Latar belakang
Dalam kelemahan vena kronik, vena kaki tidak dapat membawa darah ke jantung. Ia mungkin disebabkan faktor genetik, mungkin berlaku selepas trauma, atau mungkin berpunca daripada darah beku. Pengaliran darah yang lemah dalam kaki boleh menyebabkan bengkak, perasaan berat, kesemutan, kekejangan, sakit, vena varikos dan perubahan pigmentasi kulit. Jika berlaku kelemahan pengaliran darah yang serius, bisul dan atrofi kulit akan terjadi. Ubat-ubatan seperti flavonoid semula jadi yang diekstrak dari tumbuh-tumbuhan dan produk sintetik yang serupa mungkin memperbaiki pengaliran darah. Ubat-ubatan ini dikenali secara kolektif sebagai ubat venoaaktif atau phlebotonik. Ulasan ini meneliti bukti daripada kajian klinikal rawak terkawal yang membandingkan ubat ini dengan rawatan tidak aktif (plasebo), yang biasanya diberikan selama satu hingga tiga bulan.
Ciri-ciri kajian dan keputusan utama
Kami telah mengenal pasti tiga kajian baru untuk kemas kini ini. Secara keseluruhan, 69 kajian memenuhi kriteria kelayakan untuk ulasan ini. Namun, kami hanya dapat menggunakan 56 kajian (7690 peserta; purata usia 50 tahun) dalam analisis yang lebih lanjut.
Kami membandingkan keputusannya, dan merumuskan bukti dari semua kajian. Kemudian, kami menilai kepastian bukti tersebut. Untuk melakukan ini, kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengelaskan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.
Bukti berkepastian sederhana dari 13 kajian (melibatkan 1245 orang) menunjukkan bahawa phlebotonik mungkin mengurangkan sedikit bengkak (edema) berbanding dengan plasebo. Bukti berkepastian sederhana menunjukkan bahawa terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan dalam kualiti hidup bagi orang yang mengambil phlebotonik jika dibandingkan dengan plasebo. Bukti berkepastian rendah menunjukkan bahawa terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan dalam kadar sembuh bisul dengan penggunaan phlebotonik, berbanding dengan plasebo. Bukti berkepastian sederhana dari 37 kajian (melibatkan 5789 orang) menunjukkan bahawa phlebotonik mungkin menghasilkan lebih banyak kesan sampingan, terutamanya gangguan gastrousus.
Kepastian bukti
Semua bukti berkepastian sederhana atau rendah. Bermula dari andaian awal yang berkepastian tinggi, kami menurunkan kepastian bukti sebanyak satu tahap untuk setiap hasil kerana risiko berat sebelah yang tinggi, terutamanya disebabkan oleh laporan hasil yang selektif dan data hasil yang tidak lengkap. Untuk hasil penyembuhan ulser, kami menurunkan satu lagi tahap kerana ketidaktepatan statistik (sebilangan kecil kejadian). Dengan bukti berkepastian sederhana, kami cukup yakin dalam anggaran kesan untuk hasil-hasil ini. Kesan sebenar mungkin dekat dengan kesan anggaran, tetapi ada kemungkinan bahawa ia adalah sangat berbeza. Dengan bukti berkepastian rendah, keyakinan kami terhadap anggaran kesan untuk hasil tersebut adalah terhad. Kesan sebenar mungkin jauh berbeza dari anggaran kesannya.
Seberapa terkinikah ulasan ini?
Bukti dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga November 2019.
Diterjema oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, class of 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.