Soalan ulasan
Adakah akupunktur bermanfaat untuk simptom-simptom kelambatan pengosongan perut?
Latar belakang
Gastroparesis ialah keadaan di mana pengosongan perut lebih lambat dari normal tanpa hadangan. Antara penyebabnya termasuklah kerosakan saraf di usus (kegagalan autonomik, paling lazim disebabkan oleh kencing manis), jangkitan virus dan komplikasi pembedahan. Simptomnya termasuk rasa penuh selepas mula makan, rasa penuh yang tidak selesa selepas makan, loya, regurgitasi/muntah, tidak sihat, dan kembung. Ramai orang tidak mempunyai simptom, tetapi ulasan Cochrane ini memberi fokus kepada mereka yang mengalami simptom.
Ciri-ciri ulasan
Kami menganalisa 32 kajian yang melibatkan sejumlah 2601 respondan. Kebanyakan kajian melibatkan mereka yang mengalami gastroparesis diabetis, yang telah menerima rawatan jangka pendek (biasanya empat minggu). Badan-badan pembiayaan tanpa keuntungan (Kerajaan Cina dan sebuah universiti) telah membiayai enam dari 32 kajian dan yang lainnya tidak melaporkan punca pembiayaan. Satu kajian membandingkan akupunktur benar dengan akupunktur palsu (cucukan ke atas titik-titik bukan akupunktur). Dua puluh lapan kajian membandingkan akupunktur dengan ubatan, atau akupunktur bersama ubatan atau ubatan sahaja. Sebilangan kecil kajian membandingkan akupunktur bersama rawatan bukan ubatan dengan rawatan sahaja yang sama. Kebanyakan ubat-ubatan dalam kajian adalah agen-agen gastrokinetik (seperti domperidone, mosapride, dan cisapride), yang menggalakan pengosongan perut.
Keputusan-keputusan utama
Walaupun terdapat laporan kesan yang kecil, kami tidak pasti mengenai manfaat akupunktur untuk gastroparesis simptomatik dalam jangka masa pendek, bila digunakan bersendirian atau ditambah kepada rawatan lain untuk gastroparesis (gastrokinetik, perubatan lain, atau ‘jagaan rutin’), kerana bukti berkepastian yang sangat rendah. Tidak ada maklumat untuk bantu kefahaman apa-apa manfaat akupunktur jangka panjang. Kesan-kesan akupunktur ke atas simptom gastroparesis kemungkinannya adalah sedikit berbeza dari akupunktur tiruan dalam jangka masa pendek. Tidak jelas samada akupunktur membantu gastroparesis selepas pembedahan atau bilamana penyebab gastroparesis tidak diketahui, kerana ketiadaan maklumat yang cukup. Tidak ada kajian yang mengkaji kesan akupunktur ke atas kualiti kehidupan atau kelambatan pengosongan perut. Kami tidak mengetahui samada akupunktur adalah selamat untuk pesakit diabetis yang mempunyai kelambatan pengosongan perut, kerana keselamatan tidak dilaporkan sepenuhnya dalam kebanyakan kajian.
Kepastian bukti
Pada keseluruhannya, kepastian bukti adalah sangat rendah. Kebanyakan kajian mempunyai isu-isu rekabentuk. Kami mengesyaki adanya kajian yang tidak mempunyai penerbitan dan adalah tidak mungkin untuk dipastikan samada kajian yang telah kami kenalpasti telah melaporkan penemuan mereka sepenuhnya. Tidak ada definisi yang konsisten merentasi kajian-kajian mengenai penambahbaikan. Mana-mana manfaat yang dilaporkan mungkinnya tidak tepat dan seharusnya ditafsirkan dengan teliti. Kajian-kajian masa hadapan seharusnya memberi tumpuan ke atas ukuran-ukuran yang sah ke atas kesan-kesan rawatan yang dilaporkan terus oleh pesakit, dan penilaian pengosongan perut. Kajian seharusnya menepati standard kualiti untuk rekabentuk dan pelaporan yang telus.
Bukti terkini sehingga Mac 2018.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my