Asid tranexamic membantu merawat hidung berdarah (epistaksis)

Latar belakang

Hidung berdarah adalah kejadian yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau mereka yang berumur lebih 60 tahun. Kebiasaannya, ia akan berhenti dengan sendiri atau dengan hanya memicit hidung dengan jari, walau bagaimanapun sebilangan kecil memerlukan rawatan perubatan. Ini melibatkan sama ada prosedur pengkauterian (menampal) salur berdarah, sekiranya boleh dilihat, atau menyumbat hidung dengan bahan yang boleh meningkatkan tekanan dan menghentikan pendarahan (rawatan biasa). Kadang kala pendarahan berlaku secara berterusan walaupun langkah-langkah tersebut telah diambil, atau berlaku semula setelah ianya dapat dikawal. Ini akan menyebabkan masa berada di hospital menjadi lebih panjang dan kemungkinan untuk menjalani prosedur lanjutan seperti menyumbat semula hidung dengan bahan yang berbeza-beza atau pembedahan.

Asid tranexamic adalah ubat yang mengalakkan pembekuan darah dengan menghalang proses semulajadi yang dipanggil fibrinolisis (melarutkan darah beku). Ia biasa digunakan dalam beberapa situasi di mana pendarahan adalah kebimbangan utama, seperti selepas pembedahan jantung atau kes trauma yang besar. Ia boleh diberi secara oral (melalui mulut), terus ke tempat pendarahan (topikal) atau melalui suntikan ke dalam vena (intravena).

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian rawak terkawal yang melibatkan pesakit pelbagai tahap umur dengan masalah pendarahan hidung yang memerlukan intervensi. Pesakit yang dirawat dengan asid tranexamic (tambahan kepada rawatan biasa) dibandingkan dengan plasebo, tiada rawatan atau sebarang agen lain yang digunakan untuk menghentikan pendarahan. Kami menjumpai enam kajian yang memenuhi kriteria pemilihan, dengan jumlah peserta sebanyak 692. Dua kajian menggunakan asid tranexamic yang diberi secara oral dan empat kajian menggunakan topikal asid tranexamic. Kesemua peserta dalam kajian-kajian tersebut adalah orang dewasa. Tiga daripada enam kajian telah dijalankan lebih 20 tahun yang lalu.

Keputusan-keputusan utama

Tiga kajian mengukur episod pendarahan semula dalam tempoh 10 hari. Apabila kami menggabungkan keputusan-keputusan, kami mendapati terdapat hanya sebilangan kecil pesakit yang menerima asid tranexamic secara oral atau topikal mengalami episod pendarahan semula selepas pendarahan hidung awal berbanding mereka yang menerima rawatan biasa.

Masa yang diambil untuk menghentikan pendarahan awal (kawalan pendarahan dalam masa 30 minit) diukur dalam empat kajian. Tiga kajian menunjukkan bilangan pesakit di mana pendarahannya berhenti dalam masa 10 minit daripada kumpulan yang menerima asid tranexamic secara topikal adalah lebih tinggi berbanding kumpulan yang menerima ubat berbeza (epinephrine dan lidocaine atau phenylephrine secara topikal). Bagi kajian yang lain, tiada perbezaan ketara pada 30 minit apabila asid tranexamic yang diberi secara topikal dibandingkan dengan plasebo.

Tiada kajian melaporkan bilangan pesakit yang memerlukan intervensi lanjut (contohnya penyumbatan semula, pembedahan).

Hanya satu kajian mengenai asid tranexamic yang diberi secara oral melaporkan sebilangan pesakit memerlukan pemindahan darah dan tiada bukti yang menunjukkan perbezaan di antara kumpulan kajian.

Tempoh berada di hospital dilaporkan oleh dua kajian. Satu kajian melaporkan tempoh berada di hospital yang lebih singkat bagi kumpulan yang menerima asid tranexamic secara oral. Sementara itu, satu lagi kajian tidak menjumpai sebarang perbezaan.

Lima kajian mencatatkan “kesan sampingan”. Tiada perbezaan antara kumpulan bagi perihal kesan sampingan yang ringan (contohnya loya dan muntah yang ringan, cirit birit, rasa tidak enak gel). Dalam satu kajian, seorang pesakit telah mendapat tromboplebitis pada permukaan kedua-dua belah kakinya (keradangan dan pembentukan darah beku di dalam pembuluh vena berdekatan dengan permukaan kulit) selepas keluar dari hospital. Tetapi kajian tersebut tidak melaporkan daripada kumpulan rawatan yang mana ia berlaku. Tiada kesan sampingan yang serius dilihat dalam mana-mana kajian.

Kualiti bukti dan kesimpulan

Secara keseluruhan, risiko bias bagi enam kajian ini adalah rendah. Kami menilai kualiti bukti bagi hasil utama (kawalan hidung berdarah: pendarahan semula dalam tempoh 10 hari) sebagai sederhana, di mana ia bermaksud penyelidikan lanjutan berkemungkinan akan memberi impak penting terhadap keyakinan kami dalam menganggar kesan dan ia berkemungkinan menukar anggaran. Oleh kerana ini dan hakikat bahawa 'rawatan biasa' telah berubah, dengan perkembangan teknik pengkauterian dan penyumbatan hidung yang lebih moden, walaupun melibatkan tiga kajian terpilih, masih terdapat ketidakpastian tentang peranan asid tranexamic dalam rawatan pesakit dengan epistaksis. Kajian baru mengenai kesan asid tranexamic sebagai rawatan hidung berdarah akan memaklumkan keputusan rawatan pada masa akan datang bagi kondisi ini.

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Oktober 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli (Health Technology Assessment Section, Malaysian Ministry of Health). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubung zuromli@yahoo.com

Tools
Information