Soalan ulasan
Kami melihat samada kombinasi rawatan tindak singkat beta-agonis dan antikolinergik lebih berkesan untuk menambahbaik hasil rawatan dalam asma orang dewasa yang dirawat di jabatan kecemasan berbanding rawatan beta-agonis sahaja.
Latar belakang
Serangan asma berpunca daripada saluran udara ke paru-paru yang menjadi sempit akibat keradangan, menyebabkan pernafasan berwiz (wheezing), batuk dan kesukaran bernafas. Orang yang mengalami serangan asma sering pergi ke jabatan kecemasan, dan lazimnya dirawat dengan sedutan beta agonis tindak singkat, walaupun sesetengah pesakit mungkin dirawat dengan sedutan antikolinergik tindak singkat.
Beberapa kajian melihat samada merawat orang yang mengalami asma di jabatan kecemasan dengan kombinasi beta-agonis dan antikolinergik lebih berkesan berbanding beta-agonis sahaja.
Tarikh carian
Carian adalah terkini sehingga Julai 2016.
Ciri kajian
Kami melibatkan 23 kajian yang membandingkan keberkesanan kombinasi rawatan beta-agonis dan antikolinergik berbanding rawatan beta-agonis sahaja. Sejumlah 2724 peserta dewasa dimasukkan dalam kajian-kajian tersebut. Salbutamol (juga disebut albuterol) adalah beta-agonis paling lazim dikaji dan ipratropium bromide adalah antikolinergik yang paling lazim dinilai.
Sumber pembiayaan kajian
Kami mendapati kebanyakan kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan (14 kajian); satu kajian dibiaya oleh sebuah hospital; satu lagi kajian dibiaya oleh syarikat farmaseutikal, tetapi menyatakan bahawa tiada penglibatan daripada syarikat dalam menjalankan atau melaporan kajian. Dua kajian dibiaya separa dan empat kajian dibiaya oleh syarikat farmaseutikal.
Keputusan utama
Pesakit dengan asma yang teruk yang menerima kombinasi rawatan beta-agonis dan antikolinergik kurang berkemungkinan untuk dimasukkan ke hospital. Dianggarkan kurang dari 65 pesakit dalam setiap 1000 memerlukan kemasukan hospital selepas menerima kombinasi terapi sedutan di jabatan kecemasan. Dalam kalangan pesakit asma biasa sehingga sderhana, kombinasi terapi sedutan kurang berkesan untuk mengelak kemasukan ke hospital berbanding orang dengan asma teruk. Pesakit yang menerima kombinasi rawatan kurang berkemungkinan untuk kembali ke jabatan kecemasan dengan simptom asma yang lebih teruk dan mempunyai hasil yang lebih baik dalam kebanyakan ujian fungsi paru-paru. Sebaliknya, lebih 103 peserta setiap 1000 yang menerima kombinasi terapi sedutan akan mengalami kesan sampingan berbanding orang yang menerima beta-agonis sahaja.
Kualiti bukti
Kualiti bukti kombinasi terapi sedutan dapat menambahbaik hasil kesihatan berbanding rawatan dengan beta-agonis sahaja adalah rendah hingga sederhana. Keyakinan kami mengenai kesan kombinasi terapi sedutan ke atas kemasukan hospital, alir respiratori puncak, peratus perubahan kadar alir respiratori puncak dari garis dasar, dan relaps adalah sederhana kerana risiko keseluruhan bias dalam kajian-kajian yang terlibat. Faktor-faktor yang berkaitan dengan ketakkonsistenan dan ketidaktepatan adalah aspek tambahan yang mengurangkan kualiti bukti untuk isi padu ekspiratori paksa dalam satu saat, dan peratus ramalan aliran ekspiratori puncak.
Diterjemahkan oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi hairulnizam@usm.my.