Latar belakang
Masalah dengan kebolehan/kemahiran mental/kognitif (kesan-kesan sampingan kognitif) adalah perkara biasa berlaku pada pesakit yang telah menerima radiasi ke otak untuk ketumbuhan otak primer atau sekunder (metastatik), atau untuk menghalang ketumbuhan daripada merebak ke otak dari tempat lain di dalam badan. Kesan sampingan toksik sinaran otak ini mungkin akut (semasa rawatan) atau awal selepas rawatan (satu hingga enam bulan) dan mungkin boleh diterbalikkan. Walau bagaimanapun, ketoksikan kemudiannya mungkin berlaku beberapa bulan atau tahun kemudian, dan apabila ia berlaku ia biasanya tidak dapat dipulihkan dan selalunya progresif perlahan-lahan. Defisit kognitif lewat, seperti kehilangan ingatan, masalah merancang tugas atau perubahan tingkah laku, boleh memberi kesan serius terhadap kualiti hidup dan keupayaan untuk menjalankan aktiviti secara normal. Intervensi untuk membantu mencegah atau merawat ketoksikan sinaran lewat ini boleh meningkatkan kesejahteraan pesakit. Di sini, kami mengulas semua kajian mengenai intervensi farmakologi (ubat perubatan) dan bukan farmakologi (psikologi) yang bertujuan untuk mencegah atau merawat kesan-kesan sampingan kognitif yang berkaitan dengan radioterapi ke otak.
Ciri-ciri Kajian
Dalam ulasan asal yang diterbitkan pada Ogos 2014, kami telah mencari empat pangkalan data literatur, yang digunakan untuk mengenal pasti artikel daripada jurnal peer-reviewed dan terbitan berkala yang lain. Enam kajian rawak terkawal, di mana peserta ditugaskan untuk intervensi atau kumpulan perbandingan (kumpulan kawalan) secara rawak, layak untuk dimasukkan. Setiap kajian menilai intervensi yang berbeza, jadi keputusan tidak digabungkan. Kajian terbesar menyiasat ubat memantine dalam 508 pesakit ketumbuhan otak metastatik. Satu lagi kajian menyiasat ubat donepezil dalam 198 pesakit dengan ketumbuhan otak primer atau sekunder. Kajian-kajian lain adalah lebih kecil dan menyiasat modafinil dan metilfenidat. Kami menjumpai satu intervensi psikologi untuk mencegah defisit kognitif semasa radiasi otak.
Dalam kemas kini ini, kami telah mencari pangkalan data yang sama seperti dalam semakan asal. Dua kajian baru telah dimasukkan dalam kajian semula ini. Salah satu ialah kajian pencegahan bukan farmakologi yang menyiasat kesan pemakanan ketogenik terhad kalori (calorie-restricted ketogenic diet) dan puasa berselang-seli (intermittent fasting). Kajian lain yang dikenal pasti ialah kajian ameliorasi bukan farmakologi yang menilai Latihan Pengurusan Matlamat (Goal Management Training), satu intervensi tingkah laku yang menggabungkan latihan kesedaran dan strategi. Kertas tambahan yang disertakan dalam ulasan adalah artikel teks penuh prosiding persidangan yang disertakan dalam ulasan asal, yang menyiasat donepezil berbanding dengan plasebo.
Penemuan utama
Penemuan tentang keberkesanan memantine menawarkan bukti sokongan awal untuk mencegah defisit kognitif pada pesakit ketumbuhan otak sekunder yang menerima penyinaran otak. Penemuan tentang keberkesanan donepezil menawarkan beberapa sokongan awal untuk penggunaannya dalam memperbaiki defisit kognitif pada pesakit ketumbuhan primer atau sekunder yang sebelum ini dirawat dengan radiasi. Penyelidikan lanjutan ke atas kedua-dua ubat adalah penting untuk mengesahkan keberkesanannya serta sebarang kesan-kesan sampingan yang berpotensi. Kajian yang selebihnya tidak mempunyai bilangan peserta yang mencukupi untuk memberikan keputusan yang boleh dipercayai. Kesan-kesan sampingan (peristiwa buruk) tidak dilaporkan dalam semua kajian, tetapi dalam kajian yang melaporkan kesan-kesan sampingan, ia jarang berlaku dan tidak teruk. Pengambilan dan pengekalan peserta kajian untuk kebanyakan kajian farmakologi adalah sukar. Akhir sekali, walaupun sokongan terhad didapati untuk rawatan bukan farmakologi, ini tidak mencadangkan intervensi ini tidak berkesan sebaliknya penyelidikan lanjutan diperlukan.
Kepastian bukti
Kami menjumpai batasan dalam kepastian tentang bukti merentas kajian. Beberapakajian rawak terkawal farmakologi mempunyai risiko bias yang rendah, walaupun ada yang berisiko bias yang tinggi, sebagai contoh, reka bentuk label terbuka atau kekurangan kumpulan plasebo. Intervensi bukan farmakologi mempunyai risiko bias yang tinggi kerana keadaan plasebo dalam kajian ini sukar untuk digunakan.
Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my