Terapi oksigen kanula (tiub) hidung aliran tinggi untuk bayi yang menghidap bronkiolitis

Apakah itu bronkiolitis?

Bronkiolitis merupakan penyakit yang biasa dijumpai yang menjejaskan saluran pernafasan bawah (lebih kecil) dalam kalangan bayi (berumur kurang daripada 24 bulan). Penyakit ini biasanya disebabkan oleh jangkitan virus, dan ia mengakibatkan masalah pernafasan, termasuk batuk, pernafasan cepat dan berdehit, dan boleh mengakibatkan penyusuan yang kurang. Bronkiolitis merupakan penyebab utama kemasukan ke hospital dalam kalangan bayi. Rawatan bronkiolitis adalah secara rawatan sokongan. Dalam kalangan bayi yang memerlukan kemasukan ke hospital, ianya melibatkan bantuan untuk bayi bernafas sehingga jangkitan hilang. Kaedah rawatan yang semakin kerap digunakan untuk sokongan pernafasan adalah melalui kanula (tiub) hidung udara dan oksigen yang dicampurkan, dipanaskan dan dilembabkan pada kadar aliran yang lebih tinggi daripada dua liter udara/oksigen setiap minit, iaitu kadar maksimum untuk penyaluran oksigen kering konvensional (aliran rendah). Ini dikenali sebagai terapi kanula hidung beraliran tinggi, dan ia membolehkan penghantaran aliran campuran udara/oksigen berkadar tinggi yang selesa dan boleh meningkatkan pengudaraan. Rawatan tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) juga semakin kerap digunakan dalam rawatan bronkiolitis. Ia melibatkan penyaluran campuran udara/oksigen pada tekanan yang dipratetapkan untuk memastikan saluran udara tetap terbuka dan mengelakkan pengempisan saluran udara semasa ekspirasi (membuang nafas).

Apakah yang kami ingin ketahui?

Terapi oksigen beraliran tinggi boleh mengurangkan kebergantungan kepada sokongan pernafasan invasif (misalnya intubasi) dan boleh mempunyai kelebihan klinikal berbanding rawatan lain dengan mengelakkan pengeringan saluran pernafasan atas. Ulasan ini menilai keberkesanan terapi kanula hidung beraliran tinggi jika dibandingkan dengan rawatan sokongan pernafasan yang lain dalam perawatan bayi yang menghidap bronkiolitis.

Apakah yang kami lakukan?

Enam belas kajian (2813 peserta) memenuhi kriteria perangkuman kami. Kajian-kajian ini membandingkan sama ada rawatan oksigen beraliran tinggi dengan terapi oksigen konvensional (aliran rendah) atau dengan terapi tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP). Kajian-kajian ini dijalankan di wad pediatrik dan unit jagaan rapi di seluruh dunia. Kami mengenal pasti 11 kajian yang membandingkan rawatan oksigen beraliran tinggi dengan beraliran rendah, melibatkan sejumlah 2322 orang bayi, dan lima kajian yang membandingkan rawatan pemberian oksigen beraliran tinggi dengan CPAP yang melibatkan sejumlah 491 orang bayi. Dalam setiap kajian, kami menumpukan kepada perbandingan tempoh rawatan di hospital , perubahan dalam kadar denyutan jantung, kadar pernafasan dan kriteria pemarkahan klinikal, di samping mengambil kira bilangan peristiwa kesan buruk dan keadaan rawatan perlu dipertingkatkan. Kami menganalisis data ini untuk menentukan sama ada intervensi ini lebih unggul dan memberikan sebarang perbezaan yang ketara dari segi statistik.

Apakah yang telah kami temui?

Kami membahagikan ulasan kami kepada kajian yang membandingkan aliran tinggi dengan aliran rendah, serta kajian yang membandingkan aliran tinggi dengan CPAP.

Apabila membandingkan aliran tinggi dengan aliran rendah, kami menemui perbezaan yang cenderung kepada aliran tinggi, iaitu pengurangan tempoh rawatan di hospital dan tempoh terapi oksigen .

Pengurangan tempoh tinggal di hospital didapati 0.65 hari (15.6 jam), dan pengurangan tempoh terapi oksigen ialah 0.59 hari (14.2 jam). Pengurangan ini adalah sederhana dan mungkin tidak mempunyai kesan klinikal ketara apabila diterapkan dalam situasi dunia sebenar.

Kami juga menemui perbezaan, mengutamakan aliran tinggi, dalam pengurangan yang lebih besar dari segi kadar pernafasan dan denyutan jantung, serta kurang bilangan kejadian bagi yang memerlukan peningkatan rawatan.

Kami tidak menemui perbezaan antara kumpulan aliran tinggi dengan aliran rendah dari segi kejadian peristiwa buruk (termasuk peristiwa sampingan seperti perdarahan dan keruntuhan paru-paru, di samping isu peralatan).

Dalam semua kajian, aliran tinggi secara amnya dapat diterima dengan baik tanpa sebarang peristiwa buruk yang serius direkodkan apabila dibandingkan dengan aliran rendah dan CPAP.

Kami tidak mempunyai kajian yang mencukupi untuk membandingkan pemberian aliran tinggi dengan CPAP untuk membolehkan perbandingan atau penggabungan keputusan (meta-analisa).

Apakah batasan bukti?

Oksigen kanula hidung aliran tinggi adalah lebih berkesan daripada aliran rendah dari segi pengurangan kadar pernafasan dan denyutan jantung, tempoh tinggal di hospital, tempoh terapi oksigen, serta keperluan kepada peningkatan rawatan . Disebabkan perbezaan yang ketara antara kajian (heterogeniti), serta risiko bias, kami hanya berkeyakinan sederhana untuk bukti yang ditemui untuk kebanyakan hasil ini.

Bukti yang ada tidak mencukupi untuk menentukan keberkesanan terapi kanula hidung beraliran tinggi apabila dibandingkan dengan CPAP untuk rawatan bronkiolitis dalam kalangan bayi dan kajian lanjut diperlukan untuk menentukan peranannya.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 8 Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information