Pengukuran berkala isipadu perut semasa pemakanan tiub

Soalan ulasan

Adakah perlu mengukur isipadu perut secara berkala semasa pemakanan tiub? Sekiranya ya, apakah cara yang terbaik untuk memantau isipadu? Berapa kerapkah pemantauan perlu dilakukan? Berapa besarkah isipadu yang dianggap selamat?

Latar belakang

Orang yang menghidap penyakit akut mungkin tidak dapat makan kerana beberapa sebab (contohnya tidak sedar, memerlukan ventilasi mekanikal). Bagi mengekalkan tahap tenaga dan nutrien yang mencukupi untuk populasi ini, pemakanan tiub, iaitu, memberikan nutrien padat yang dicairkan melalui tiub yang fleksibel yang sampai ke perut melalui hidung, biasanya digunakan. Pemakanan tiub pada masa ini disyorkan sebagai rawatan pertama untuk orang yang sakit kritikal dengan penyakit akut kerana teknik ini boleh memberikan manfaat bukan nutrisi (contohnya melindungi sistem imun daripada tekanan disebabkan penyakit akut) serta nutrisi.

Walau bagaimanapun, orang dengan penyakit akut sering mempunyai perut dan usus yang tidak berfungsi, dan oleh itu tidak dapat mengosongkan isi perut. Apabila semakin banyak nutrien cecair dimasukkan ke dalam perut melalui tiub, ia boleh menyebabkan refluks (yang mana kandungan perut kembali naik ke saluran makanan) atau muntah dan boleh menyebabkan pneumonia aspirasi (apabila kandungan perut disedut ke paru-paru atau ke saluran udara menuju paru-paru).

Satu kaedah untuk mengelak komplikasi-komplikasi pemakanan tiub ini adalah untuk memantau isipadu residu gastrik (GRV) secara berkala, iaitu jumlah kandungan cecair yang dikeluarkan dari perut. Kelajuan pemakanan tiub boleh diselaraskan mengikut isipadu itu.

Walaupun memantau GRV boleh mengurangkan komplikasi-komplikasi pemakanan tiub, dan teknik ini telah disyorkan di banyak unit rawatan rapi (ICU) selama beberapa dekad, pengulas kekurangan data yang mencukupi untuk menyokong pendekatan yang sejagat. Beberapa penemuan penyelidikan menunjukkan bahawa pemantauan GRV tidak mempunyai kesan terhadap komplikasi-komplikasi pemakanan tiub; lebih-lebih lagi, teknik ini didapati mengurangkan jumlah nutrien yang diberikan, oleh itu memberi kesan kepada tujuan rawatan keseluruhan pemakanan tiub.

Pengulas membuat ulasan ini dengan harapan untuk menjawab soalan-soalan berikut. Adakah pemantauan GRV berkesan dan selamat? Apakah cara yang terbaik untuk memantau GRV (berapa kerap GRV patut diukur setiap hari; berapa besar ambang yang patut ditetapkan untuk GRV)?

Penemuan utama

Pengulas menyertakan bukti diterbitkan sehingga 3 Mei 2021. Pengulas menyertakan penemuan dari lapan kajian yang melibatkan 1585 orang dewasa, dengan kebanyakannya adalah lelaki (1019 lelaki berbanding 506 wanita) dengan purata usia 60 hingga 69 tahun. Semua kajian dijalankan di persekitaran ICU, dan ramai orang yang tenat dan memerlukan ventilasi mekanikal dan pemakanan tiub selama lebih daripada 48 jam. Tempoh kajian adalah antara tiga hingga 90 hari.

Dua kajian (417 peserta) membandingkan pemantauan GRV yang kurang kerap dengan rejim yang lebih kerap. Dua kajian (500 peserta) membandingkan tiada pemantauan GRV dengan pemantauan yang kerap. Satu kajian (329 peserta) menilai kesan-kesan ambang GRV dengan membandingkan ambang yang lebih tinggi pada masa aspirasi berbanding ambang yang lebih rendah. Dua kajian (140 peserta) membandingkan teknik mengembalikan berbanding membuang GRV yang diaspirasi/dikeluarkan.

Pengulas mendapati bahawa bukti adalah tidak pasti mengenai pemantauan GRV (kurang kerap berbanding lebih kerap; tiada pemantauan berbanding pemantauan kerap) terhadap kematian, pneumonia, muntah, dan tempoh tinggal di hospital.

Kebolehpercayaan bukti

Lima daripada lapan kajian yang disertakan menilai kematian sebagai hasil yang diukur. Kebanyakan kajian tidak dijalankan dengan baik dengan data yang sedikit, menyebabkan tafsiran sukar dilakukan. Oleh itu, kebolehpercayaan keseluruhan bukti yang disertakan untuk hasil-hasil ulasan ini adalah sangat rendah, dan penemuan-penemuan ini perlu diambil dengan berhati-hati.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information