Soalan ulasan
Ulasan ini bertujuan mengumpul bukti penggunaan telerehabilitasi selepas strok. Kami ingin membandingkan telerehabilitasi dengan terapi bersemuka dan dengan tiada terapi (penjagaan biasa).
Latar belakang
Strok adalah penyebab lazim kecacatan dalam kalangan dewasa. Selepas strok, lazim bagi individu untuk mengalami kesukaran mengurus aktiviti harian seperti berjalan, mandi, berpakaian, dan mengambil bahagian dalam aktiviti komuniti. Ramai orang perlu rehabilitasi selepas strok; ini biasanya disediakan oleh profesional penjagaan kesihatan di hospital atau persekitaran klinik. Kajian terkini telah menyiasat kemungkinan mengguna teknologi seperti telefon atau internet untuk membantu orang berkomunikasi dengan profesional penjagaan kesihatan tanpa perlu meninggalkan rumah mereka. Pendekatan ini, yang dipanggil telerehabilitasi, boleh menjadi cara yang lebih mudah dan kurang mahal untuk menyediakan rehabilitasi. Telerehabilitasi boleh diguna untuk memperbaiki pelbagai hasil termasuk fungsi fizikal dan mood.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian pada Jun 2019 dan mengenal pasti 22 kajian melibatkan 1937 orang selepas strok. Kajian-kajian tersebut menggunakan pelbagai rawatan, termasuk program terapi yang direka untuk memperbaiki fungsi lengan dan keupayaan untuk berjalan dan program yang direka untuk memberi kaunseling dan sokongan apabila meninggalkan hospital selepas strok.
Kkeputusan utama
Oleh kerana kajian-kajian sangat berbeza, ia jarang sesuai untuk gabungan keputusan bagi menentukan kesan keseluruhan. Kami mendapati orang yang menerima telerehabilitasi mempunyai hasil yang sama untuk fungsi aktiviti kehidupan harian dengan mereka yang menerima terapi bersemuka dan mereka yang tidak menerima terapi (penjagaan biasa). Pada ketika ini, tiada cukup penyelidikan untuk menunjukkan sama ada telerehabilitasi adalah cara yang lebih efektif untuk menyediakan rehabilitasi. Beberapa kajian melaporkan telerehabilitasi kurang mahal untuk disediakan tetapi kurang maklumat tentang keberkesanan kos. Hanya dua kajian yang melaporkan kejadian buruk telah berlaku; kajian-kajian tersebut mendapati tiada peristiwa buruk yang serius yang berkait dengan telerehabilitasi. Kajian lanjutan diperlukan.
Kualiti bukti
Kualiti bukti secara amnya adalah rendah atau sederhana. Kualiti bukti bagi setiap hasil adalah terhad kerana bilangan peserta kajian yang kecil dan kelemahan laporan butiran kajian.
Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my