Tekanan salur udara positif berterusan (CPAP) untuk bronkiolitis akut dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Adakah tekanan salur udara positif berterusan (CPAP) lebih baik atau lebih teruk berbanding rawatan sokongan untuk kanak-kanak dengan bronkiolitis akut?

Latar belakang

Bronkiolitis adalah keradangan saluran pernafasan kecil di dalam paru-paru, dan penyebab lazim untuk rawatan di jabatan kecemasan dalam kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak sering menerima rawatan sokongan termasuk memastikan penghidratan yang cukup dan menyediakan oksigen tambahan yang diperlukan. Rawatan dengan CPAP melibatkan tekanan udara positif dengan meniup udara dari pam untuk memastikan saluran pernafasan terbuka, dan mungkin berkesan untuk kanak-kanak dengan bronkiolitis. Ini adalah kemas kini ulasan yang pertama diterbitkan pada 2015 dan dikemas kini pada 2019.

Tarikh carian

15 Ogos 2021

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tiga kajian rawak terkawal kecil (kajian di mana peserta secara rawak diberikan salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang melibatkan sejumlah 122 kanak-kanak berumur sehingga 12 bulan yang didiagnos dengan bronkiolitis. Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian baharu untuk dimasukkan dalam kemas kini ini. Tiga kajian tersebut dijalankan di pusat-pusat tunggal di Perancis, UK, dan India. Semua kajian membandingkan CPAP dengan terapi standard.

Sumber pembiayaan kajian

Satu kajian dibiaya oleh sebuah hospital universiti; satu kajian melaporkan tiada pembiayaan diterima; dan kajian ketiga tidak menyebut sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Bukti terhad yang ada menghalang sebarang kesimpulan mengenai kesan CPAP terhadap keperluan untuk ventilasi mekanikal dalam kalangan kanak-kanak dengan bronkiolitis. Bukti kepastian rendah yang terhad menunjukkan pembaikan pernafasan (kadar pernafasan menurun) dalam kalangan kanak-kanak yang menerima CPAP. Tempoh masa kanak-kanak di hospital adalah serupa antara CPAP dan kumpulan-kumpulan terapi standard. Tiada kanak-kanak dalam kajian dilaporkan telah meninggal dunia. Kajian-kajian tidak melaporkan masa hingga pemulihan, perubahan tekanan oksigen separa, berapa kerap kanak-kanak dimasukkan ke hospital dari jabatan kecemasan, berapa lama kanak-kanak berada di jabatan kecemasan, atau keperluan kemasukan ke penjagaan intensif. Tiada kesan nasal setempat, atau renjatan seperti yang dilaporkan oleh satu kajian. Tiada kanak-kanak yang dilaporkan dengan udara dalam kaviti di antara paru-paru dan dinding dada yang menyebabkan paru-paru menguncup (pneumotoraks) seperti yang dilaporkan oleh satu kajian. Dua kajian tidak melaporkan kesan nasal setempat, renjatan, atau pneumotoraks. Kajian yang ditambah dalam kemas kini ulasan terdahulu pada 2019 menyumbang data kepada penilaian kadar respiratori dan keperluan ventilasi mekanikal.

Kepastian bukti

Kami temui bukti kepastian rendah terhad berkaitan dengan CPAP untuk kanak-kanak dengan bronkiolitis. Kepastian bukti telah terkurang akibat risiko bias yang tinggi, kehilangan susulan, pelaporan selektif dan julat nilai yang luas yang dilaporkan oleh kajian-kajian yang disertakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information