Adakah kemoterapi sebelum pembedahan memperbaik survival atau kualiti hidup wanita dengan kanser epitelium ovari lanjutan?

Apa isunya?
Kanser epitelium ovari, yang timbul dari lapisan permukaan ovari atau lapisan tiub fallopian, adalah kanser kesembilan paling lazim di seluruh dunia dalam kalangan wanita dan merupakan jenis kanser ovari yang paling lazim (kira-kira 90% daripada kanser ovari). Malangnya, kebanyakan wanita dengan kanser ovari muncul pada peringkat lewat di mana penyakit itu telah merebak ke abdomen. Ini adalah kerana kanser ovari sering timbul dari hujung tiub fallopian, di mana sel tunggal boleh terkeluar ke kaviti perut walaupun tumor utama adalah mikroskopik. Sel-sel tumor ini beredar di sekitar kaviti abdomen dalam cecair pelincir, peritoneal, tertanam pada permukaan lain dan berkembang sehingga menyebabkan gejala. Malah, gejala-gejala seperti perut kembung dan gangguan usus (lazimnya sembelit), adalah tidak spesifik dan mudah dikaitkan dengan keadaan benigna yang lebih biasa. Di Eropah dan UK, lebih satu pertiga daripada wanita yang didiagnosis dengan kanser ovari masih hidup lima tahun selepas diagnosis.

Rawatan konvensional untuk kanser ovari melibatkan dua modaliti rawatan: pembedahan dan kemoterapi. Matlamat pembedahan adalah untuk menilai peringkat penyakit (menilai di mana kanser telah merebak) dan mengeluarkan sebanyak mungkin kanser (makroskopik) yang boleh dilihat (dikenal sebagai "debulking" atau "cytoreduction"), sebaik-baiknya hingga ke titik di mana pasukan pembedahan tidak dapat melihat sebarang sisa penyakit di kaviti abdomen. Walau bagaimanapun, oleh kerana kebanyakan wanita akan mengalami perebakan penyakit yang meluas, pembedahan sahaja tidak dapat menyembuhkan penyakit ini dan kebanyakannya juga memerlukan kemoterapi. Kemoterapi untuk kanser ovari menggunakan ubat berasaskan platinum untuk merawat sel-sel yang tidak boleh dikeluarkan melalui pembedahan (penyakit makroskopik) atau terlalu kecil untuk dilihat (penyakit mikroskopik). Secara tradisi, kemoterapi diberi selepas pembedahan (pembedahan debulking primer (PDS) dan kemoterapi adjuvan). Walau bagaimanapun, kemoterapi boleh digunakan sebelum pembedahan (dikenali sebagai kemoterapi ‘neoadjuvant’ (NACT) dan pembedahan ‘debulking’ berselang (IDS)) dengan tujuan mengecutkan kanser dan membolehkan wanita menjadi lebih sihat sebelum menjalani pembedahan besar. Wanita yang menerima NACT dan IDS melengkapkan baki kitaran kemoterapi selepas pembedahan.

Apa yang kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data elektronik sehingga Oktober 2020 dan menjalankan carian tangan untuk laporan-laporan kajian yang tidak diterbitkan. Kami sertakan kajian rawak terkawal(RCT) NACT dan IDS berbanding pembedahan (pembedahan ‘debulking’ utama (PDS)) diikuti dengan kemoterapi dalam kalangan wanita yang didiagnosis dengan kanser ovari epitelium peringkat lanjut dan mengumpul data hasil kajian di mana sesuai.

Apa yang kami temui?
Kami mengenal pasti 2227 tajuk dan abstrak daripada carian. Daripada jumlah ini kami mendapati lima RCT yang memenuhi kriteria inklusi kami, termasuk sejumlah 1774 wanita dengan kanser ovari lanjutan. Kami dapat mengumpulkan data daripada empat kajian. Kajian-kajian tersebut membandingkan wanita yang diberi kemoterapi sebelum pembedahan (NACT) dengan wanita yang menjalani pembedahan (PDS) sebelum kemoterapi. Kami temui sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua rawatan dari aspek masa kematian dan mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam masa untuk progresi penyakit. Kami dapati memberi NACT mengurangkan risiko kematian selepas pembedahan dan keperluan untuk pembentukan stoma, di mana kami sangat pasti. NACT mungkin mengurangkan risiko beberapa komplikasi pembedahan teruk , tetapi sesetengah data ini kurang dilaporkan dengan jelas dalam kajian-kajian yang disertakan dan oleh itu kami mempunyai kepastian sederhana hingga rendah tentang keputusan ini. Kajian-kajian tersebut hanya mendaftarkan wanita dengan kanser ovari tahap IIIc/IV iaitu mereka yang mengalami penyakit lanjutan; sebahagian besar wanita dalam ulasan ini mempunyai tumor yang sangat besar. Kami sedang menunggu keputusan tiga kajian yang sedang berlangsung dan satu penerbitan penuh kajian yang tidak diterbitkan yang sedang menunggu klasifikasi yang diharapkan akan menyumbang lebih banyak bukti untuk membimbing amalan klinikal dalam bidang ini pada masa hadapan.

Apakah maksudnya?
Secara keseluruhan, kepastian bukti adalah sederhana. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan berapa lama wanita dengan kanser ovari epitelium lanjutan akan bertahan, jika mereka menjalani kemoterapi atau pembedahan terlebih dahulu, di mana kedua-dua rawatan tersebut dirancang. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh masa yang diambil untuk kanser tumbuh semula selepas rawatan awal. NACT mungkin mengurangkan beberapa risiko pembedahan, mungkin mengurangkan separuh risiko yang memerlukan usus dikeluarkan, dan mungkin mempunyai pengurangan besar dalam risiko memerlukan usus dialihkan melalui dinding perut melalui stoma (beg yang dilekatkan pada dinding perut untuk mengumpul kandungan usus). NACT/IDS adalah alternatif kepada PDS diikuti oleh kemoterapi dalam kalangan wanita dengan penyakit peringkat besar IIIc/IV. Keputusan individu tentang rawatan mana yang patut didahulukan akan bergantung kepada kehendak wanita, keadaan kesihatannya semasa diagnosis, risiko pembedahan serta beban dan sebaran penyakit.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah Chiah Zi Yan. Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).

Tools
Information