Latar belakang
Heparin adalah ubat digunakan untuk membantu menghalangkan darah daripada pembekuan. Ia datang dalam dua bentuk: heparin bukan fraksionasi (UFH) dan heparin berat molekul rendah (LMWH). LMWH mempunyai separuh hayat yang lebih lama (masa yang diperlukan agar kepekatan ubat dalam badan dikurangkan sebanyak 50%) dan kesan sampingan yang lebih sedikit berbanding dengan UFH. Heparin biasanya diberikan melalui suntikan tepat di bawah kulit, masuk ke lapisan lemak di bawah kulit sehingga dilepaskan perlahan-lahan ke dalam badan. Suntikan jenis ini kadang-kala boleh menyebabkan lebam dan sakit di tapak di mana jarum dimasukkan. Lebam berlaku apabila saluran darah dan kapilari kecil pecah dan berdarah di bawah kulit dan menyebabkan perubahan warna pada kulit. Pendarahan ini kadang-kadang bertambah buruk dan menyebabkan pembengkakan, dikenali sebagai hematoma, yang berlaku ketika darah berkumpul di tempat kecederaan. Beberapa kajian telah dijalankan untuk mengetahui sama ada kelajuan suntikan memberi kesan kepada jumlah kesakitan dan lebam di tapak di mana suntikan diberikan. Penyelidik kajian berpendapat bahawa suntikan heparin yang perlahan memberi masa pada tisu di bawah kulit untuk menampung isipadu yang disuntik, yang mengakibatkan tekanan yang berkurang, pendarahan kapilari, dan intensiti kesakitan di tempat, sehingga meminimumkan kemungkinan lebam di tempat suntikan. Walau bagaimanapun, hasil kajian berbeza, dan penulis kajian belum mencapai kesimpulan akhir yang jelas.
Ciri-ciri kajian dan hasil-hasil utama
Penyelidik mencari kajian yang menyiasat kesan kelajuan suntikan ke atas kesakitan dan lebam di mana suntikan diberikan (terkini hingga 22 Mac 2020). Lima kajian memenuhi kriteria kemasukan kami dan dimasukkan dalam ulasan. Kajian termasuk berlaku di Thailand, Turki, Itali, dan China, dan melibatkan 503 orang (312 wanita dan 191 peserta lelaki). Semua peserta kajian menerima LMWH, manakala tidak ada kajian yang menggunakan UFH.
Penyelidik kajian menyuntik heparin ke dalam perut peserta. Peserta boleh melihat suntikan yang diberikan dan tahu sama ada ia pantas (10 saat) atau lambat (30 saat).
Kami mendapati bahawa kesakitan mungkin sedikit berkurang 48 jam selepas suntikan perlahan berbanding dengan suntikan cepat. Begitu juga, mungkin terdapat lebam yang lebih kecil dan lebam yang lebih sedikit dengan suntikan perlahan 48 dan 60 jam selepas suntikan. Tidak ada kajian yang disertakan yang mengukur bilangan atau saiz haematoma.
Kepastian bukti
Kami menilai kepastian bukti sebagai rendah atau sangat rendah kerana kami mendapati hanya sebilangan kecil kajian yang diterbitkan yang melaporkan persoalan kajian kami, dan kajiannya kecil dan mempunyai hasil yang bertentangan. Fakta bahawa peserta mengetahui sama ada mereka mendapat suntikan cepat atau lambat juga boleh mempengaruhi hasilnya kerana pengetahuan ini mungkin menyebabkan mereka menggunakan teknik yang berbeza (iaitu menggunakan sejuk, panas, atau urut) untuk menghilangkan rasa sakit dan lebam berdasarkan intervensi yang diterima.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.