Soalan ulasan
Kami melihat sama ada penggerudian ovari transfaraj berpandu ultrasound (UTND) untuk menggalakkan ovulasi dalam kalangan wanita dengan sindrom ovari polisistik (PCOS) yang resistan clomiphene bermanfaat.
Latar belakang
Clomiphene citrate adalah salah satu rawatan barisan pertama yang diguna untuk mencetus ovulasi (pelepasan telur dari ovari) dalam kalangan wanita dengan PCOS (gangguan hormon yang lazim dalam kalangan wanita dalam usia boleh hamil). Walau bagaimanapun, 15% hingga 40% wanita dengan PCOS tidak mengalami ovulasi selepas diberi clomiphene (dikenali sebagai resistan clomiphene). Penggerudian jarum ovari transvaginal berpandu ultrasound (menusuk ovari di bawah bimbingan imej yang dicipta oleh prob ultrasound yang dimasukkan ke dalam faraj) diguna bagi wanita dengan PCOS rintang clomiphene untuk membantu melepaskan folikel dominan (ovulasi). Selain itu, gonadotropin (ubatan hormon suntikan) boleh ditawarkan sebagai pilihan rawatan untuk mencetus ovulasi dalam kalangan wanita dengan PCOS resistan clomiphene.
Telah dicadangkan berbanding laparoskopi (di mana insisi kecil dibuat di pelvis dan kamera kecil diguna untuk melihat ovari) penggerudian ovari, UTND boleh mengurangkan risiko komplikasi pembedahan. Namun, kebanyakan kajian UTND mempunyai batasan dalam kualiti kajian. Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian untuk disertakan. Keselamatan dan berkesanan UTND masih tidak pasti.
Tarikh carian
Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Disember 2020.
Ciri-ciri kajian
Tiada kajian boleh dimasukkan untuk analisis. Kami meletakkan tiga kajian yang disertakan sebelum ini dalam kategori klasifikasi menunggu kerana ketidakpastian tentang kaedah kajian.
Keputusan utama
Kami tidak dapat menilai manfaat atau mudarat mengaplikasi UTND untuk wanita dengan PCOS resistan clomiphene kerana tiada kajian boleh disertakan dalam ulasan semasa.
Kualiti bukti
Tiada kajian boleh disertakan untuk penilaian kualiti.
Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my