Latar belakang
Sekatan sebahagian melibatkan suntikan anestetik setempat ke dalam tulang belakang atau sekitar saraf untuk menyekat transmisi sakit. Ia boleh diguna untuk menggantikan anestesia umum atau merawat sakit selepas pembedahan. Mencari alternatif yang berkesan selain ubat tahan sakit tradisional (pil-pil atau suntikan yang mengandungi derivatif morfin) adalah penting untuk kanak-kanak kerana mereka lebih cenderung mengalami kesan buruk ubat tahan sakit opioid, dan juga kerana sakit di awal kehidupan mungkin memberi bahaya jangka panjang (tindak balas berlebihan terhadap sakit di masa hadapan). Secara tradisional, mencari lokasi tepat untuk suntikan anestetik setempat dibuat pada petanda anatomi, iaitu pempalpatan tulang atau salur darah yang berdenyut (arteri, dengan menggunakan jari untuk merasa denyutan). Kemudian, jarum elektrik yang menghasilkan kontraksi otot (perangsang saraf) disyorkan kerana ia lebih tepat. Sejak empat dekad yang lalu, klinisian telah mula menggunakan ultrasound untuk mencari saraf-saraf. Walau bagaimanapun, mesin ultrasound adalah mahal (USD 22, 000 berbanding USD 1000 untuk perangsang saraf).
Kami ingin mengetahui jika panduan ultrasound boleh memperbaiki kadar kejayaan dan mengurangkan insiden komplikasi sekatan saraf sebahagian dalam kalangan kanak-kanak. Komplikasi-komplikasi tersebut mungkin termasuk komplikasi neurologi kekal, kemasukan jarum suntikan secara tidak sengaja ke dalam salur darah, dan sawan atau serangan jantung akibat terlebih anestetik setempat atau daripada suntikan secara tidak sengaja ke dalam salur darah.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2018.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan 33 kajian reka bentuk baik dengan sejumlah 2293 kanak-kanak di mana panduan ultrasound dibandingkan dengan satu lagi kaedah penempatan saraf (penanda tradisional atau perangsang saraf) untuk sekatan sebahagian dalam kalangan kanak-kanak.
Sumber pembiayaan kajian
Sumber pembiayaan termasuk satu organisasi kerajaan (dua kajian), satu organisasi kebajikan (dua kajian), dan satu jabatan institusi (13 kajian). Dua kajian mengisytiharkan mereka menerima bantuan industri (pinjaman peralatan). Sumber pembiayaan adalah tidak jelas bagi 14 kajian.
Keputusan utama
Panduan ultrasound untuk sekatan setempat dalam kalangan kanak-kanak mungkin mengurangkan kejadian kegagalan sekatan saraf. Ia juga mungkin meningkatkan tempoh sekatan dan mengurangkan sakit satu jam selepas pembedahan. Panduan ultrasound mungkin mengurangkan jumlah kemasukan jarum yang diperlukan untuk perlaksanaan sekatan. Walau bagaimanapun,oleh kerana kebanyakan sekatan dalam kalangan kanak-kanak dilaksanakan sewaktu kanak-kanak berada di bawah sedasi yang mendalam atau anestesia umum, nilai sebenar kajian ini mungkin boleh dipertikai. Tiada komplikasi major dalam kajian-kajian yang terlibat. Mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan di antara kumpulan-kumpulan kajian dalam risiko komplikasi minor. Keseluruhannya, sama ada kajian ini mewajarkan kos tambahan panduan ultrasound, mungkin patut mengambil kira kepakaran pakar anestesiologi dan sumber setempat. Lima kajian yang sedang berlangsung mungkin mengubah kesimpulan ulasan ini apabila diterbitkan dan dinilai.
Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana untuk pengurangan kejadian kegagalan sekatan dan pembaikan skor sakit pada satu jam; kepastian tinggi untuk pemanjangan tempoh sekatan; dan kepastian sangat rendah untuk pengurangan jumlah kemasukan jarum.
Diterjemah oleh Fradella Sandy Binti Telasai. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my