Cara penjagaan paliatif pesakit demensia peringkat akhir

Soalan ulasan

Dalam penyelidikan ini, kami ingin melihat sama ada penjagaan paliatif dapat membantu pesakit demensia peringkat akhir, keluarga dan penjaga mereka. Kami juga ingin menerangkan bagaimana penyelidik cuba menilai kesan penjagaan paliatif.

Latar belakang

Orang yang menghidap demensia mengalami penurunan secara beransur-ansur dalam kemampuan mental dan kemampuan mereka untuk mengurus diri sendiri. Penurunan berlaku dalam tempoh yang panjang, jadi selalunya sukar untuk mengenal pasti fasa akhir penyakit ini. Semasa peringkat lanjut demensia, orang tidak dapat berkomunikasi secara lisan, bergantung sepenuhnya kepada orang lain, mengalami kesukaran menelan dan sering mengalami inkontinensia berganda. Orang yang mengalami demensia lanjutan selalunya terkurung di kerusi atau katil dan berisiko tinggi mendapat jangkitan, seperti radang paru-paru.

Penjagaan paliatif merupakan satu cara untuk menjaga pesakit yang tidak dapat disembuhkan. Tujuan utama penjagaan paliatif adalah untuk mengurangkan kesakitan dan mengekalkan kualiti hidup sebaik mungkin sebelum pesakit meninggal dunia. Penjagaan paliatif selalu digunakan untuk pesakit kanser namun jarang untuk pesakit demensia peringkat akhir.

Ciri-ciri kajian

Kami mengkaji penyelidikan yang diterbitkan sehingga Oktober 2020. Kami telah menemui sembilan kajian yang sesuai melibatkan 2122 orang. Kajian itu datang dari Amerika Syarikat, Kanada, UK dan Eropah. Dua kajian telah dijalankan di hospital dan tujuh di rumah kejururawatan atau kemudahan penjagaan jangka panjang.

Hasil-hasil utama

Enam kajian menguji perubahan cara merawat orang dengan demensia lanjut diatur dan disampaikan. Lima kajian mendapati bahawa perubahan ini boleh meningkatkan keselesaan semasa kematian, tetapi masalah dengan reka bentuk kajian dan perbezaan hasil antara kajian menjadikan keputusan ini sangat tidak pasti, jadi ada kemungkinan bahawa secara keseluruhan mereka mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan. Perubahan kepada organisasi penjagaan dan penyampaian mungkin juga bermakna bahawa orang yang mengalami demensia lanjutan lebih berkemungkinan mempunyai rancangan untuk penjagaan mereka, tetapi keputusan ini datang daripada satu kajian sahaja, dan sekali lagi kami sangat tidak pasti mengenainya. Membuat perubahan pada cara penjagaan disusun dan disampaikan mungkin tidak mempunyai kesan ke atas penggunaan pendekatan bukan paliatif untuk menjaga dan mungkin mempunyai sedikit kesan atau tidak sama ada perbincangan berlaku antara penghidap demensia, penjaga keluarga mereka, dan doktor dan jururawat mereka mengenai sifat dan jenis penjagaan paliatif yang ingin mereka terima.

Dua kajian mendapati bahawa membantu penghidap demensia dan keluarga mereka untuk merancang lebih awal berkemungkinan besar bahawa penghidap demensia mempunyai dokumen bertulis yang memberi arahan tentang jenis rawatan yang ingin mereka terima (pelan penjagaan awal), dan mereka telah bercakap dengan doktor dan jururawat mereka tentang perkara yang mereka inginkan daripada penjagaan mereka. Salah satu daripada kajian ini juga mendapati bahawa perancangan awal mungkin bermakna terdapat lebih banyak persetujuan antara perkara yang dipercayai oleh doktor dan jururawat sebagai matlamat penjagaan dan apa yang dipercayai oleh penghidap demensia. Walau bagaimanapun, berdasarkan satu kajian, perancangan mungkin tidak memberi kesan kepada sejauh mana penjaga keluarga merasakan simptom demensia diuruskan.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, kajian yang dilakukan setakat ini tidak memberikan gambaran yang jelas mengenai bagaimana perawatan paliatif dapat digunakan dengan baik untuk membantu orang yang menghidap demensia lanjut atau keluarga mereka. Penyelidikan ke atas pesakit demensia peringkat akhir adalah amat sedikit, selalunya disebabkan isu etika. Walaupun sukar untuk menjalankan penyelidikan ke atas pesakit dementia, lebih banyak kajian yang dirancang dengan baik masih diperlukan untuk mengkaji cara penjagaan paliatif yang paling sesuai bagi populasi istimewa ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Zcho Huey (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information