Bolehkah pengguna Shisa dibantu untuk berhenti melalui intervensi berhenti merokok?

Mesej utama

• Bukti terhad menunjukkan bahawa sokongan tingkah laku mungkin membantu untuk berhenti menggunakan Shisa. 
• Tiada bukti yang mencukupi untuk menilai kesan intervensi vareniklin, bupropion atau e-kesihatan untuk berhenti menghisap Shisa.
• Dalam semua kes, kajian lanjut mungkin mengubah kesimpulan kami. kajian yang lebih besar dan direka dengan baik mengenai intervensi pemberhentian menghisap Shisa tingkah laku dan farmakologi diperlukan. 
• Memandangkan potensi capaian dan keberkesanan intervensi e-kesihatan untuk membantu berhenti menghisap Shisa, percubaan dengan sampel yang besar dan tempoh susulan yang panjang diperlukan. 
• Melaporkan lebih banyak butiran tentang strategi tingkah laku yang digunakan dalam intervensi kajian akan membantu mengenal pasti komponen penting dalam intervensi Shisa. 

Apakah Shisa (paip air)?

Shisa ialah peranti yang digunakan untuk menghisap tembakau. Seperti yang digunakan hari ini, paip air (juga dikenali sebagai hookah, shisha, atau narghile) terdiri daripada kepala (tempat tembakau diletakkan), badan, tapak air dan hos yang berakhir dengan corong. Kepingan arang yang terbakar biasanya diletakkan di atas kerajang aluminium bertindik yang menutupi kepala yang dipenuhi tembakau, yang membolehkan udara yang dipanaskan arang melalui tembakau, manakala lubang di bahagian bawah kepala membenarkan asap keluar melalui batang paip air. Bahagian bawah batang berada di bawah air, menyebabkan asap berbuih, dalam perjalanan melalui hos dan hujung mulut ke perokok. Hujung mulut biasanya ditutup dengan corong pakai buang untuk pengguna individu.

Bagaimanakah ketagihan Shisa dirawat?

Bentuk sokongan untuk membantu orang ramai berhenti menghisap Shisa adalah serupa dengan bentuk sokongan yang menyasarkan bentuk penggunaan tembakau yang lain. Ini termasuk sokongan tingkah laku, ubat berhenti merokok dan gabungan kedua-duanya. 

Mengapa kami membuat Ulasan Cochrane ini?

Menghisap Shisa telah meningkat secara mendadak, menjadi masalah kesihatan awam global, terutamanya di kalangan golongan muda. Bukti semasa menunjukkan bahawa menghisap Shisa adalah ketagihan seperti rokok, dan pengguna akan mengalami risiko yang sama kepada kesihatan mereka sebagai perokok. Oleh itu, membangunkan dan menguji intervensi khusus berhenti menghisap Shisa adalah penting.

Apakah yang kami lakukan?

Kami menyertakan kajian sebarang intervensi untuk membantu penghisap Shisa berhenti. Mereka boleh dari mana-mana umur atau jantina. Kami mengukur sama ada peserta telah berhenti menggunakan Shisa pada tiga bulan selepas intervensi atau lebih lama. Kami memasukkan intervensi yang ditujukan kepada individu atau kumpulan orang.

Apa yang kami temui?

Kami menemui sembilan kajian yang menguji intervensi untuk membantu penghisap Shisa berhenti. Antaranya, lima kajian menguji sokongan tingkah laku; dua kajian menguji ubat berhenti merokok, dipanggil varenicline; satu kajian menguji ubat berhenti merokok yang dipanggil bupropion; dan dua kajian menguji sokongan e-kesihatan yang disampaikan melalui internet atau telefon mudah alih.   

Apakah hasil utama ulasan kami?

Kami mempunyai bukti berkualiti rendah bahawa sokongan tingkah laku bersemuka membantu lebih ramai orang berhenti merokok Shisa daripada tiada sokongan. kami tidak pasti tentang kesan intervensi bupropion, varenicline, dan e-kesihatan kerana bukti yang terhad. 

Apakah batasan bukti?

Keputusan adalah berdasarkan data daripada hanya beberapa kajian. Enam daripada sembilan kajian mempunyai isu reka bentuk yang boleh menjejaskan sejauh mana kami mempercayai keputusan. Di samping itu, intervensi tingkah laku yang disertakan berbeza antara satu sama lain, dan tidak selalu diterangkan dengan baik. Ini bermakna keputusan kami mungkin berubah apabila lebih banyak kajian tersedia. 

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Pencarian bukti ini dilakukan pada Julai 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information