Adakah pengambilan imunostimulan sebagai penambahan kepada ubat standard bermanfaat untuk orang yang mempunyai penyakit pulmonari obstruktif kronik, bronkitis kronik, atau kedua-duanya?

Mesej utama

1. Di kalangan orang dengan bronkitis kronik atau COPD, imunostimulan mungkin akan mengurangkan kemungkinan seseorang mengalami eksaserbasi dan memerlukan antibiotik untuk eksaserbasi.

2. Kami tidak pasti tentang kesan imunostimulan dalam mengurangkan risiko kematian, meningkatkan kualiti hidup, atau mengurangkan tempoh serangan atau tinggal di hospital.

3. Imunostimulan tidak dikaitkan dengan sebarang peningkatan risiko kesan-kesan sampingan.

Apakah penyakit pulmonari obstruktif kronik dan bronkitis kronik?

Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) dan bronkitis kronik adalah keadaan biasa yang menjejaskan saluran pernafasan secara kekal. Kebanyakannya disebabkan oleh pendedahan kepada asap rokok atau bahan pencemar udara yang lain. Orang dengan COPD atau bronkitis kronik mungkin mengalami simptom sesak nafas, batuk, dan pengeluaran kahak yang berterusan, serta berkemungkinan mengalami serangan (eksaserbasi) simptom-simptom ini. Serangan boleh melemahkan, memburukkan fungsi paru-paru dari masa ke masa, serta menyebabkan eksaserbasi lagi. Beberapa rawatan standard wujud untuk mencegah serangan, yang disyorkan kepada hampir semua orang yang mempunyai diagnosis COPD. Ini terutamanya termasuk berhenti merokok, mengambil bahagian dalam program senaman, mendapatkan vaksinasi untuk mencegah jangkitan, dan menggunakan ubat-ubatan tertentu melalui alat penyedut.

Apakah imunostimulan?

Imunostimulan adalah sejenis ubat yang tidak digunakan secara meluas untuk pengurusan jangka panjang COPD atau bronkitis kronik. Sesetengah saintis dan doktor mencadangkan bahawa imunostimulan, ditambah kepada rawatan standard, mungkin membantu untuk mengurangkan kekerapan dan keterukan serangan pada kumpulan pesakit ini, dengan meningkatkan tindak balas sistem imun terhadap pencetus kepada eksaserbasi (seperti jangkitan virus atau bakteria).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pemberian ubat imunostimulan, ditambah kepada rawatan standard, mengurangkan kekerapan serangan pada orang dewasa dengan COPD atau bronkitis kronik. Kami juga ingin mengetahui sama ada imunostimulan mengurangkan risiko kematian, meningkatkan kualiti hidup, dan mengurangkan tempoh dan keterukan serangan penyakit.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang melibatkan orang dewasa dengan COPD atau bronkitis kronik atau kedua-duanya, yang berlaku sekurang-kurangnya selepas 12 minggu. Kajian mestilah membahagikan peserta secara rawak untuk menerima sama ada imunostimulan atau plasebo (penggantian tidak aktif untuk sesuatu ubat), dan secara langsung membandingkan kedua-dua kumpulan itu. Kami menyertakan semua jenis imunostimulan dan laluan pemberian, walaupun kami mempunyai kriteria yang telah ditetapkan tentang apa yang membentukkan ‘imunostimulan’ kerana istilah ini agak luas.

Apa yang kami dapati?

Kami menjumpai 36 kajian yang melibatkan 6192 peserta. Kajian-kajian ini melihat kepada pelbagai imunostimulan sepanjang tempoh yang berkisar antara tiga hingga 14 bulan.

Keputusan menunjukkan bahawa peserta yang menerima imunostimulan berkemungkinan sedikit bebas daripada eksaserbasi dalam tempoh purata enam bulan, berbanding dengan mereka yang menerima plasebo. Merawat 11 orang dengan imunostimulan selama enam bulan akan mencegah seseorang daripada mengalami serangan. Kami juga mendapati bahawa imunostimulan mungkin mengurangkan bilangan peserta yang memerlukan antibiotik jika terdapat serangan. Imunostimulan nampaknya selamat, diterima dengan baik, dan tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko kesan sampingan.

Kesan imunostimulan terhadap kematian, kualiti hidup, tempoh serangan, dan tempoh penginapan hospital akibat serangan adalah tidak jelas. Imunostimulan secara umumnya disukai berbanding plasebo dalam kebanyakan kajian yang melihat kepada hasil ini.

Apakah batasan bukti?

Secara keseluruhan, kami berkeyakinan sederhana dengan keputusan tersebut. Keyakinan kami dikurangkan oleh perbezaan antara beberapa keputusan kajian, bilangan kecil kajian yang disertakan dalam analisis, dan dalam beberapa keadaan dimana tidak mempunyai data atau nombor peserta yang mencukupi untuk menentukan sama ada imunostimulan memang lebih baik atau berkesan sama seperti plasebo.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information