Latihan otot respiratori dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa dengan penyakit neuromuskular

Soalan ulasan

Adakah latihan otot respiratori mempunyai kesan bermanfaat bagi kanak-kanak dan dewasa dengan penyakit neuromuskular?

Latar belakang

Penyakit neuromuskular adalah istilah yang sangat luas merangkumi banyak penyakit yang mempengaruhi otot atau saraf secara langsung atau tidak langsung. Kanak-kanak dan orang dewasa dengan penyakit neuromuskular boleh menunjukkan kelemahan otot, hilang kawalan pergerakan, dan sampu otot. Sesetengah penyakit neuromuskular menyebabkan kelemahan otot respiratori (diafragma dan otot respiratori aksesori). Kemerosotan fungsi otot respiratori di dalam penyakit-penyakit ini mempengaruhi aktiviti kehidupan harian dan kualiti hidup. Latihan otot respiratori mungkin berpotensi sebagai terapi tambahan bagi orang yang disyaki atau disahkan lemah otot respiratori .

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan 11 kajian dengan sejumlah 250 peserta dengan penyakit neuromuskular yang dirawak. Enam kajian memasukkan 112 lelaki muda (termasuk kanak-kanak) dengan distrofi otot Duchenne, yang merupakan penyakit otot warisan. Satu kajian melibatkan 23 orang dewasa dengan penyakit otot lain (distrofi otot Becker dan distrofi otot girdel-anggota). Tiga kajian melibatkan 88 orang dengan sklerosis lateral amiotrofik, sejenis penyakit progresif yang mempengaruhi saraf yang mengawal pergerakan. Satu kajian melibatkan 27 orang dengan miastenia gravis, keadaan yang mempengaruhi signal di antara saraf dan otot.

Keputusan utama

Kajian-kajian ini menunjukkan latihan otot respiratori boleh memperbaiki fungsi paru-paru bagi orang dengan sklerosis lateral amiotropik dan distrofi otot Duchenne. Walau bagaimanapun, penemuan ini tidak konsisten di antara kajian-kajian. Fungsi fizikal dan kualiti hidup hanya dinilai dalam satu kajian sklerosis lateral amiotropik, yang menunjukkan RMT mungkin tidak mempunyai kesan yang jelas. Satu kajian melaporkan peristiwa buruk, tetapi kepastian bukti adalah terlalu rendah untuk membuat kesimpulan. Kajian-kajian tidak melaporkan bilangan hospitalisasi yang tidak berjadual untuk jangkitan mengejut atau kegagalan pernafasan yang kronik yang semakin teruk.

Kepastian bukti

Kepastian bukti yang dinilai di dalam sebahagian ulasan ini adalah rendah atau sangat rendah. Bukti kepastian rendah bermakna keyakinan kami tentang kesan latihan otot respiratori adalah terhad, dan kesan yang sebenar mungkin banyak berbeza. Apabila bukti kepastian rendah, kesan sebenar mungkin banyak berbeza. Memandangkan kepastian bukti adalah rendah atau sangat rendah dikemukakan di dalam kajian-kajian, kami percaya terdapat keperluan untuk kajian-kajian yang dilaksanakan dengan lebih baik bagi menilai efikasi latihan otot respiratori dalam kalangan orang dengan NMD.

Bukti adalah terkini sehingga November 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my

Tools
Information