan CSF di mana tetapan diset buat sementara waktu ke mod 'tidak aktif'. Kami hanya menyertakan pesakit NPH yang mengalami masalah berjalan, berfikir, atau masalah kawalan fungsi pundi kencing, yang tidak ada penyebab yang jelas hidrosefalus yang dihidap (iNPH).
Apakah yang kami temui?
Kami menyertakan empat kajian dalam ulasan ini, tetapi hanya data daripada tiga kajian tersebut dapat digunakan dalam analisa ini. Satu kajian yang amat besar dijalankan di Jepun, manakala tiga kajian yang lebih kecil dijalankan di Sweden, UK, dan sebagai suatu kajian kerjasama AS-Kanada-Sweden. Semua kajian hanya menyertakan pesakit iNPH (purata usia 75 tahun) yang mengalami kesukaran berjalan dengan atau tanpa masalah pemikiran dan kawalan pundi kencing. Peserta diperhatikan selama 6 hingga 12 bulan. Kajian yang disertakan melibatkan sejumlah 140 peserta (73 yang mempunyai pirau CSF aktif/segera dan 67 kawalan).
Apakah kesimpulannya?
Kelajuan berjalan mungkin bertambahbaik cepat dengan penyalurpintasan CSF jika dibandingkan dengan kawalan. Penyalurpintasan CSF boleh memperbaik fungsi berjalan, namun darjat pembaikan adalah tidak pasti. Penyalurpintasan CSF mungkin mendatangkan pembaikan besar dari segi kecacatan pesakit. Hanya 3.4 peserta yang perlu menjalani penyalurpintasan CSF untuk menjadikan 1 pesakit menjadi mandiri dari segi fungsional (iaitu mampu menjalankan aktiviti kehidupan seharian). Tidak jelas sama ada pembedahan penyalurpintasan CSF mempunyai kesan terhadap fungsi kognitif atau menyebabkan kesan sampingan. Tiada maklumat mengenai bagaimana CSF-shunting menjejaskan kualiti hidup.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap keputusan ulasan ini untuk kelajuan berjalan dan tahap kecacatan pesakit adalah sederhana. Keyakinan kami terhadap keputusan lain adalah rendah hingga sangat rendah. Kajian yang disertakan sangat kecil, dan ini bermakna bahawa lebih banyak kajian diperlukan untuk meningkatkan tahap keyakinan kami terhadap bukti tersebut. Oleh sebab reka bentuk kajian yang kami nilai, hanya terdapat sedikit maklumat tentang perbandingan antara kesan sampingan penyalurpintasan CSF dengan pendekatan tanpa bedah. Dalam kalangan peserta yang menjalani pembedahan salur pemintas CSF, 52% mengalami pelbagai kesan sampingan, tetapi keperluan untuk menjalani pembedahan ulang selepas menjalani salur pemintas jarang berlaku (8.9%), dan tidak ada kematian yang jelas berkaitan dengan pembedahan penyalurpintasan CSF. Strok berlaku lebih kerap daripada jangkaan dalam tempoh 12 bulan pasca pembedahan penyalurpintasan (8%); lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengesahkan hasil temuan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Februari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).