Perbandingan teknik pernafasan kitaran aktif (ACBT) dengan kaedah terapi klearans saluran udara lain dalam kalangan orang dengan fibrosis sista

Soalan ulasan

Apakah kesan teknik pernafasan kitaran aktif (ACBT) berbanding kaedah terapi klearans saluran udara lain dalam kalangan orang dengan fibrosis sista?

Latar belakang

Jangkitan kronik adalah lazim dalam fibrosis sista dan jangkitan berulang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru dan penyakit. Pesakit fibrosis sista menggunakan terapi klearans saluran udara untuk membersihkan lendir dan memperbaik fungsi paru-paru. ACBT menggunakan gabungan tiga kaedah pernafasan untuk melonggarkan dan membersihkan lendir. Ini adalah kemas kini bagi ulasan terbitan terdahulu.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 29 Mac 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami sertakan 22 kajian yang membandingkan ACBT dengan terapi klearans saluran udara lain dalam ulasan ini, namun hanya lapan kajian (259 peserta) melaporkan data yang boleh disertakan dalam analisis. Setiap daripada lapan kajian membandingkan teknik yang berbeza: ACBT dibandingkan dengan saliran autogenik, alat saluran udara berayun, alat pemampatan dada berfrekuensi tinggi, tekanan ekspirasi positif, fisioterapi dada konvensional dan ACBT bersertsa senaman. Kebanyakan kajian berlangsung selama satu hari, tetapi terdapat dua kajian yang berlangsung antara satu hingga tiga tahun. Julat umur peserta adalah dari enam hingga 63 tahun dan kebanyakan (59%) adalah lelaki.

Keputusan utama

Kami dapati ACBT adalah setanding dengan hasil rawatan lain seperti kualiti hidup, pilihan peribadi, toleransi senaman, fungsi paru-paru, berat kahak, ketepuan oksigen, dan bilangan eksaserbasi paru-paru. Kami tidak dapat menunjukkan sebarang teknik yang lebih baik daripada yang lain. Kajian yang lebih lama diperlukan untuk menilai kesan ACBT ke atas hasil penting bagi orang dengan fibrosis sista seperti kualiti hidup dan pilihan peribadi.

Kepastian bukti

Kami mempunyai sedikit atau tiada keyakinan terhadap bukti dan berpendapat penyelidikan lanjut mungkin mempengaruhi kesimpulan kami dalam ulasan ini untuk sebarang intervensi yang dianalisis.

Kebanyakan kajian tidak memberi butiran kaedah yang cukup untuk mengenalpasti jika terdapat bias yang mungkin boleh mempengaruhi keputusan. Kebanyakan kajian tidak melaporkan bagaimana mereka membuat keputusan siapa yang akan mendapat rawatan yang mana satu dan bagaimana mereka memastikan orang yang meletakkan peserta ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza dan mereka yang menilai keputusan tidak tahu tentang kumpulan peserta. Kebanyakan kajian yang disertakan mempunyai reka bentuk kes-silang (di mana peserta mendapat suatu rawatan dan kemudian beralih kepada rawatan kedua), dan kebanyakan kajian tidak melaporkan tempoh masa di antara rawatan yang berbeza. Oleh kerana rawatan pertama mungkin boleh mempengaruhi keputusan rawatan seterusnya, kami hanya sertakan keputusan dari tempoh rawatan pertama. Kebanyakan kajian tidak melaporkan keputusan yang berasingan untuk rawatan pertama, oleh itu kami tidak sertakan keputusan mereka dalam ulasan kami.

Semua peserta tahu kumpulan rawatan mereka (sukar untuk menyembunyikan teknik fisioterapi yang berbeza). Ini boleh mempengaruhi keputusan yang dilaporkan oleh peserta sendiri seperti kualiti hidup, pilihan peribadi, atau toleransi senaman, tetapi tidak akan menjejaskan keputusan yang lebih objektif, seperti fungsi paru-paru.

Kebanyakan kajian menyusul peserta kurang daripada satu bulan dan ini dilakukan untuk kebanyakan peserta sepanjang tempoh kajian. Di dalam dua daripada tiga kajian yang bertempoh lebih lama, lebih 10% peserta tercicir. Keputusan kajian boleh dipengaruhi jika orang yang tercicir daripada kajian tidak sama rata di antara kumpulan rawatan yang berbeza.

Lebih separuh daripada kajian-kajian ini memeriksa sama ada peserta menggunakan terapi klearans saluran udara yang sepatutnya. Kebanyakan kajian melaporkan semua hasil kajian yang telah dirancang.

Dapatan ulasan ini adalah terhad kerana tidak banyak kajian yang membuat perbandingan yang sama; juga tidak terdapat banyak kajian jangka panjang dan kajian-kajian yang kami sertakan tidak melaporkan data yang cukup.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information