Intervensi untuk memperbaiki kesejahteraan psikososial wanita pembawa mutasi-BRCA berikutan pembedahan pengurangan risiko

Latar belakang
Wanita yang diuji positif untuk perubahan (mutasi) pada salah satu gen BRCA (berkaitan dengan pembaikan DNA BRCA1 atau berkaitan pembaikan DNA BRCA2 (BRCA1 atau BRCA2)) mempunyai lebih risiko untuk mendapat kanser payudara dan tiub-ovari (kanser fallopian tiub atau ovari). Sebilangan besar wanita pembawa BRCA akan memilih untuk menjalani pembedahan membuang tisu payudara dan tiub fallopian dan ovari mereka untuk mengurangkan risiko mereka mendapatkan kanser payudara dan kanser tubo-ovari. Jenis pembedahan seperti ini boleh mengubah cara hidup, dan wanita mungkin mengalami perubahan fizikal dan emosi yang negatif sebagai akibatnya. Perubahan ini boleh mempengaruhi fungsi dan penampilan badan mereka, yang seterusnya boleh mempunyai kesan psikologi yang negatif terhadap wanita dan perhubungan mereka.

Soalan-soalan ulasan
Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui jika intervensi boleh membantu dengan kesan-kesan sosial dan psikologikal daripada perubahan fizikal dan emosi dalam kalangan wanita yang mempunyai pembedahan pengurangan risiko.

Penemuan-penemuan utama
Kami mendapati dua buah kajian yang memeriksa intervensi psikososial untuk wanita yang telah mengalami pembuangan tiub fallopian dan ovari mereka untuk mengurangkan risiko kanser tubo-ovari mereka.

Satu kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta diletakkan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) telah menilai program pelatihan mengurangkan stres berasaskan kesedaran untuk gejala-gejala menopaus selepasmenjalani pembedahan pengurangan risiko. Walaupun terdapat peningkatan dalam skor kualiti hidup yang khusus kepada menopaus dalam jangka masa pendek dan panjang untuk wanita dengan gejala-gejala menopaus, intervensi tersebut tidak dikaitkan dengan peningkatan dalam fungsi seksual atau stres.

Wanita yang mengambil bahagian dalam kajian bukan rawak semuanya menerima intervensi kajian tersebut dan memberi skor kepada diri mereka sendiri tentang item-item tertentu yang berkaitan dengan fungsi psikoseksual dan penyesuaian psikologi sebelum dan selepas intervensi (pendidikan kesihatan seksual yang bertujuan, kesedaran badan dan latihan relaksasi, dan strategi terapi kognitif berasaskan kesedaran). Mereka juga menerima sesi psikopendidikan berkumpulan dan kaunseling melalui telefon. Hasil-hasil kajian tersebut adalah berdasarkan perbezaan antara skor sebelum dan selepas. Semua wanita yang direkrut untuk kajian tersebut mempunyai risiko kanser tubo-ovari berdasarkan kehadiran gen BRCA yang berbahaya atau rosak, tetapi tidak mempunyai sejarah peribadi kanser tubo-ovari dalam kumpulan yang dikaji.

Tiada kajian yang melaporkan tentang intervensi sosial dan psikologikal berikutan pembedahan pengurangan risiko untuk membuang tisu payudara dalam pembawa BRCA.

Kualiti bukti kajian
Kepastian (kualiti) bukti tersebut berkisar daripada sederhana hingga sangat rendah, dengan hanya satu kajian rawak terkawal dan satu kajian bukan rawak yang tidak mempunyai perbandingan yang dimasukkan ke dalam ulasan tersebut. Kedua-dua kajian melibatkan bilangan wanita yang kecil.

Kesimpulan
Bukti yang terhad, kepastian yang sederhana ke sangat rendah bermaksud bahawa kami tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan mengenai intervensi psikososial berikutan pembedahan pengurangan risiko wanita pembawa BRCA terhadap peningkatan kualiti hidup dan penyesuaian psikologikal (emosi). Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk menentukan cara terbaik untuk memberi sokongan kepada wanita yang memilih untuk menjalani pembedahan pengurangan risiko.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus (sebelum ini dikenali sebagai Penang Medical College)). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi faezah@ms.pmc.edu.my

Tools
Information