Sel mesenkima stroma untuk merawat atau mencegah penyakit graf versus penerima di kalangan penerima transplan sel induk.

Soalan Ulasan

Bagi orang yang menerima transplan sel induk untuk masalah hematologi, adakah infusi tambahan sel stroma mesenkima (MSCs) akan mencegah terjadinya penyakit graf versus penerima (GvHD)? Bagi orang yang sudah mengalami GvHD akibat dari transplan sel induk, adakah MSCs dapat memperbaiki keadaan klinikal mereka?

Latar Belakang

Pesakit leukemia atau penyakit darah yang lain mungkin boleh dirawat dengan sel induk darah daripada orang lain, tetapi sel imun di dalam graf penderma boleh menyerang tisu-tisu penerima dan menyebabkan komplikasi serius yang dinamakan penyakit graf versus penerima (GvHD). Steroid merupakan rawatan standard bagi GvHD, tetapi jika steroid tidak mampu menghentikan kerosakan maka pilihan rawatan seterusnya adalah terhad. Bagi melihat potensi rawatan baru, sebilangan hospital di seluruh dunia mengkaji penggunaan MSCs bagi menghalang GvHD. MSCs adalah sejenis sel yang boleh berkembang menjadi tisu perantara (seperti tulang atau rawan), tetapi ia juga didapati mengandungi kandungan anti-keradangan. Dalam kajian klinikal, MSCs dikumpul dari sumber tisu yang berbeza (seperti sum-sum tulang, lemak atau uri) dan dibiakkan menjadi jumlah yang banyak di dalam makmal. MSC ini kemudiannya disuntik ke dalam salur darah penerima semasa mereka menerima transplan sel induk atau selepas transplan, sama ada untuk mengelakkan GvHD (pencegahan) atau untuk merawat penyakit yang sedang berlaku. Bagi pesakit yang sedang dirawat untuk GvHD, adakah rawatan MSCs selamat dan berkesan terhadap komplikasi keradangan akibat daripada GvHD?

Ciri-ciri ulasan

Ulasan ini adalah terkini sehingga 6 December 2018. Kami mengenalpasti 12 kajian dan 13 kajian yang sedang berlangsung. Sepuluh kajian membandingkan MSCs dengan kumpulan kawalan, dan dua kajian membandingkan diantara dos-dos MSCs yang berlainan. Lima kajian hanya melibatkan orang dewasa, manakala 6 kajian melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak dan satu kajian hanya dilakukan ke atas kanak-kanak. Bagi 12 kajian yang telah tamat, satu kajian melibatkan pesakit mengidap penyakit darah yang diwarisi (Talassemia Major) dan 11 kajian melibatkan pesakit kanser darah. Di dalam tujuh kajian, MSCs diberikan untuk mencegah GvHD, manakala di dalam 5 kajian, MSCs diberikan kepada orang yang telah mengalami GvHD. MSCs diperolehi dari salur darah uri dalam 2 kajian, sum sum tulang dalam 7 kajian dan tisu lemak dalam 1 kajian; manakala dalam 2 kajian lagi sumber MSCs tidak diketahui. Apabila dibandingkan di antara MSCs dengan tiada MSCs, sel diberikan pada dos di antara 105 dan 107 sel bagi setiap kg. Tujuh kajian memberi MSCs dalam dos tunggal, manakala 5 kajian memberikan dos MSCs secara berulang kali. Peserta kajian dimonitor selama antara 10 hingga 60 bulan, atau bagi yang mengalami GvHD, dimonitor sehingga 2 tahun. Tiga kajian yang ditaja dan dilakukan oleh pengeluar komersial, menggunakan sel stroma yang dikultur oleh pengeluar dan dikenali sebagai Prochymal. Kesemua kajian melibatkan kedua-dua jantina lelaki dan perempuan.

Keputusan utama

MSCs mungkin mempunyai sedikit ataupun tiada perbezaan bagi risiko kematian atau kanser berulang bagi penyakit malignan, sama ada untuk pencegahan GvHD ataupun sebagai rawatan, memandangkan kualiti bukti yang ada adalah rendah. MSCs diterima dengan baik oleh pesakit, tiada kesan toksik akibat infusi atau pembentukan tisu ektopik yang dilaporkan. Tiada kajian melaporkan kualiti hidup berkaitan kesihatan. Dalam kajian di mana MSCs diberikan untuk mencegah GvHD, MSCs mungkin mengurangkan risiko terjadinya GvHD kronik, tetapi mungkin sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko terjadinya GvHD akut. Dalam kajian rawatan GvHD, kami tidak pasti adakah MSCs berkesan memulihkan sepenuhnya kesan buruk akibat akut atau kronik GvHD kerana kualiti bukti yang ada adalah rendah. Kami mendapati tiada perbezaan di antara peserta yang menerima dos MSCs yang lebih tinggi apabila dibandingkan dengan mereka yang menerima dos MSCs yang lebih rendah.

Kualiti bukti

Kualiti bukti yang ada adalah rendah atau tersangat rendah bagi kesemua ukuran hasil kajian, ini kerana jumlah kajian yang kecil dan jumlah peserta yang sedikit yang dimasukkan di dalam ulasan ini. Satu kajian dimulakan pada tahun 2008, namun keputusannya tidak diketahui kerana masih belum diterbitkan. Adalah sukar untuk membuat konklusi ataupun mencadangan penggunaan MSCs, sama ada untuk mencegah ataupun merawat GvHD. Lebih banyak kajian dengan jumlah peserta kajian yang lebih banyak diperlukan bagi meningkatkan kualiti bukti yang diperolehi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi intanj@usm.my.

Tools
Information