Apakah itu epilepsi tahan ubat?
Epilepsi adalah keadaan di mana letusan aktiviti elektrik yang amat, tiba-tiba berlaku di otak dan menyebabkan mesej otak bercampur-campur, mengakibatkan sawan. Sawan mempengaruhi orang dengan pelbagai cara: ia boleh menyebabkan sensasi, pergerakan atau perasaan luar biasa, hilang kesedaran, jatuh, kekakuan atau sentakan. Sawan epilepsi boleh berlaku berulang kali dan tanpa pencetus. Sawan boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja; ia boleh datang secara tiba-tiba dan kerap berlaku.
Rawatan untuk epilepsi memfokus untuk menghentikan atau mengurangkan bilangan sawan yang dialami oleh seseorang dengan kesan tidak diingini paling kurang. Kebanyakan sawan boleh dikawal dengan mengambil satu ubat antiepilepsi. Tetapi epilepsi sesetengah orang tidak respon (epilepsi tahan ubat) dan mereka mungkin perlukan lebih daripada satu ubat untuk mengawal sawan. Epilepsi tahan ubat lebih lazim berlaku jika sawan melibatkan satu kawasan otak (epilepsi fokus) dan bukannya keseluruhan kawasan otak (epilepsi umum).
Mengapa kami lakukan ulasan ini
Rufinamide adalah ubat antiepilepsi. Ia diberi sebagai tambahan kepada ubat antiepilepsi lain sebagai rawatan ‘tambahan’ untuk epilepsi fokal dalam kalangan dewasa dan remaja.
Epilepsi tahan ubat lebih kerap berlaku jika sawan melibatkan satu kawasan otak (epilepsi fokus) dan bukannya keseluruhan kawasan otak (epilepsi umum).
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat penggunaan rufinamide sebagai rawatan tambahan untuk epilepsi tahan ubat.
Kami mencari kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima orang ditentukan secara rawak, kerana kajian ini sering memberi bukti paling bolehpercaya tentang kesan rawatan. Kami menilai bukti yang kami temui dengan melihat cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan sama ada penemuan-penemuannya konsisten.
Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 20 Februari 2020.
Apa yang kami temui
Kami menemui enam kajian melibatkan 1759 orang (berumur 4 hingga 80 tahun). Empat kajian melibatkan orang dengan sawan fokal dan dua kajian melibatkan kanak-kanak dengan sindrom Lennox-Gastaut (sejenis epilepsi yang mempengaruhi kanak-kanak). Kajian-kajian adalah berjangka pendek: rawatan paling lama diberi selama 96 hari, dan penilaian diteruskan 3 hingga 6 bulan selepas itu.
Kajian-kajian menilai rawatan tambahan rufinamide berbanding dengan rawatan 'tambahan' “dummy’ (plasebo). Dos rufinamide yang diguna dalam kajian tersebut adalah dari 200 mg hingga 3200 mg setiap hari.
Kami ingin tahu berapa ramai orang mendapat sawan. Kami juga ingin tahu jika menambahkan rufinamide akan mempengaruhi bilangan dan jenis kesan tidak diingini.
Apakah keputusan ulasan kami?
Menambah rufinamide kepada ubat antiepilepsi lain mungkin mengurangkan kekerapan sawan berlaku berbanding penambahan plasebo (6 kajian). Tambahan rufinamide mungkin lebih meningkatkan bebas sawan (tiada sawan) berbanding tambahan plasebo, walaupun hanya satu kajian yang mengukurnya.
Lebih ramai orang berhenti mengambil rufinamide tambahan (kerana kesan tidak diingini atau sebarang sebab lain) berbanding yang berhenti mengambil rawatan plasebo tambahan (6 kajian). Kesan tidak diingini mungkin lebih lazim dalam kalangan orang yang menerima rufinamide tambahan berbanding plasebo tambahan. Kesan tidak diingini yang dilapor termasuk: berasa pening (3 kajian), merasa letih (3 kajian), merasa sakit (3 kajian), sakit kepala (3 kajian), berasa mengantuk atau mengantuk (6 kajian), sakit (muntah) (4 kajian) dan penglihatan berganda (3 kajian).
Berapa bolehpercayakah keputusan-keputusan ini?
Kami sederhana yakin (pasti) tentang penemuan kami untuk kesan tambahan rufinamide terhadap bilangan sawan yang dialami, dan beberapa kesan tidak diingini (pening, mengantuk, sakit kepala, letih dan merasa sakit). Keputusan kami mungkin berubah jika ada bukti lanjut.
Kami kurang yakin (tidak pasti) tentang kesan tidak diingini iaitu muntah dan penglihatan berganda yang dilihat dalam tambahan rufinamide, kerana keputusan kesan tersebut berbeza-beza. Keputuusan kami mungkin berubah jika ada bukti lebih lanjut.
Semua kajian dilakukan atau ditaja oleh syarikat farmaseutikal yang membuat rufinamide: ini mungkin mempengaruhi cara kajian direka bentuk, dijalankan dan dilaporkan. Satu kajian tidak melaporkan reka bentuk kajian yang lengkap.
Kesimpulan
Menambah rufinamide kepada ubat antiepilepsi mungkin lebih mengurangkan sawan berbanding plasebo, tetapi mungkin menyebabkan lebih banyak kesan tidak diingini (dalam jangka pendek); lebih ramai orang menghentikan rawatan tambahan rufinamide.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.