Apakah keberkesanan dan keselamatan sokongan luteal kepada wanita tidak subur yang cuba hamil melalui permanian intrauterin (IUI) atau melalui hubungan seksual?

Latar belakang

Fasa luteal adalah satu bahagian dalam kitaran haid. Ia adalah masa antara pembebasan telur (ovulasi) dan sebelum permulaan haid, dan apabila badan menghasilkan progesteron (hormon yang dikeluarkan oleh ovari) dan bersedia untuk kemungkinan kehamilan. Rangsangan ovari (penggunaan ubat kesuburan) mungkin menjejaskan pengeluaran progesteron semasa fasa luteal. Tahap rendah progesteron dalam fasa luteal dikaitkan dengan penurunan kadar hasil kehamilan seperti kehamilan berterusan (kehamilan selepas 12 minggu) dan kelahiran hidup. Sokongan fasa luteal termasuk progesteron dan/atau ejen perubatan lain seperti hormon kehamilan (human chorionic gonadotropin (hCG), yang merangsang pengeluaran progesteron) atau agonis hormon pelepasan gonadotropin (GnRH), yang meningkatkan tahap progesteron selepas ovulasi, boleh meningkatkan hasil kehamilan.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 25 kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang melibatkan seramai 5111 peserta. Kami mengenalpasti sembilan perbandingan, termasuk progesteron berbanding plasebo (rawatan dummy) atau tiada rawatan, dos berbeza suplemen progesteron faraj, laluan suplemen progesteron yang berbeza, agonis GnRH berbanding plasebo atau tiada rawatan, progesteron faraj berbanding agonis GnRH dan hCG dibandingkan tanpa rawatan. Semua kajian melaporkan hasil kehamilan, tetapi hanya satu kajian melaporkan kejadian buruk. Semua kajian yang disertakan melaporkan tentang permanian intrauterin, prosedur di mana sperma diletakkan terus ke dalam uterus (rahim) menggunakan tiub plastik yang nipis dan fleksibel yang dimasukkan melalui faraj dan serviks. Tiada kajian yang menilai kesan sokongan luteal apabila cuba hamil secara semula jadi.

Keputusan utama

Suplemen progesteron berbanding plasebo atau tiada rawatan

Kami tidak pasti jika progesteron faraj meningkatkan kelahiran hidup/kadar kehamilan berterusan jika dibandingkan dengan plasebo atau tiada rawatan dalam mana-mana jenis kitaran rangsangan ovari yang dinilai (gonadotropin (hormon suntikan), gonadotropin dengan rangsangan oral dan rangsangan oral sahaja). Kami tidak pasti jika progesteron mengurangkan kadar keguguran. Progesteron faraj mungkin meningkatkan sedikit kehamilan klinikal (apabila kehamilan disahkan melalui ultrasound dan degupan jantung dikesan). Suplemen progesteron boleh meningkatkan sedikit kehamilan klinikal dalam semua jenis kitaran rangsangan ovari (gonadotropin (hormon suntikan), gonadotropin dengan rangsangan oral, dan rangsangan oral sahaja). Walau bagaimanapun, memandangkan kepastian bukti adalah rendah, tidak jelas sama ada rawatan memberikan perbezaan untuk hasil lain yang telah ditetapkan (kejadian buruk atau kadar kehamilan berganda (mempunyai kembar/ketiga tiga)).

300 mg berbanding 600 mg progesteron faraj

Tidak jelas sama ada 300 mg progesteron faraj mempunyai kesan ke atas kelahiran hidup, kehamilan yang berterusan, keguguran, atau kejadian buruk jika dibandingkan dengan 600 mg progesteron faraj.

Laluan pemberian progesteron yang berbeza berbanding laluan faraj

Kami tidak tahu sama ada laluan progesteron lain (intramuskular, oral, atau subkutaneus) mempunyai kesan ke atas kelahiran hidup, kehamilan berterusan, dan keguguran jika dibandingkan dengan progesteron faraj. Progesteron intramuskular boleh mengakibatkan peningkatan besar dalam kejadian buruk (kesakitan di tapak suntikan), namun kepastian bukti adalah sangat rendah.

Intervensi lain berbanding plasebo atau tiada rawatan

Kami tidak tahu sama ada intervensi lain (agonis GnRH atau suntikan hCG) mempunyai kesan ke atas hasil yang telah kami tetapkan.

Kepastian bukti

Bukti untuk kebanyakan perbandingan adalah berkepastian sangat rendah hingga rendah. Batasan utama bukti adalah pelaporan kaedah kajian yang lemah dan ketidaktepatan disebabkan jumlah wanita yang rendah dalam kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information