Adenoidektomi untuk otitis media bergenangan bendalir (OME atau turut dikenali sebagai 'glue ear') dalam kalangan kanak-kanak

Mesej utama

Kami tidak pasti sama ada pembedahan untuk membuang kalenjar adenoid (adenoidektomi) dapat memperbaik pendengaran dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap ‘glue ear’ kerana gagasan buktinya masih kurang kukuh.

Adenoidektomi mungkin dapat mengurangkan sedikit bilangan kanak-kanak yang memghidap telinga gam selepas satu hingga dua tahun susulan, tetapi kita tidak tahu kesannya terhadap pendengaran atau kualiti hidup.

Kami tahu bahawa mungkin terdapat risiko kemudaratan yang disebabkan pembedahan, seperti perdarahan. Walau bagaimanapun, tidak terdapat maklumat yang mencukupi dalam kajian untuk mengetahui kekerapan ini mungkin berlaku.

Apakah itu OME?

Penyakit glue ear (atau 'otitis media dengan genangan bendalir dalam telinga', OME) adalah keadaan yang agak kerap menjejaskan kanak-kanak kecil. Cecair yang bertakung di kawasan telinga tengah dapat menyebabkan gangguan pendengaran. Akibat pendengaran yang terjejas, kanak-kanak mungkin mengalami perkembangan lembab dari segi pertuturan dan mungkin menghadapi masalah pembelajaran di sekolah.

Bagaimanakah OME dirawat?

Biasanya, OME tidak memerlukan sebarang rawatan dan gejala akan bertambah baik dengan masa. Dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap OME yang berlanjutan, pendekatan rawatan yang berbeza telah digunakan, termasuk penggunaan ubat-ubatan atau pembedahan (misalnya pemasukan grommet, sama ada disertai adenoidektomi atau tidak). Kalenjar adenoid merupakan gumpalan tisu di bahagian belakang rongga hidung (yag terletak di atas lelangit mulut), yang membantu tubuh badan melawan jangkitan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengenal pasti sama ada adenoidektomi adalah lebih baik jika dibandingkan dengan pendekatan yang tidak melibatkan sebarang rawatan, atau pendekatan yang menggunakan cara rawatan lain (seperti ubat-ubatan), untuk kanak-kanak yang menghidap OME.

Kami juga ingin melihat sama ada terdapat sebarang kesan yang tidak diingini yang dikaitkan dengan prosedur adenoidektomi.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mengenalpasti kajian-kajian yang membandingkan adenoidektomi dengan pendekatan lain sama ada pendekatan yang tidak melibatkan sebarang rawatan, atau menggunakan cara rawatan yang berbeza, dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap OME. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami memasukkan 10 kajian yang melibatkan 1785 kanak-kanak. Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang membandingkan adenoidektomi dengan rawatan perubatan - hanya kajian yang membandingkan adenoidektomi dengan tiada adenoidektomi. Semua bukti yang kami temui dianggap tidak pasti, kerana isu dengan cara kajian dijalankan, dan bilangan orang yang agak kecil disertakan.

Bagi kanak-kanak dan penjaga, kembali kepada pendengaran normal mungkin penting, tetapi beberapa kajian mengukur hasil ini jadi kami tidak pasti tentang kesan adenoidektomi terhadap pendengaran.

Adenoidektomi boleh mengurangkan bilangan kanak-kanak dengan OME yang berterusan selepas satu hingga dua tahun susulan, tetapi perbezaannya mungkin kecil.

Kami tidak menemui sebarang bukti tentang kualiti hidup, jadi kami tidak tahu sama ada adenoidektomi mempunyai sebarang kesan ke atas perkara ini.

Beberapa kajian melaporkan sebarang maklumat mengenai kemungkinan bahaya rawatan. Kami tahu bahawa pendarahan adalah risiko dengan sebarang pembedahan. Sebagai sebahagian daripada ulasan ini, kami mendapati bahawa dua kanak-kanak daripada 416 yang menerima adenoidektomi mengalami pendarahan yang ketara, berbanding tiada kanak-kanak (daripada 375) yang tidak menjalani adenoidektomi.

Apakah batasan bukti?

Oleh kerana buktinya tidak pasti, kami tidak dapat memastikan sama ada adenoidektomi memberi sebarang manfaat untuk kanak-kanak dengan OME. Kami juga hanya memperoleh maklumat yang sangat sedikit tentang risiko adenoidektomi, walaupun kami tahu bahawa kemungkinan terdapat beberapa risiko yang berkaitan dengan menjalani pembedahan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information