Apakah isunya?
Penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) mengalami penurunan fungsi buah pinggang yang berterusan dari masa ke masa. Penghidap CKD berisiko tinggi untuk mengalami penyakit jantung dan kegagalan fungsi buah pinggang yang boleh menyebabkan perlunya dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk kelangsungan hidup. Pengambilan garam yang tinggi dikaitkan dengan faktor risiko bagi penyakit jantung dan kegagalan fungsi buah pinggang, termasuk tekanan darah tinggi, protein berlebihan dalam air kencing dan cecair badan yang berlebihan. Oleh itu, pengurangan pengambilan garam dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan memelihara fungsi buah pinggang. Tujuan kami adalah untuk menilai faedah dan bahaya mengurangkan pengambilan garam bagi penghidap CKD.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari bukti hingga Oktober 2020 untuk mencari ujian terkawal secara rawak yang membandingkan dua atau lebih kadar pengambilan garam pada orang dewasa dengan CKD, termasuk juga mereka yang berada pada tahap awal CKD, mereka yang dirawat dengan dialisis, dan mereka yang telah menerima pemindahan buah pinggang.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menjumpai 21 kajian yang menyertakan 1197 orang dewasa dengan CKD (725 orang dengan pengambilan kadar garam yang rendah dan 725 orang dalam kumpulan pengambilan kadar garam yang tinggi). Peserta kajian merangkumi orang dewasa yang berada pada peringkat awal CKD (779 orang dalam 12 kajian), orang dewasa yang menjalani dialisis (363 orang dalam tujuh kajian), dan penerima pemindahan buah pinggang yang dewasa (55 orang dalam dua kajian). Purata tempoh kajian adalah tujuh minggu, dengan julat antara satu hingga 36 minggu. Kami tidak menemui kajian yang mengukur kesan terhadap kejadian kematian, penyakit jantung, atau keperluan untuk dialisis atau pemindahan buah pinggang. Sebaliknya, kami menemui kajian yang mengukur faktor risiko untuk hasil-hasil ini.
Kami mendapati bahawa penururunan pengambilan garam dapat mengurangkan tekanan darah dan protein dalam air kencing pada penghidap CKD. Mengurangkan pengambilan garam boleh mengurangkan isipadu cecair ekstraselular pada tahap awal CKD. Bukti adalah sangat tidak pasti mengenai kesan terhadap berat badan dan pengurangan dos atau jumlah ubat tekanan darah tinggi. Kesan pada fungsi buah pinggang adalah bercampur-campur. Kadar pengambilan garam yang rendah mungkin meningkatkan terjadinya pening kerana tekanan darah rendah.
Kesimpulannya
Kami mendapati bahawa pengurangan pengambilan garam mengurangkan faktor risiko penyakit jantung dan kegagalan fungsi buah pinggang pada penghidap CKD dalam jangka masa pendek. Kami tidak dapat menemui bukti mengenai kesan jangka panjang bagi pengurangan pengambilan garam, yang bermaksud kami tidak dapat menentukan kesan pengambilan garam secara langsung terhadap kematian, penyakit jantung, atau keperluan untuk dialisis atau pemindahan buah pinggang. Kami memerlukan lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi dalam bidang-bidang ini.
Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my