Intervensi penurunan berat badan pada orang dengan penyakit buah pinggang kronik yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes

Apakah isunya?

Orang yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes dan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) mungkin mengalami perkembangan yang lebih cepat ke arah kegagalan buah pinggang berbanding dengan mereka yang mempunyai berat badan yang sihat. Sesetengah orang dengan penyakit buah pinggang yang lebih lanjut mungkin memerlukan rawatan seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang. Obesiti boleh menyukarkan rawatan ini dan boleh meningkatkan risiko komplikasi kesihatan seseorang. Terdapat penyelidikan terhad yang melihat sama ada intervensi penurunan berat badan adalah selamat dan bermanfaat untuk membantu penghidap CKD menurunkan berat badan, meningkatkan fungsi buah pinggang mereka, dan hidup lebih lama.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami menjalankan ulasan kesusasteraan untuk mengkaji faedah intervensi penurunan berat badan untuk orang dengan CKD yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Apakah yang kami temui?

Kami mengenal pasti 17 kajian melibatkan 988 orang dewasa yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes dengan CKD yang melihat sama ada intervensi penurunan berat badan meningkatkan kesihatan mereka. Kajian menyertakan orang dewasa dengan CKD tahap 1 hingga 4 atau penerima pemindahan buah pinggang. Tiada kajian yang menyertakan peserta yang menjalani dialisis atau penjagaan sokongan. Intervensi penurunan berat badan termasuk diet penurunan berat badan, program aktiviti fizikal, ubat untuk menyekat selera makan, dan pembedahan penurunan berat badan. Hasil utama yang kami minati adalah kematian, kejadian kardiovaskular, penurunan berat badan, indeks jisim badan (BMI), lilitan pinggang, protein dalam air kencing (proteinuria), dan tekanan darah (BP).

Selepas menggabungkan kajian yang sedia ada, tidak pasti sama ada intervensi penurunan berat badan membantu orang hidup lebih lama atau menghalang kejadian kardiovaskular seperti komplikasi jantung atau strok kerana tiada kajian yang disertakan menilai hasil tersebut. Kami mendapati jika dibandingkan dengan tiada intervensi penurunan berat badan, intervensi penurunan berat badan boleh menyebabkan lebih banyak penurunan berat badan. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan yang dilihat dalam BMI, lilitan pinggang, proteinuria, atau BP. Kami mendapati bahawa pembedahan penurunan berat badan mencapai lebih banyak penurunan berat badan daripada intervensi bukan pembedahan. Walau bagaimanapun, banyak kajian yang disertakan dalam ulasan ini dihadkan oleh bilangan peserta yang sedikit, risiko bias yang tinggi dan pelaporan penilaian hasil yang tidak konsisten yang membawa kepada kualiti keseluruhan bukti yang sangat rendah. Ini bermakna kami tidak dapat memastikan bahawa kajian masa hadapan akan menemui hasil yang serupa.

Kesimpulan

Bukti tidak begitu pasti tetapi mencadangkan bahawa berbanding dengan penjagaan biasa atau kawalan mereka yang mengambil bahagian dalam intervensi penurunan berat badan mungkin mengalami beberapa manfaat kesihatan termasuk penambahbaikan berat badan. Sama ada manfaat ini membantu mengurangkan hasil kardiovaskular dan risiko kematian adalah masih tidak pasti dan memerlukan kajian lanjut.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information