Latar belakang
Setiap tahun pendarahan subarachnoid, sejenis strok yang disebabkan oleh pendarahan ke ruang sekeliling otak, menjejaskan sembilan orang bagi setiap 100,000 populasi. Mortaliti (kematian) pendarahan subarachnoid adalah 30% hingga 45%, dan 20% yang terselamat menjadi bergantung dalam aktiviti kehidupan seharian. Pada masa ini, rawatan jangka pendek boleh melibatkan perubahan tekanan darah dan sama ada mendorong hipertensi (iaitu, meningkatkan tekanan darah), atau menurunkan tekanan darah; walau bagaimanapun, kesan berfaedah dan berbahaya daripada perubahan tekanan darah pada orang dengan pendarahan subarachnoid akut adalah tidak jelas.
Soalan ulasan
Matlamat kami adalah untuk menilai kesan berfaedah dan berbahaya daripada mengubah tekanan darah pada orang yang mengalami pendarahan subarachnoid akut.
Tarikh carian
Kami mencari pangkalan data saintifik dari permulaannya hingga September 2020.
Ciri-ciri kajian
Kami mengenalpasti tiga kajian klinikal rawak (kajian di mana peserta dimasukkan ke dalam satu atau dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) yang menilai perubahan tekanan darah pada orang yang mengalami pendarahan subarachnoid akut. Dua kajian klinikal rawak mendaftarkan 61 peserta membandingkan hipertensi yang diinduksi dengan plasebo (rawatan palsu) atau tanpa rawatan. Satu kajian klinikal rawak mendaftarkan 224 peserta membandingkan menurunkan tekanan darah dengan plasebo. Kami menggunakan analisis kajian berurutan untuk menganggarkan bilangan peserta (jumlah maklumat) yang diperlukan untuk menolak atau mengesan kesan rawatan yang penting. Analisis kajian berurutan menunjukkan bahawa terdapat kekurangan maklumat untuk semua hasil. Semua kajian adalah berisiko tinggi berat sebelah dan kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.
Keputusan utama dan kesimpulan
Ulasan kami menunjukkan bahawa terdapat kekurangan maklumat tentang kesan penting rawatan akibat hipertensi yang diinduksi atau tekanan darah yang diturunkan pada orang yang mengalami pendarahan subarachnoid akut. Oleh itu, kesan berfaedah dan berbahaya tidak dapat dinilai secara menyeluruh. Terdapat keperluan mendesak untuk kajian rawak yang menilai kesan perubahan tekanan darah pada orang dengan pendarahan subarachnoid akut, yang melaporkan hasil penting pesakit seperti kematian, kesan sampingan serius, pendarahan semula, iskemia serebrum tertunda (pengurangan aliran darah ke otak), kualiti hidup, dan hidrosefalus.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.