Pembedahan laparoskopi (lubang kunci) berbanding pembedahan terbuka untuk rawatan penghidap kanser perut

Soalan ulasan

Adakah rawatan laparoskopi (pembedahan lubang kunci) sepadan dengan rawatan pembedahan terbuka untuk rawatan penghidap kanser gastrik (perut)?

Latar belakang

Kanser perut adalah penyebab ketiga paling kerap kematian berkaitan kanser di seluruh dunia. Jika kanser belum merebak ke bahagian lain tubuh, dan jika seseorang boleh bertahan dengan pembedahan besar, bergantung kepada bahagian perut yang terlibat, pembuangan sebahagian daripada perut, atau keseluruhan perut (gastrektomi), adalah satu-satunya rawatan yang menawarkan penyembuhan jangka panjang bagi kanser. Gastrektomi boleh dilakukan sebagai pembedahan laparoskopi (lubang kunci), atau sebagai pembedahan terbuka, yang melibatkan potongan besar. Walaupun potongan adalah lebih kecil dengan pembedahan lubang kunci, tidak jelas sama ada pembedahan lubang kunci adalah sama selamat seperti pembedahan terbuka, dan sama ada ia menawarkan sebarang kelebihan dari segi pemulihan yang lebih cepat untuk orang yang menjalani gastrektomi. Kami berusaha untuk menyelesaikan isu ini dengan mencari literatur perubatan untuk kajian yang dilaporkan setakat September 2015 yang membandingkan gastrektomi laparoskopi dengan gastrektomi terbuka di kalangan penghidap kanser perut.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 13 kajian yang layak (2794 peserta) untuk ulasan ini. Satu kajian tidak melaporkan sebarang maklumat yang kami kehendaki. Maklumat mengenai 213 peserta tidak dilaporkan kerana pelbagai sebab, sebab yang biasa adalah mereka tidak menerima rawatan yang dirancang. Seramai 2528 peserta menerima sama ada gastrektomi laparoskopi (1288 peserta) atau gastrektomi terbuka (1240 peserta). Keputusan sama ada peserta menerima gastrektomi laparoskopi atau gastrektomi terbuka dibuat menggunakan kaedah yang serupa dengan lambungan syiling. Proses ini memastikan bahawa peserta dalam dua kumpulan adalah serupa. Semua peserta adalah sesuai untuk pembedahan besar.

Keputusan utama

Tiada perbezaan antara gastrektomi laparoskopi dan gastrektomi terbuka terhadap kematian jangka pendek (gastrektomi laparoskopi: 6 kematian dalam 1000 pembedahan berbanding gastrektomi terbuka: 3 kematian dalam 1000 pembedahan). Terdapat sejumlah ketidakpastian apabila meramalkan bilangan kematian atau kesan berdasarkan maklumat dalam kajian. Disebabkan ketidakpastian ini, kami dapat membuat kesimpulan bahawa tidak ada perbezaan antara kumpulan dalam kematian jangka pendek, walaupun kematian dalam gastrektomi laparoskopi adalah dua kali ganda daripada gastrektomi terbuka. Tiada satu pun daripada kajian yang melaporkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, masa untuk kembali ke aktiviti biasa atau masa untuk kembali bekerja. Perbezaan dalam kematian jangka panjang, komplikasi serius dalam tempoh tiga bulan (gastrektomi laparoskopi: 36 komplikasi dalam 1000 pembedahan berbanding gastrektomi terbuka: 60 komplikasi dalam 1000 pembedahan), semua komplikasi dalam tempoh tiga bulan (gastrektomi laparoskopi: 161 komplikasi dalam 1000 pembedahan berbanding gastrektomi terbuka: 253 komplikasi dalam 1000 pembedahan, kanser berulang jangka pendek dan jangka panjang, bilangan orang yang memerlukan pemindahan darah, jumlah darah yang dipindahkan semasa atau dalam tempoh satu minggu pembedahan, dan tempoh tinggal di hospital adalah tidak tepat. Akibatnya, manfaat atau kemudaratan yang ketara daripada gastrektomi laparoskopi berbanding gastrektomi terbuka tidak boleh diketepikan. Kajian lebih lanjut yang direka dengan baik adalah perlu untuk membandingkan manfaat dan kemudaratan gastrektomi laparoskopi dan gastrectomy terbuka.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah untuk semua kesan, selain daripada kematian jangka pendek, yang rendah. Akibatnya, terdapat banyak ketidakpastian mengenai keputusan.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information