Latar belakang
Gangguan afektif bermusim (kemurungan musim sejuk) adalah sejenis kemurungan yang berulang pada musim luruh dan berlangsung hingga musim bunga. Gejalanya serupa dengan kemurungan biasa, kecuali penderita biasanya sangat letih dan mempunyai selera makan yang meningkat. Ia lebih biasa di negara-negara dengan sedikit waktu siang pada musim sejuk. Salah satu kaedah rawatan utama untuk semua kemurungan, termasuk kemurungan musim sejuk, adalah antidepresan generasi kedua (SGAs), seperti perencat pengambilan serotonin terpilih (SSRIs) dan perencat pengambilan serotonin dan norepinefrin (SNRIs). Adalah tidak jelas seberapa baikkah ubat ini berfungsi dan bagaimana ia dibandingkan antara satu sama lain atau jenis terapi yang lain untuk kemurungan musim sejuk, seperti terapi cahaya.
Hasil kajian
Kami menemui tiga kajian dengan sejumlah 204 peserta yang melihat satu SGA (fluoxetine) berbanding dengan plasebo (pil dummy) atau terapi cahaya. Satu kajian (68 peserta) membandingkan fluoxetine dengan plasebo, walaupun peserta yang menerima fluoxetine lebih cenderung bertindak balas terhadap rawatan, tidak ada cukup data untuk memastikan adanya perbezaan dengan plasebo. Dianggarkan bilangan peserta yang sama dalam kedua-dua kumpulan yang mengalami kesan sampingan.
Kami menemui dua kajian dengan jumlah 136 peserta yang membandingkan fluoxetine dengan terapi cahaya. Semasa kami menggabungkan hasil dari dua kajian ini, kami menemui bahawa kedua-dua rawatan tersebut adalah serupa dalam kesannya: kira-kira 66 daripada 100 orang bertambah baik dalam kumpulan terapi fluoxetine dan terapi cahaya. Jumlah peserta dengan kesan sampingan juga adalah hampir sama dalam kumpulan terapi fluoxetine dan terapi cahaya.
Kami menemui lima kajian tambahan yang memberikan maklumat mengenai keselamatan SGAs untuk rawatan kemurungan musim sejuk. Mereka melaporkan kesan sampingan dari SGAs bupropion, fluoxetine, escitalopram, duloxetine, nefazodone, dan reboxetine. Kami tidak dapat membandingkan ubat-ubatan secara langsung, tetapi kami dapat melaporkan bahawa kira-kira 0% hingga 25% orang meninggalkan kajian lebih awal kerana kesan sampingan, dan kesan sampingan yang paling biasa adalah mual, cirit-birit, tidur terganggu, penurunan keinginan seks, mulut kering, dan gangguan emosi. Kami tidak dapat membandingkan kadar kesan sampingan pada orang yang mengambil SGAs berbanding dengan plasebo, yang bermaksud bahawa keyakinan kami terhadap maklumat mengenai kesan sampingan adalah terhad.
Kepastian bukti
Kepastian bukti untuk keberkesanan dan keselamatan fluoxetine berbanding plasebo adalah sangat rendah. Kepastian bukti untuk keberkesanan dan keselamatan fluoxetine berbanding terapi cahaya adalah rendah.
Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.