Adakah penggunaan ubat untuk menyekat hormon oxytocin dapat membantu wanita yang menjalani pemindahan embrio sebagai rawatan kesuburan meningkatkan peluang untuk mengandung?

Soalan Ulasan

Apakah faedah dan risiko menggunakan ubat untuk menyekat hormon oxytocin bagi wanita yang menjalani pemindahan embrio?

Latar belakang

Pemindahan embrio (embryo transfer, ET) adalah langkah penting teknologi pembiakan dibantu (assisted reproductive technology, ART), dan melibatkan meletakkan satu atau lebih embrio (telur yang disenyawakan) ke dalam rahim. Pengecutan pada lapisan rahim adalah gerakan pada permukaan lapisan seperti gelombang; kehadiran gerakan sekitar masa pemindahan embrio dikaitkan dengan kadar kehamilan yang lebih rendah. Pada masa ini tidak ada rawatan yang digunakan untuk mengatasi kesan negatifnya pada keterikatan embrio ke rahim. Oxytocin adalah hormon semula jadi, yang diketahui mencetuskan kontraksi semasa bersalin. Ubat untuk menyekat fungsinya digunakan secara rutin untuk menghentikan kontraksi pada persalinan prematur. Ada yang berpendapat bahawa hormon yang sama terlibat dalam kontraksi sekitar masa ET. Atas sebab ini, para penyelidik telah mempersoalkan sama ada ubat yang menghentikan kontraksi semasa bersalin dapat menghentikan kontraksi masa ET, dan berpotensi meningkatkan kadar kehamilan.

Ciri-ciri kajian

Kami menjumpai sebelas kajian, dengan 3733 wanita menjalani pemindahan embrio, yang menilai penggunaan ubat untuk menyekat fungsi oxytocin. Ubat untuk menyekat fungsi oxytocin diberikan melalui suntikan ke dalam vena (atosiban) dalam tujuh RCT, di bawah kulit (barusiban) dalam satu RCT, dan melalui mulut (nolasiban) dalam tiga RCT. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2021.

Keputusan utama

Ubat dengan suntikan (atosiban) berbanding tanpa ubat

Kami tidak pasti pada kesan atosiban pada kadar kelahiran hidup dan keguguran. Dalam satu klinik dengan kadar kelahiran hidup 38% tanpa ubat untuk menyekat oxytocin, penggunaan atosiban dikaitkan dengan kadar kelahiran hidup antara 33% hingga 47%. Dalam satu klinik dengan kadar keguguran 7% tanpa ubat untuk menyekat oxytocin, penggunaan atosiban dikaitkan dengan kadar keguguran antara 5% hingga 11%.

Ubat yang diberikan di bawah kulit (barusiban) berbanding tanpa ubat

Tidak ada kajian yang melaporkan data kelahiran hidup atau keguguran untuk penggunaan barusiban. Kami tidak pasti sama ada barusiban mempengaruhi kadar kehamilan klinikal.

Ubat yang diberikan melalui mulut (nolasiban) berbanding tanpa ubat

Bukti menunjukkan bahawa nolasiban tidak meningkatkan kadar kelahiran hidup apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak mengambil ubat untuk menyekat oxytocin. Dalam satu klinik dengan kadar kelahiran hidup 33% setiap kitaran tanpa ubat untuk menyekat oxytocin, penggunaan nolasiban dikaitkan dengan kadar kelahiran hidup antara 33% hingga 42%.

Kami tidak pasti kesan nolasiban oral terhadap kadar keguguran. Dalam satu klinik dengan kadar keguguran 2% setiap kitaran tanpa ubat untuk menyekat oxytocin, penggunaan nolasiban dikaitkan dengan kadar keguguran antara 1% hingga 4%.

Bukti menunjukkan bahawa nolasiban meningkatkan kadar kehamilan klinikal berbanding dengan mereka yang tidak mengambil ubat untuk menyekat oxytocin. Dalam satu klinik dengan kadar kehamilan klinikal 35% setiap kitaran tanpa ubat untuk menyekat oxytocin, penggunaan nolasiban dikaitkan dengan kadar kehamilan klinikal antara 35% hingga 45%.

Bukti untuk semua jenis ubat mengenai kesan sampingan lain seperti kehamilan berganda (kehamilan kembar, kembar tiga atau lebih), kehamilan yang tumbuh di luar rahim, reaksi buruk terhadap ubat atau anomali kongenital (kecacatan sejak lahir) kurang dilaporkan atau tidak menyakinkan.

Kepastian bukti
Bukti adalah dengan kepastian sangat rendah hingga tinggi. Batasan utama dalam bukti adalah pelaporan kaedah kajian yang lemah dan kekurangan ketepatan kerana jumlah kajian yang kecil serta kekurangan kejadian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information