Mesej utama
- Penyambungan melalui hadapan usus besar selepas reseksi usus (antecolic bowel reconstruction) mungkin tidak mengurangkan pengosongan gastrik bertangguh selepas pembuangan kepala pankreas dan duodenum secara pembedahan.
- Hasil ulasan kami tidak mencadangkan sebarang perbezaan yang berkaitan antara kedua-dua teknik dalam segi komplikasi lain, kematian, tempoh tinggal di hospital dan kualiti hidup.
Latar belakang
Pankreas ialah kelenjar pencernaan yang terletak di bahagian atas abdomen dan berfungsi penting untuk mengawal paras gula darah secara normal. Kanser pankreas adalah salah satu punca utama kematian akibat kanser di negara-negara perindustrian. Rawatan pembedahan standard untuk kanser kepala kelenjar dan pertumbuhan sel luar biasa ialah pembuangan separa pankreas bersama-sama dengan duodenum yang bersambung secara pembedahan, dikenali sebagai pankreatoduodenektomi. Pembuangan duodenum memerlukan penyambungan semula laluan pencernaan dari perut ke seluruh usus. Penyambungan semula boleh dicapai dengan menyambungkannya ke jejunum (bahagian kedua usus kecil) sama ada melalui hadapan (antekolik) atau belakang (retrokolik) usus besar yang melintang (kolon melintang).
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada salah satu daripada dua cara penyambungan semula yang disebutkan di atas memberi manfaat kepada pesakit dalam mengurangkan pengosongan gastrik bertangguh (mengosongkan perut selepas pengambilan makanan); kematian selepas pembedahan (kematian); dan komplikasi lain, seperti fistula pankreas (kebocoran jus pankreas), keperluan pembedahan ulangan, langkah-langkah perioperatif (sebelum, semasa, dan selepas pembedahan), atau tempoh tinggal di hospital; dan meningkatkan kualiti hidup. Pengosongan gastrik bertangguh adalah hasil utama ulasan ini kerana ia merupakan salah satu komplikasi yang paling kerap selepas pankreatoduodenektomi; ia boleh menyukarkan pemakanan dan mengganggu kualiti hidup pesakit, selalunya mengakibatkan tempoh tinggal di hospital berpanjangan dan kelewatan rawatan lanjut.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan penyambungan semula usus melalui hadapan usus besar (antecolic) dan belakang usus besar (retrocolic) pada pesakit yang menjalani pembuangan separa pankreas bersama-sama dengan duodenum. Kami membandingkan dan merumuskan hasil kajian dan menilai kepastian bukti yang didapati, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Ulasan kami merangkumi lapan kajian rawak terkawal (dilaporkan dalam 11 penerbitan), melaporkan data melibatkan sejumlah 818 peserta dewasa, yang menjalani pankreatoduodenektomi untuk sebarang penyakit pankreas.
Hasil utama
Kami tidak mengenal pasti perbezaan yang berkaitan dalam pengosongan gastrik bertangguh; kematian selepas pembedahan; fistula pankreas selepas pembedahan, atau komplikasi lain; keperluan pembedahan ulangan; atau tempoh tinggal di hospital. Kualiti hidup hanya dilaporkan untuk subset peserta dalam satu kajian, maka tiada perbezaan sedemikian antara kedua-dua cara penyambungan semula usus. Hasil ulasan kami tidak mencadangkan sebarang perbezaan yang berkaitan antara penyambungan semula gastro- atau duodenojejunostomi melalui hadapan usus besar (antecolic) dan belakang usus besar (retrocolic) selepas pankreatoduodenektomi separa.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kepastian kami terhadap bukti adalah terhad kerana hasil daripada kajian adalah sangat berbeza, dan kajian ini hanya melibatkan bilingan peserta yang kecil. Kebanyakan kajian menggunakan kaedah yang mungkin menyebabkan ketidaktepatan dalam keputusannya. Oleh itu, keputusan harus ditafsirkan berdasarkan batasan ini.
Sejauh manakah bukti ini dikemas kini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2021.
Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University).Disunting oleh MW Chan (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my