Intervensi senaman untuk orang dewasa dengan kanser yang menerima terapi sinaran (radioterapi) tanpa terapi tambahan untuk kanser

Apakah itu terapi sinaran?

Terapi sinaran (juga dipanggil radioterapi) ialah rawatan di mana dos sinaran radiasi yang tinggi ditujukan ke bahagian tertentu badan untuk membunuh sel-sel kanser. Satu daripada dua orang yang menghidap kanser akan menjalani terapi sinaran. Sesetengah orang menerima terapi sinaran sahaja manakala yang lain menerima terapi sinaran digabungkan dengan kaedah rawatan kanser lain yang menjejaskan seluruh badan (kemoterapi, imunoterapi atau terapi hormon). Kesan terapi sinaran yang tidak diingini biasanya menjejaskan bahagian badan tempat sinaran ditujukan, tetapi mungkin terdapat juga gejala-gejala yang menjejaskan seluruh badan. Kesan yang tidak diingini ini boleh menyebabkan penurunan aktiviti fizikal, prestasi fizikal dan kualiti hidup. Terdapat bukti bahawa orang yang menghidap kanser yang melakukan senaman mungkin kurang berkemungkinan mati akibat kanser atau sebab lain, berkemungkinan kurang mendapat kanser kembali, dan mungkin mempunyai kurang sedikit kesan yang tidak diingini daripada rawatan kanser.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada senaman boleh membantu meningkatkan hasil berikut pada penghidap kanser yang menerima terapi sinaran sahaja.

• Keletihan
• Kualiti hidup
• Prestasi fizikal
• Kesan psikososial (seperti kemurungan)
• Kelangsungan hidup secara keseluruhan
• Kembali bekerja
• Ukuran antropometrik (seperti berat badan)
• Kesan-kesan yang tidak diingini;

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data kesusasteraan perubatan elektronik untuk ksjian rawak terkawal (RCT) yang mendaftarkan orang dengan semua jenis dan peringkat kanser yang menerima terapi sinaran sahaja. Kajian rawak terkawal (RCT) yang layak dibahagikan secara rawak menugaskan beberapa peserta untuk menerima sebarang jenis intervensi senaman serta penjagaan standard dan lain-lain kepada penjagaan standard sahaja. Kami mengecualikan intervensi senaman yang melibatkan fisioterapi sahaja, program bersantai atau program gabungan dengan senaman dan, sebagai contoh, sekatan diet.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti yang dijumpai berdasarkan beberapa faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang telah kami temui?

Kami memasukkan tiga kajian yang mendaftarkan 130 orang dengan kanser payudara atau prostat. Kumpulan senaman mengambil bahagian dalam program senaman yang diselia tiga hingga lima kali seminggu selama lima hingga lapan minggu. Intervensi senaman termasuk memanaskan badan, senaman aerobik, dan menyejukkan badan.

Kami menganalisis perbezaan antara kumpulan senaman dan kumpulan kawalan dalam nilai hasil selepas terapi sinaran. Kami tidak dapat membandingkan perbezaan antara kumpulan dalam perubahan nilai hasil dari sebelum ke selepas terapi sinaran kerana kajian tidak memberikan maklumat yang mencukupi untuk perbandingan ini. Dalam beberapa hasil (keletihan, prestasi fizikal, kualiti hidup), sudah ada perbezaan antara kumpulan latihan dan kawalan pada awal kajian.

Senaman boleh mengurangkan keletihan dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kualiti hidup. Senaman boleh meningkatkan prestasi fizikal, tetapi kami sangat tidak pasti tentang hasilnya. Senaman mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan psikososial, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Dua kajian melaporkan tiada kesan senaman yang tidak diingini. Tiada kajian melaporkan hasil lain yang kami ingini.

Program senaman pada penghidap kanser yang menerima terapi sinaran sahaja mungkin memberikan beberapa faedah, tetapi bukti untuk menyokongnya adalah lemah. Disebabkan kekurangan bukti, kami tidak dapat mengesan dan juga tidak menolak kemungkinan behawa ada perbezaan yang jelas dalam hasil.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit atau sangat sedikit keyakinan terhadap bukti kerana hasilnya berdasarkan sebilangan kecil kajian yang mendaftarkan sangat sedikit orang, kerana orang dalam dua kajian mengetahui kumpulan mana mereka berada, dan kerana bukti memumpukan pada populasi tertentu sedangkan soalan yang ingin kami jawab adalah lebih luas. Ada kemungkinan penyelidikan yang lebih lanjut akan mengubah hasil kajian ulasan kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 26 Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information