Ubat yang bertujuan untuk melegakan gejala klinikal kompleks sklerosis tuberus

Soalan ulasan

Adakah rapamycin atau rapalog mampu mengurangkan keterukan gejala klinikal dalam kalangan orang yang menghidap kompleks sklerosis tuberus?

Latar belakang

Kompleks sklerosis tuberus merupakan penyakit genetik yang disebabkan oleh mutasi pada gen TSC1 atau TSC2 yang memberi kesan kepada organ seperti otak, buah pinggang, jantung, paru-paru dan kulit. Insidennya adalah satu dalam kira-kira 6000. Kajian terdahulu telah menunjukkan potensi manfaat rapamycin atau rapalog untuk merawat orang yang menghidap kompleks sklerosis tuberus. Walaupun everolimus (sejenis rapalog) pada masa ini diluluskan oleh FDA (Badan Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat) dan EMA (Agensi Ubat-ubatan Eropah) untuk merawat tumor yang berhubungkait dengan penyakit kompleks sklerosis tuberus (angiomiolipoma buah pinggang dan astrositoma sel raksasa subependima), penggunaan ubat ini untuk merawat simptom lain untuk penyakit tersebut masih belum diterima umum. Ulasan ini bertujuan untuk mengumpulkan kajian klinikal dalam bidang ini untuk menentukan nilai klinikal rapamycin dan rapalog untuk pelbagai gejala kompleks sklerosis tuberus.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 15 Julai 2022.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini menyertakan 10 kajian dengan sejumlah 1008 orang penghidap kompleks sklerosis tuberus yang berumur antara tiga bulan sehingga 65 tahun. . Walau bagaimanapun, salah satu kajian melibatkan lima orang yang menghidap limfangioleiomiomatosis sporadik (tanpa kompleks sklerosis tuberous) yang tidak dapat kami singkirkan daripada analisa kami. Kajian-kajian tersebut membandingkan rapamycin atau rapalog dengan plasebo (sebatian yang tidak mengandungi sebarang bahan aktif) dan mereka telah dipilih untuk menerima salah satu rawatan secara rawak. Tempoh kajian berbeza antara satu sama lain. Dua kajian telah dibiayai oleh Novartis Pharmaceuticals.

Keputusan utama

Everolimus oral (sejenis rapalog) meningkatkan bilangan orang yang mencapai pengurangan sebanyak 50% dari segi saiz astrositoma sel raksasa subependima dan angiomiolipoma buah pinggang, serta pengurangan kekerapan sawan sebanyak 25% hingga 50%. Everolimus oral juga menunjukkan manfaat dari segi gerak balas lesi kulit. Walau bagaimanapun, mereka yang menerima rawatan sistemik mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami sebarang jenis kesan buruk jika dibandingkan dengan peserta yang tidak menerima rawatan. Lebih ramai orang yang menerima rawatan sistemik mengalami kesan buruk yang teruk dan kesan buruk yang menyebabkan mereka menarik diri daripada kajian, menghentikan sementara rawatan ataupun mengurangkan dos mereka berbanding dengan mereka yang hanya menerima plasebo.

Rapamycin topikal meningkatkan perkadaran peserta yang melaporkan gerak balas terhadap ubat itu dari segi lesi kulit dan mungkin angiofibroma muka. Ketiadaan rapamycin topikal meningkatkan perkadaran peserta yang melaporkan kemerosotan terhadap apa-apa lesi kulit. Rapamycin topikal juga meningkatkan skor pembaikan dan kepuasan. walau bagaimanapun, peserta yang menerima rawatan sistemik mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami sebarang jenis kesan buruk, tetapi bukan kesan buruk yang teruk jika dibandingkan dengan peserta yang tidak menerima rawatan.

Kepastian bukti

Semua kajian yang disertakan secara amnya mempunyai risiko bias yang rendah dari segi reka bentuk kajian. Empat daripada kajian tersebut menunjukkan risiko bias yang tinggi dalam beberapa aspek reka bentuk kajian, misalnya sama ada peserta telahpun tahu mereka diberikan rawatan atau plasebo dan data yang tidak lengkap dalam analisis akhir. Dalam lapan kajian, kami memerlukan maklumat penting daripada pengarang kajian berkenaan beberapa aspek dalam rekabentuk kajian mereka untuk membolehkan kami membuat pentaksiran mutu dari aspek ini, seperti sama ada peserta telahpun tahu sama ada mereka diletakkan dalam kumpulan mana, sama ada mereka tahu mereka diberi rawatan atau plasebo, sama ada kakitangan kajian tahu peserta menerima rawatan atau plasebo, sama ada mereka yang menilai kesan intervensi tahu peserta menerima rawatan atau plasebo, dan data yang tidak lengkap dalam analisis akhir. Dalam lapan kajian, beberapa orang pengarang merupakan pekerja, pemilik saham, perunding, ataupun penerima geran daripada pihak pengilang produk yang sedang dikaji terlibat dalam mereka bentuk kajian, perbincangan, penyelidikan, penyeliaan pengumpulan data, analisis serta pentafsiran data. Kajian ini juga disokong oleh pengeluar produk penyiasatan.

Bukti daripada kajian yang mengkaji rawatan sistemik menunjukkan tahap kepastian yang bercampur-campur. Kami menemui bukti yang berkepastian tinggi untuk pengurangan sebanyak 50% dalam saiz angiomiolipoma buah pinggang, gerak balas lesi kulit dan kesan buruk. Hasil yang berkaitan dengan pengurangan 50% dari segi saiz SEGA, kekerapan sawan, dan bilangan peserta yang mengalami peningkatan tahap kreatinin dinilai sebagai bukti berkepastian sederhana. Hasil yang berkaitan dengan kesejahteraan peserta didapati bukti berkepastian rendah.

Bukti yang diperolehi daripada kajian yang mengkaji rawatan sistemik menunjukkan kepastian yang bercampur-campur. Kami menemui bukti kepastian tinggi dari segi kemampuan rapalog untuk memperbaik sebarang lesi kulit. Kami menemui bukti kepastian sederhana dari segi kejadian kesan buruk. Hasil yang berkenaan dengan tindakbalas ke atas angiofibroma muka, plak sefalik, dan kesejahteraan peserta didapati bukti kepastian rendah.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismial (afilza@usm.my).

Tools
Information