Adakah wawancara motivasi membantu orang ramai mengurangkan penggunaan alkohol, dadah atau kedua-duanya?

Mesej utama

• Wawancara motivasi boleh mengurangkan penggunaan bahan berbanding tanpa intervensi untuk masa yang singkat.

• Kami mempunyai keyakinan sederhana hingga tidak yakin terhadap bukti, yang memaksa kami berhati-hati dengan kesimpulan kami. Penyelidikan baru mungkin mengubah kesimpulan kami.

• Kajian masa depan yang membandingkan wawancara motivasi dengan rawatan lain harus lebih besar, direka bentuk dengan lebih baik dan dilaporkan dengan lebih baik.

Apakah penggunaan bahan?

'Penggunaan bahan' merujuk kepada pengambilan dadah atau alkohol, yang boleh memberi pelbagai kesan kepada minda dan badan. Penggunaan bahan boleh mendatangkan beberapa akibat, termasuk ketagihan, masalah kesihatan fizikal dan mental, serta isu sosial dan undang-undang. Oleh itu, alkohol dan dadah adalah bahan yang berpotensi berbahaya. Orang yang menggunakan bahan boleh merosakkan kesihatan mereka dan menjadi sakit akibatnya. Kira-kira 30 hingga 35 juta orang sakit kerana menggunakan bahan. Gangguan penggunaan bahan kini diiktiraf sebagai keadaan kompleks yang berkaitan dengan faktor psikososial, persekitaran dan biologi.

Bagaimanakah penggunaan bahan (atau gangguan penggunaan bahan) dirawat?

Terdapat pelbagai rawatan. Kajian kami memfokuskan pada wawancara motivasi, iaitu sejenis kaunseling yang bertujuan membantu orang ramai mencari motivasi untuk mengurangkan atau menghentikan penggunaan bahan mereka. Wawancara motivasi melibatkan perbualan antara kaunselor terlatih dan pelanggan. Kedua-duanya biasanya bertemu 1 hingga 4 kali selama kira-kira satu jam setiap satu pertemuan. Dalam sesi, kaunselor membantu orang itu meneroka sebab yang menghalang mereka daripada berhenti menggunakan bahan. Kaunselor membantu mereka mencari cara untuk berasa lebih bersedia, mampu dan yakin untuk mengurangkan atau berhenti menggunakan bahan, dan bukannya memberitahu orang itu mengapa dan bagaimana untuk mengubah tingkah laku mereka.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada wawancara motivasi lebih baik daripada tiada rawatan atau bentuk rawatan lain untuk membantu orang ramai mengurangkan atau menghentikan penggunaan bahan. Kami juga ingin mengetahui sama ada wawancara motivasi mempengaruhi kesediaan orang untuk berubah dan sama ada mereka kekal dalam rawatan.

Apakah yang telah kami laksanakan?

Kami mencari kajian yang melibatkan orang yang menggunakan bahan seperti alkohol atau dadah. Dalam kajian, orang ramai dibahagikan secara rawak kepada kumpulan wawancara motivasi dan kumpulan 'kawalan' yang tidak menerima rawatan, rawatan kerap, penilaian dan maklum balas, atau rawatan aktif lain.

Rawatan kerap melibatkan perkongsian keputusan penyaringan, menasihati orang ramai untuk berhenti menggunakan alkohol/dadah, dan menyediakan bahan pendidikan. Penilaian dan maklum balas melibatkan memberi orang bahan bacaan yang relevan dan peluang untuk bertanya, tetapi tiada kaunseling. Rawatan aktif lain berbeza; menyediakan program pendidikan tentang dadah dan alkohol adalah contoh biasa.

Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap kualiti bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami mendapati 93 kajian yang melibatkan 22,776 orang dengan penggunaan bahan. Kajian terbesar melibatkan 1726 orang dan yang terkecil melibatkan 25 orang. Kajian telah dijalankan di negara-negara di seluruh dunia; kebanyakannya di Amerika Syarikat (72). Dalam kebanyakan kajian (30), satu sesi wawancara motivasi telah dijalankan. Terdapat juga kajian di mana lebih banyak sesi dijalankan, sehingga 9 sesi. Tempoh sesi berbeza-beza, daripada 10 minit sehingga 148 minit setiap sesi.

Keputusan menunjukkan bahawa wawancara motivasi mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan untuk penggunaan bahan berbanding dengan rawatan kerap atau campur tangan aktif yang lain. Walau bagaimanapun, dalam jangka pendek, wawancara motivasi boleh mengurangkan penggunaan bahan berbanding tanpa rawatan. Pada susulan jangka sederhana dan panjang, wawancara motivasi mungkin mengurangkan sedikit penggunaan bahan berbanding dengan penilaian dan maklum balas. Tidak jelas sama ada wawancara motivasi mempunyai kesan ke atas kesediaan untuk berubah dan kekal dalam rawatan.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan sederhana hingga tidak yakin terhadap bukti kerana kebimbangan tentang cara beberapa kajian dijalankan. Keputusan sangat tidak konsisten merentas kajian yang berbeza, dan 18 daripada kajian melibatkan kurang daripada 100 orang. Kepastian penyelidikan memaksa kami berhati-hati tentang kesimpulan kami; penyelidikan baru boleh mengubahnya.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti terkini setakat November 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information