Isunya
Menjadi aktif secara regular boleh membawa pelbagai manfaat kesihatan untuk individu dengan kanser dan bekas pesakit kanser, termasuk memperbaik kualiti hidup dan fungsi fizikal. Menjadi aktif secara fizikal juga mungkin mengurangkan risiko kanser berulang dan kematian akibat kanser. Oleh kerana kebanyakan bekas pesakit kanser tidak aktif secara regular, terdapat keperluan untuk memahami cara terbaik untuk mempromosi dan mengekalkan aktiviti fizikal dalam populasi ini.
Matlamat ulasan
Untuk memahami cara paling berkesan memperbaik dan mengekalkan tingkah laku bersenam dalam kalangan individu dengan kanser dan bekas pesakit kanser.
Ciri-ciri kajian
Kami hanya sertakan kajian-kajian yang membandingkan intervensi senaman dengan penjagaan biasa atau kawalan 'senarai tunggu'. Hanya kajian melibatkan orang sedentari berumur lebih 18 tahun dengan diagnosis kanser yang sama layak. Peserta mestilah telah diperuntuk secara rawak untuk bersenam atau penjagaan biasa. Kami telah mencari bukti dari pangkalan data penyelidikan dari tahun 1946 hingga Mei 2018.
Apakah penemuan utama?
Kami sertakan 23 kajian melibatkan sejumlah 1372 peserta. Bukti menunjukkan kajian-kajian senaman yang menggabung elemen penyeliaan boleh membantu bekas pesakit kanser. Walau bagaimanapun, kami masih kurang faham bagaimana mempromosi senaman untuk jangka panjang (melebihi enam bulan). Terdapat kebimbangan penyelidikan tidak dilapor dengan jelas seperti yang sepatutnya. Kami dapati penetapan matlamat, penilaian tugas aktiviti fizikal dan memberi arahan tentang cara melakukan senaman boleh membantu orang membuat bersenam yang bermanfaat. Di samping itu, kami mendapat bukti individu yang memenuhi tahap senaman yang disyor adalah lebih cergas sehingga enam bulan.
Kualiti bukti
Masalah utama yang ditemui tentang kualiti kajian dalam ulasan ini termasuk: tidak pasti bagaimana penyiasat kajian menjalankan rawak untuk kajian dan tidak tahu sama ada penyiasat yang membuat penilaian kajian mengetahui kumpulan individu yang dinilai telah dirawak. Kualiti bukti dari kajian-kajian ini didapati rendah kerana kebanyakan kajian mempunyai bilangan peserta yang kecil.
Apakah kesimpulannya?
Kesimpulan utama ulasan ini ialah senaman secara am adalah selamat untuk bekas pesakit kanser. Kami lebih faham tentang cara menggalakkan bekas pesakit kanser untuk memenuhi syor senaman semasa. Walau bagaimanapun, masih terdapat kurang bukti tentang cara menggalakkan senaman dalam kalangan bekas pesakit kanser melebihi enam bulan.
Diterjemah oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my