Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan kajian ini adalah untuk memahami manfaat-manfaat dan juga kesan sampingan ubat analog purin, iaitu azathioprine (AZA), dan juga 6-mercaptopurine (6-MP), yang digunakan untuk memastikan remisi berterusan selepas pembedahan bagi mereka yang menghidapi penyakit Crohn (CD).
Apakah penyakit Crohn?
Penyakit Crohn adalah penyakit usus kronik. Penyakit ini diketahui untuk sentiasa berubah dari masa penghidap mengalami gejala (berulang) kepada masa apabila gejala hilang (remisi) untuk masa yang singkat. Gejala-gejala umum termasuk sakit perut, cirit-birit dan kehilangan berat badan. Mereka yang menghidapi penyakit Crohn boleh menjalani pembedahan untuk membuang bahagian yang berpenyakit pada usus mereka. Walau bagaimanapun, gejala-gejala penyakit ini boleh berulang semula dalam jangka masa yang singkat. Ubat-ubatan yang berbeza boleh diberikan untuk memastikan penghidap Crohn bebas daripada sebarang gejala untuk seberapa lama yang mungkin. Walaubagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan kesan-kesan sampingan yang mungkin timbul. Analog purin (AZA dan 6-MP) adalah sekumpulan ubat immunosupresif yang telah digunakan selama lebih lima dekad untuk merawat penyakit Crohn. Kami mengkaji sama ada antimebolit purine boleh mengekalkan remisi di kalangan penghidap penyakit Crohn setelah bahagian berpenyakit pada usus mereka dibuang.
Apakah keputusan utama ulasan?
Penulis kajian mendapati 10 kajian yang relevan dengan sejumlah 928 peserta, yang dijalankan di Israel, Amerika Syarikat, serta beberapa buah negara Eropah. Kajian-kajian ini melibatkan penghidap penyakit Crohn yang berumur lebih 16 tahun yang telah menjalani pembedahan dan bebas daripada sebarang gejala penyakit. Kajian-kajian ini telah membandingkan analog purin dengan plasebo (contohnya pil gula), atau dengan formulasi oral, 5-aminosalicylic asid (5-ASA) atau dengan ubat anti-tumor faktor-nekrosis-Alpha (anti-TNF-α). 5-ASA dan anti-TNF-ɑ adalah ubat-ubatan yang digunakan untuk mengurangkan keradangan (sakit dan bengkak) di dalam usus.
Terdapat sebuah kajian yang berkualiti tinggi, enam kajian yang berkualiti lebih rendah, dan tiga kajian yang tidak melaporkan maklumat yang mencukupi untuk membuat penilaian terhadap kualiti. Analog purin adalah mungkin lebih baik daripada plasebo untuk mengekalkan remisi daripada pembedahan untuk penyakit Crohn (bukti kepastian sederhana ). Analisa kajian-kajian yang membandingkan antimetabolit purin dengan ubat 5-ASA telah menemui tiada perbezaan yang ketara di antara jumlah mereka yang masih dalam remisi. Namun, lebih ramai yang mengalami kesan sampingan yang serius ataupun memberhentikan rawatan kerana kesan-kesan sampingan dalam kalangan mereka yang menerima analog-analog purin berbanding mereka yang menerima 5-ASA (kualiti bukti yang rendah, dan sangat rendah). Analisa kajian-kajian yang membandingkan analog-analog purin dengan ubat-ubatan anti-TNF-ɑ menunjukkan analog-analog purin adalah kurang efektif untuk mengekalkan remisi selepas pembedahan untuk penyakit Crohn. Bagaimanapun, kepastian menyeluruh terhadap bukti ini adalah sangat rendah. Kajian-kajian yang direka dengan lebih baik diperlukan untuk memahami manfaat serta kesan buruk analog-analog purin berbanding ubat anti-TNF-ɑ dan ubat-ubatan aktif lain yang digunakan untuk penyakit Crohn. Kerana kekurangan data serta tiada konsistensi dalam laporan-laporan semua kajian berkenaan, maka, kesan analog-analog purin terhadap kesan-kesan sampingan berbanding plasebo, 5-ASA, atau agen biologik tidak dapat dipastikan. Kebiasaannya, kesan-kesan sampingan yang lazim dilaporkan dalam semua kajian termasuklah leukopenia (pengurangan jumlah sel darah putih dalam darah), artralgia (sakit sendi), pankreatitis (radang pankreas), sakit perut, ataupun ketidakselesaan epigastrik yang serius, peningkatan enzim-enzim hati, loya dan muntah, anemia (jumlah sel darah merah yang rendah), nasofaringitis (selsema biasa), dan juga kentut (gas usus).
Adakah ulasan ini terkini?
Pengarang ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 31 Julai 2019.
Kesimpulan
Terdapat bukti yang berkualiti sederhana yang menunjukkan AZA dan 6-MP mungkin lebih baik berbandung plasebo untuk mengekalkan remisi daripada pembedahan dalam kalangan penghidap penyakit Crohn. Tidak terdapat perbezaan yang ketara dalam jumlah perulangan klinikal di antara analog purin berbanding dengan ubatan 5-ASA. Namun, perbandingan ini adalah berdasarkan kepastian bukti yang rendah. Terdapat bukti-bukti yang berkepastian sangat rendah bahawa AZA dan 6-MP menyebabkan kesan-kesan sampingan yang serius dan penarikan daripada kajian kerana kesan-kesan sampingan berbanding ubatan 5-ASA. Terdapat bukti berkepastian rendah yang menunjukkan bahawa analog-analog purin adalah lebih lemah berbanding ubatan anti-TNF-a bagi mencegah pengulangan gejala, namun,kesimpulan yang kuat tidak dapat diberi. Kajian selanjutnya adalah perlu untuk menyiasat manfaat serta keburukkan AZA dan 6-MP berbanding ubat-ubatan aktif lain bagi memastikan remisi daripada pembedahan untuk penyakit Crohn .
Diterjemahkan oleh Syameer Firdaus (Monash University). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi msmoh50@mikotosyameer.com