Mesej utama
- Daripada kajian yang disertakan dalam ulasan ini, kami tidak pasti sejauh mana tiub pengudaraan dapat memperbaiki pendengaran. Gam telinga adalah keadaan yang berubah-ubah, dengan kadar resolusi spontan yang tinggi dan kondisi kejadian berulang, yang menjadikannya sukar untuk dikaji dalam kajian klinikal.
- Tiub pengudaraan mungkin dapat mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai masalah gam telinga selepas tiga hingga enam bulan susulan. Tidak jelas sama ada ia juga mempunyai kesan dalam jangka masa yang lebih lama.
- Memasukkan tiub pengudaraan boleh menyebabkan lubang yang kekal dalam gegendang telinga (penebukan membran timpanik), dalam kuantiti antara 0% hingga 12% daripada kajian yang kami nilai.
Apakah itu OME?
Gam telinga (atau 'otitis media dengan genangan bendalir dalam telinga', OME) adalah kondisi yang agak kerap menjejaskan kanak-kanak kecil. Bendalir yang bertakung di kawasan telinga tengah dapat menyebabkan gangguan pendengaran. Akibat pendengaran yang terjejas, kanak-kanak mungkin mengalami perkembangan lembab dari segi pertuturan dan mungkin menghadapi masalah pembelajaran di sekolah.
Bagaimanakah OME dirawat?
Selalunya, OME tidak memerlukan sebarang rawatan dan simptom akan menjadi lebih baik dengan masa. Dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap OME yang berterusan, pendekatan rawatan yang berbeza telah digunakan, termasuk penggunaan ubat-ubatan atau pembedahan (misalnya pemasukan grommet, sama ada disertai adenoidektomi atau tidak). Tiub pengudaraan (grommet) ialah tiub plastik atau silikon kecil, yang dimasukkan ke dalam gegendang telinga yang dilakukan di bawah pengaruh bius am. Tiub membenarkan cecair mengalir keluar dari telinga tengah dan membenarkan udara masuk.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengenal pasti sama ada pemasukan tiub pengudaraan adalah lebih baik daripada tiada rawatan, atau jenis rawatan lain (seperti ubat-ubatan atau alat bantuan pendengaran), untuk kanak-kanak yang menghidap OME. Kami juga ingin melihat sama ada terdapat sebarang kesan tidak diingini yang berkaitan dengan pemasangan tiub pengudaraan.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan tiub pengudaraan sama ada tanpa rawatan atau rawatan berbeza, pada kanak-kanak dengan OME. Kami membandingtarakan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut, dan menilai tahap keyakinan kami terhadap badan bukti berlandaskan faktor-faktor seperti perkaedahan kajian dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami menyertakan 19 kajian, dengan jumlah seramai 2888 peserta. Kami menganggap sebahagian besar bukti yang kami dapati adalah tidak pasti, kerana jumlah bilangan kanak-kanak yang agak sedikit dimasukkan dan beberapa isu dengan pengendalian kajian. Bukti daripada kajian yang dilakukan setakat ini tidak membenarkan kami menyatakan bila, dan dengan berapa banyak, tiub pengudaraan dapat meningkatkan pendengaran bagi mana-mana kanak-kanak tertentu.
Kami mencari kajian yang membandingkan tiub pengudaraan dengan jenis rawatan yang berbeza, iaitu tiada rawatan, rawatan tertunda dengan tiub pengudaraan (jika perlu), alat bantu pendengaran, antibiotik atau dengan mencipta lubang kecil di gegendang telinga (dipanggil 'myringotomy'). Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan tiub pengudaraan dengan alat bantuan pendengaran, tetapi kami menemui bukti untuk perbandingan lain.
Tiub pengudaraan boleh mengurangkan bilangan kanak-kanak dengan OME yang berterusan selepas tiga hingga enam bulan susulan. Faedah ini tidak dilihat dalam susulan yang lebih lama. Walau bagaimanapun, ramai kanak-kanak dalam 'kumpulan kawalan' (yang dirancang untuk tidak menerima rawatan) sama ada pulih secara spontan atau menerima tiub pengudaraan semasa tempoh susulan. Ini menambah kesukaran menilai bukti selepas susulan yang lebih lama.
Kami tidak menemui sebarang bukti tentang kualiti hidup, jadi kami tidak tahu sama ada tiub pengudaraan mempunyai sebarang kesan ke atas perkara ini.
Kami tidak dapat menggabungkan keputusan kajian yang berbeza untuk mengira kekerapan masalah gegendang telinga tertebuk mungkin berlaku. Walau bagaimanapun, kajian melaporkan kesan sampingan ini di antara 0% dan 12% kanak-kanak yang menerima tiub pengudaraan.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk mengenal pasti sama ada kumpulan kanak-kanak tertentu akan mendapat manfaat daripada tiub pengudaraan (contohnya, kanak-kanak sindrom Down atau sumbing lelangit, kanak-kanak yang mengalami kehilangan pendengaran yang teruk atau mereka dalam kumpulan umur tertentu). Dalam amalan klinikal, pelbagai jenis tiub pengudaraan tersedia, yang bertahan untuk jangka masa yang berbeza - kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang secara khusus melihat penggunaan tiub pengudaraan bertindak panjang, di mana faedah dan kemudaratannya mungkin berbeza. Kerja lanjut perlu dilakukan untuk mengenal pasti kanak-kanak yang menghidap OME akan mendapat manfaat daripada rawatan, dan kanak-kanak mana yang mungkin pulih secara spontan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Badan bukti adalah terkini setakat Januari 2023.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Azra Baharin (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).