Adakah gabungan ICS/LABA sekali sehari dalam satu inhaler lebih bermanfaat daripada sedutan LAMA untuk rawatan orang dengan COPD?

Latar belakang

Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) adalah penyakit paru-paru yang merangkumi bronkitis kronik dan/atau emfisema. Gejala-gejala termasuk sesak nafas dan batuk jangka panjang. COPD tidak boleh disembuhkan, tetapi gejala-gejalanya boleh dirawat.

Tiga kelas ubat inhaler diguna untuk mengurus COPD, masing-masing bertindak dengan cara yang berbeza: agonis beta2 bertindak lama (LABA seperti Vilanterol); antagonis muscarinik bertindak lama (LAMA seperti tiotropium); dan sedutan kortikosteroid (ICS seperti fluticasone). Untuk memudahkan orang mengambil ubat mereka, inhaler yang menggabungkan rawatan telah dibangunkan. Kami ingin mengetahui jika menggunakan inhaler gabungan yang mengandungi ICS dan LABA sekali sehari adalah lebih baik atau lebih teruk daripada mengambil inhaler LAMA sahaja.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati dua kajian melibatkan 880 peserta yang membandingkan manfaat dan mudarat gabungan inhaler ICS/LABA sekali sehari dalam satu inhaler berbanding LAMA yang disedut untuk rawatan orang dewasa dengan COPD. Kajian-kajian berlangsung selama 12 minggu. Para peserta adalah lelaki dan wanita berumur 40 tahun ke atas yang mempunyai COPD dengan berbagai tahap keterukan.

Keputusan utama

Tiada perbezaan konsisten didapati di antara dua jenis inhaler yang dimasukkan dalam ulasan ini. Para penyelidik tidak melaporkan sebarang perbezaan besar dalam kadar kematian, bilangan eksaserbasi COPD, keradangan paru-paru, atau kejadian yang tidak diingini yang serius.
Orang yang menerima kedua-dua inhalert menunjukkan penambahbaikan yang sama dalam kualiti hidup, gejala, dan ujian fungsi paru-paru.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kami menilai bukti yang dibentangkan dalam ulasan ini sebagai berkualiti sangat rendah, ini bermaksud kami mempunyai keyakinan yang sangat sedikit dalam penemuan ini. Sebab-sebab utama pertimbangan tersebut termasuklah bilangan kecil kajian yang dikenalpasti dan fakta bahawa kajian-kajian ini tidak tertumpu kepada hasil yang penting untuk ulasan ini. Juga, kedua-dua kajian mempunyai masa pemerhatian yang singkat, yang bermaksud bahawa kebanyakan kejadian yang tidak diingini mungkin berlaku selepas tempoh pemerhatian selesai.

Kesimpulannya

Dari ulasan ini, kami tidak menemui bukti yang cukup kuat untuk menunjukkan perbezaan utama antara inhaler atau untuk memastikan bahawa inhaler-inhaler ini mempunyai kesan yang sama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information