Soalan ulasan
Kami mengulas bukti-bukti berkenaan kesan opioid kepada kesakitan dan fungsi dalam kalangan orang yang mempunyai sakit belakang bahagian bawah (CLBP).
Latar belakang
Opioids merupakan pelega sakit yang bertindak atas sistem saraf pusat. Orang yang mempunyai sakit belakang bahagian bawah (LBP) menggunakan ubat-ubat ini untuk melegakan kesakitan. Kami meneliti sama ada penggunaan opioid untuk sekurang-kurangnya empat minggu adalah lebih baik atau lebih buruk daripada rawatan-rawatan CLBP yang lain.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan dan tidak diterbitkan, sehingga Oktober 2012. Kami melibatkan lima belas kajian yang melibatkan 5540 peserta dan yang membandingkan opioid dengan plasebo (ubat palsu) atau ubat-ubat lain yang digunakan untuk LBP. Kebanyakan peserta-peserta kajian berumur 40 ke 50 tahun dan semuanya mempunyai sekurang-kurangnya kesakitan sederhana di kawasan belakang bahagian bawah. Kajian-kajian itu melibatkan lebih banyak peserta wanita. Kebanyakan kajian mengikuti perkembangan pesakit selama tiga bulan dan kajian disokong oleh industri farmaseutikal.
Keputusan-keputusan utama
Secara amnya, mereka yang menerima opioid melaporkan kelegaan sakit yang lebih baik dan kurang kesukaran dalam menjalankan aktiviti harian dalam jangka pendek berbanding mereka yang menerima plasebo. Walau bagaimanapun, terdapat data yang sedikit berkenaan manfaat opioid berdasarkan ukuran fungsi fizikal yang objektif. Kami tidak mempunyai maklumat dari kajian-kajian rawak terkawal yang menyokong keberkesanan dan keselamatan opioid yang digunakan lebih dari empat bulan. Lagi pula, kajian terkini tidak menunjukkan yang opioid lebih berkesan berbanding kumpulan analgesik lain untuk LBP seperti ubat antiinflamasi atau antidepresan.
Ulasan ini separuh menyokong keberkesanan beberapa opioid untuk kelegaan dan fungsi CLBP dalam jangka pendek. Walau bagaimanapun, keberkesanan mempreskripsi ubat-ubatan ini untuk kegunaan jangka panjang tidak diketahui dan potensi kesan sampingan yang teruk, komplikasi, dan penambahan risiko penyalahgunaan, penagihan, dos berlebihan dan kematian perlu diambilkira.
Seperti dijangka, kesan-kesan sampingan lebih banyak dengan opioid tetapi tidak membahayakan nyawa dengan kegunaan jangka pendek. Kekurangan data menghalang kesimpulan tentang profil kesan sampingan opioid berbanding analgesik jenis lain (contohnya, antidepresan atau antiinflamasi).
Kualiti bukti kajian
Kualiti bukti dalam ulasan ini dalam lingkungan “sangat rendah” dan “sederhana”. Keputusan ulasan patut ditafsir dengan berhati-hati dan mungkin tidak sesuai dalam semua persekitaran klinikal. Kajian rawak berkualiti tinggi diperlukan untuk memberi tumpuan kepada risiko dan manfaat jangka panjang (bulan ke tahun) penggunaan opioid untuk CLBP, keberkesanan relatif berbanding rawatan lain, dan untuk lebih memahami siapa yang akan mendapat manfaat paling banyak daripada intervensi ini.
Diterjemahkan oleh Wan Rosalina Wan Rosli (Cyberjaya University College of Medical Sciences). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkenaan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my