Adakah berhenti merokok menyebabkan penghidap penyakit jantung kurang berkemungkinan mendapat serangan jantung lagi?

Mesej utama

• Orang yang mempunyai penyakit jantung yang berhenti merokok berkemungkinan mengalami penurunan risiko dalam serangan jantung pada masa hadapan atau kejadian lain yang dikaitkan dengan jantung atau saluran darah, seperti strok.

• Orang yang menghidap penyakit jantung yang berhenti merokok tidak mungkin mempunyai kualiti hidup yang lebih teruk.

Merokok dan penyakit jantung

Merokok meningkatkan kemungkinan seseorang akan mendapat serangan jantung, namun terdapat kurang maklumat sama ada berhenti merokok boleh mengurangkan risiko serangan jantung kedua.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengetahui sama ada berhenti merokok selepas serangan jantung boleh mengurangkan kemungkinan mendapat serangan jantung lanjut atau jenis penyakit lain yang dikaitkan dengan jantung atau saluran darah. Jika berhenti merokok benar-benar mencegah penyakit selanjutnya ini boleh mendorong lebih ramai orang untuk berhenti merokok dan menggalakkan doktor dan jururawat untuk memberikan sokongan yang lebih aktif untuk membantu orang ramai berhenti merokok.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang berlangsung sekurang-kurangnya 6 bulan, dan memasukkan orang yang didiagnosis dengan penyakit jantung yang merokok semasa kajian dimulakan. Kajian juga perlu mengukur sama ada orang berhenti merokok atau tidak dan sama ada mereka mempunyai kejadian lain yang dikaitkan dengan jantung atau saluran darah mereka, seperti serangan jantung atau strok.

Tarikh carian: kami menyertakan kajian yang diterbitkan sehingga 15 April 2021.

Apa yang kami temui

Kami menemui 68 kajian dengan 80,702 orang. Kebanyakan kajian memasukkan lelaki dan wanita dewasa daripada populasi umum, bagaimanapun, 11 kajian hanya memasukkan lelaki. Kami melihat keputusan gabungan 60 kajian yang mengukur peristiwa yang dikaitkan dengan penyakit jantung dan 8 kajian yang mengukur kualiti hidup manusia dalam tempoh 6 bulan atau lebih.

Apakah keputusan ulasan kami?

Berbanding dengan orang yang terus merokok, orang yang berhenti merokok adalah satu pertiga kurang berkemungkinan untuk mati akibat penyakit jantung atau strok (bukti daripada 17,982 orang dalam 18 kajian) dan satu pertiga kurang berkemungkinan mendapat serangan jantung atau strok lagi (bukti daripada 20,290 orang dalam 15 kajian). Keyakinan kami terhadap keputusan ini adalah sederhana (kematian akibat penyakit jantung atau strok) dan rendah (kematian akibat penyakit jantung atau strok, serangan jantung lain atau strok lagi). Keyakinan kami terhadap kekuatan keputusan kami berkurangan kerana isu tentang cara beberapa kajian direka dan dijalankan. Walau bagaimanapun, apabila kami meneliti kajian dengan standard yang lebih tinggi, kami terus mendapati bahawa orang yang berhenti merokok kurang berkemungkinan mati akibat penyakit jantung atau strok. Ini menunjukkan bahawa walaupun kami mungkin tidak pasti tentang berapa besar pengurangan peluang untuk mati, orang yang berhenti merokok berkemungkinan mengurangkan peluang mereka untuk mati akibat penyakit jantung atau strok pada tahap tertentu. Kami menemui keputusan yang sama untuk penurunan kemungkinan kematian akibat sebarang sebab, mengalami serangan jantung lagi yang tidak membawa kepada kematian dan mengalami strok yang tidak membawa kepada kematian.

Kami juga mendapati bahawa orang yang berhenti merokok mempunyai cadangan peningkatan dalam kualiti hidup berbanding mereka yang terus merokok selepas didiagnosis dengan penyakit jantung.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information