Rawatan untuk mencegah dan merawat sakit pinggang dan pelvis semasa hamil

Soalan ulasan

Kami mencari bukti tentang kesan sebarang rawatan yang digunakan untuk mencegah atau merawat sakit pinggang, sakit pelvis atau kedua-duanya semasa hamil. Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan dapat mengurangkan hilang keupayaaan atau cuti sakit, dan sama ada rawatan menyebabkan sebarang kesan sampingan bagi wanita hamil.

Latar belakang

Sakit di pinggang, pelvis, atau kedua-duanya, adalah aduan biasa semasa kehamilan dan selalunya menjadi lebih teruk seiring dengan kehamilan. Sakit ini boleh mengganggu aktiviti harian, kerja, dan tidur bagi wanita hamil. Kami ingin mengetahui sama ada sebarang rawatan, atau gabungan rawatan, adalah lebih baik daripada penjagaan pranatal biasa untuk wanita hamil dengan aduan ini.

Ciri-ciri kajian

Ini adalah bukti terkini setakat 19 Januari 2015. Kami memasukkan 34 kajian rawak dalam ulasan yang dikemas kini ini, dengan 5121 wanita hamil, berumur 16 hingga 45 tahun. Wanita hamil dari 12 hingga 38 minggu. Kajian melihat rawatan yang berbeza untuk wanita hamil dengan sakit pinggang, sakit pelvis atau kedua-dua jenis kesakitan. Semua rawatan telah ditambah kepada penjagaan pranatal biasa, dan dibandingkan dengan penjagaan pranatal biasa sahaja dalam 23 kajian. Kajian telah mengukur gejala-gejala wanita dengan pelbagai cara, daripada kesakitan yang dilaporkan sendiri dan cuti sakit kepada keputusan ujian tertentu.

Keputusan utama

Sakit pinggang

Apabila kami menggabungkan keputusan daripada tujuh kajian (645 wanita) yang membandingkan mana-mana senaman di darat dengan penjagaan pranatal biasa, intervensi senaman (berlangsung dari lima hingga 20 minggu) menambahbaik tahap sakit pinggang dan ketidakupayaan wanita.

Sakit pelvis

Terdapat kurang bukti yang kukuh mengenai rawatan untuk sakit pelvis. Dua kajian mendapati bahawa wanita yang mengambil bahagian dalam senaman berkumpulan dan menerima maklumat tentang pengurusan kesakitan mereka melaporkan tiada perbezaan dalam kesakitan pelvis mereka berbanding wanita yang menerima penjagaan pranatal biasa.

Sakit pinggang dan pelvis

Keputusan daripada empat kajian yang digabungkan (1176 wanita) menunjukkan bahawa program senaman lapan hingga 12 minggu dapat mengurangkan bilangan wanita yang mengadu sakit pinggang dan pelvis. Senaman di darat, dalam pelbagai format, juga mengurangkan cuti sakit yang berkaitan dengan sakit pinggang dan pelvis dalam dua kajian (1062 wanita).

Walau bagaimanapun, dua kajian yang lain (374 wanita) mendapati senaman berkumpulan yang ditambah dengan maklumat adalah tidak lebih baik dalam mencegah sakit pelvis atau sakit pinggang berbanding penjagaan pranatal biasa.

Terdapat beberapa kajian tunggal yang menguji pelbagai rawatan. Penemuan menunjukkan bahawa terapi craniosacral, terapi osteomanipulatif atau intervensi multimodal (terapi secara manual, senaman dan pendidikan) mungkin memberi faedah.

Tiada kesan sampingan yang berkekalan dilaporkan dalam mana-mana kajian.

Kualiti bukti dan kesimpulan

Terdapat bukti berkualiti rendah yang menunjukkan bahawa senaman dapat menambahbaik kesakitan dan ketidakupayaan bagi wanita yang mengalami sakit pinggang, dan bukti berkualiti sederhana bahawa senaman dapat menyebabkan kurangnya cuti sakit dan lebih sedikit wanita yang melaporkan kesakitan pada mereka yang mengalami kedua-dua sakit pinggang dan pelvis. Kualiti bukti ini disebabkan oleh masalah dalam reka bentuk kajian, sedikit wanita dan keputusan yang berbeza-beza. Oleh itu, kami percaya bahawa kajian masa depan sangat berkemungkinan mengubah kesimpulan kami. Kualiti bukti yang baik adalah tidak mencukupi untuk membuat keputusan yang menyakinkan tentang rawatan bagi aduan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Abdul Rauf Badrul Hisham (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information