Soalan ulasan
Kami mengulas bukti keberkesanan dan keselamatan teknik yang diguna untuk membantu batuk dalam kalangan orang dengan gangguan neuromuskular kronik (teknik augmentasi batuk).
Latar belakang
Orang dengan gangguan neuromuskular (keadaan yang berkait dengan saraf yang mempengaruhi otot) mungkin mengalami kesukaran batuk dan membersihkan mukus dari saluran udara, membuat mereka berisiko tersedak, jangkitan dada berulang, dan penyakit paru-paru yang berterusan. Teknik augmentasi batuk, seperti batuk yang dibantu secara manual, “bagging” (mengguna beg kembung sendiri yang biasa diguna untuk resusitasi), bantuan batuk mekanikal (alat yang membersihkan rembesan dengan memberi tekanan positif kepada saluran udara, kemudian beralih dengan cepat ke tekanan negatif), bernafas 'katak' (kaedah bernafas untuk menolong seseorang mengambil isipadu udara yang lebih besar), dan menghimpun nafas (menarik beberapa nafas berurutan, mengumpul satu nafas di atas yang lain tanpa menghembus nafas di antara tarikan nafas) bertujuan memperbaik keberkesanan batuk, dengan matlamat mengurangkan bilangan atau keterukan (atau kedua-duanya) jangkitan dada, dan memperbaik keupayaan orang untuk melakukan aktiviti harian (keupayaan berfungsi) dan kualiti hidup.
Kaedah-kaedah
Kami lakukan carian pangkalan data yang meluas untuk kajian-kajian teknik augmentasi batuk dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak dengan gangguan neuromuskular kronik. Kami memilih kajian-kajian yang meletakkan orang kepada rawatan atau urutan rawatan secara kebetulan, kerana kajian jenis ini memberi bukti terbaik.
Keputusan dan kualiti bukti
Kami temui 11 kajian dengan 287 orang dan beberapa teknik augmentasi batuk. Satu kajian mengukur kesan rawatan jangka panjang, tetapi hanya diterbitkan sebagai abstrak tanpa maklumat yang cukup untuk menganalisis penemuan kajian dengan tepat. Kebanyakan kajian yang disertakan bermasalah dengan cara pelaksanaan, bagaimana penemuan dilaporkan, atau kedua-duanya, yang menyukarkan pentafsiran penuh keputusan-keputusan. Tiada kajian melaporkan hasil yang kami anggap paling penting untuk membuat keputusan tentang keberkesanan dan keselamatan teknik augmentasi batuk. Sebagai contoh, kajian tidak melaporkan bilangan atau durasi kemasukan ke hospital yang tidak dijadualkan untuk jangkitan dada, survival, keupayaan berfungsi, atau kualiti hidup. Keselamatan teknik augmentasi batuk tidak dapat ditentukan. Sesetengah kajian menunjukkan teknik augmentasi batuk mungkin lebih baik daripada batuk tanpa bantuan, tetapi keputusan adalah sangat tidak pasti. Tiada cukup bukti untuk menunjukkan satu teknik lebih baik daripada yang lain dalam memperbaik batuk.
Kesimpulan dan cadangan
Penemuan ulasan ini memberi maklumat yang tidak cukup untuk membuat keputusan tentang bila dan cara mengguna teknik augmentasi batuk dalam kalangan orang dengan gangguan neuromuskular kronik. Pada masa ini terdapat bukti kepastian yang sangat rendah untuk menyokong atau menentang keselamatan dan keberkesanan teknik augmentasi batuk dalam kalangan orang dengan penyakit neuromuskular kronik dan lebih banyak kajian diperlukan.
Bukti adalah terkini hingga 13 April 2020.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.