Soalan ulasan
Kami mengulas bukti tentang kesan rawatan untuk mencegah atau mengurangkan komplikasi yang mempengaruhi saraf atau otot semasa fasa awal penyakit kritikal yang serius. Komplikasi ini disebut penyakit kritikal polineuropati atau miopati (CIP/CIM) dan boleh mempengaruhi saraf, otot atau kedua-duanya.
Latar belakang
CIP/CIM adalah komplikasi kerap penjagaan kritikal. CIP/CIM menyebabkan kelemahan anggota dan otot yang diguna untuk pernafasan. Kesukaran ini boleh menyukarkan penyapihan daripada ventilator dan memulakan rehabilitasi. CIP/CIM juga bermaksud tempoh inap lebih lama di unit penjagaan intensif (ICU) dan meningkatkan risiko kematian. Pemulihan memerlukan beberapa minggu atau bulan dan dalam kes yang teruk, pemulihan mungkin tidak lengkap atau tidak berlaku. Oleh itu, pencegahan dan rawatan CIP/CIM sangat penting.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari semua kajian rawak terkawal (RCT) yang melihat kesan sebarang rawatan untuk mencegah CIP/CIM dalam kalangan dewasa yang dimasukkan ke ICU. Kami mengenal pasti dan menganalisis lima kajian yang sesuai untuk dimasukkan dalam ulasan kami. Kajian-kajian ini mengkaji empat rawatan: terapi insulin intensif (IIT), terapi kortikosteroid, rehabilitasi awal, dan rangsangan elektrik otot.
Keputusan utama dan kualiti bukti
Dua kajian, dengan jumlah 825 dewasa di ICU selama satu minggu atau lebih, mengkaji kesan IIT berbanding terapi insulin konvensional (CIT) terhadap insiden CIP/CIM. IIT bertujuan menghasilkan paras gula darah yang normal (80 hingga 110 mg/dL) dan CIT bertujuan untuk mengelakkan gula darah yang tinggi (gula darah melebihi 215 mg/dL). Gabungan keputusan kedua-dua kajian menunjukkan bukti kualiti sederhana IIT mengurangkan CIP/CIM. Terdapat bukti berkualiti tinggi ia mengurangkan masa penggunaan ventilator, inap di ICU dan kematian 180-hari tetapi bukan kematian 30-hari. Terdapat lebih banyak episod gula darah rendah dengan IIT. Walaupun tiada peningkatan kematian dalam 24 jam episod gula darah rendah, gula darah rendah tetap membimbangkan kerana ia boleh merosakkan otak. Tiada kajian yang melaporkan tahap kelemahan anggota atau rehabilitasi fizikal. Keputusan adalah dari subkumpulan orang yang telah lama berada di ICU, yang mungkin juga membatasi kesimpulan.
Kajian ketiga membandingkan terapi kortikosteroid dengan plasebo dalam kalangan 180 orang dengan sindrom distres respiratori akut (ARDS). Bukti kualiti sederhana mencadangkan tiada kesan kortikosteroid terhadap CIP/CIM (dalam kalangan 92 peserta yang dinilai). Bukti berkualiti tinggi menunjukkan tiada kesan terhadap mortaliti 180-hari, jangkitan serius baharu, paras glukosa darah pada hari ketujuh atau episod yang disyaki atau kemungkinan pneumonia. Terdapat kurang episod kejutan (keadaan yang mengancam nyawa di mana terdapat kekurangan aliran darah ke organ penting).
Kajian keempat adalah berkaitan rehabilitasi awal dalam kalangan 104 peserta ICU perubatan. Terdapat bukti kualiti sederhana tentang pengurangan CIP/CIM dalam kalangan 82 peserta yang dinilai di ICU. Kesan ini tidak ketara ketika penilaian dibuat terhadap analisis tujuan merawat. Rehabilitasi awal mengurangkan tempoh ventilasi mekanikal tetapi tidak mempengaruhi inap di ICU atau kematian. Tiada kesan buruk yang serius dilaporkan.
Akhirnya, satu kajian membandingkan kesan EMS anggota bawah dengan tiada rangsangan. Kajian tersebut melibatkan 140 peserta tetapi hanya menyediakan keputusan daripada 52 peserta. Ini memberi bukti kualiti sangat rendah bahawa EMS tidak berpengaruh dalam mencegah CIP/CIM. Tiada kesan pada tempoh ventilasi mekanikal atau kematian. Oleh kerana EMS dan kumpulan kawalan berbeza dalam jenis dan keparahan penyakit, penemuan ini mungkin tidak boleh percaya. Kesan ini tidak ketara ketika penilaian dibuat terhadap analisis tujuan merawat. Kajian tersebut mendapati tiada kesan EMS terhadap tempoh ventilasi mekanikal atau kematian.
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2011. Kami menjalankan semula carian untuk kajian-kajian pada Disember 2013 dan mengenal pasti sembilan kajian tambahan yang berpotensi memenuhi syarat yang akan kami nilai dalam ulasan kemas kini seterusnya.
Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.