Mesej utama
- GLP-1RA dan SGLT2i (dua ubat diabetes baharu) berkemungkinan mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular dan kematian daripada sebarang sebab pada penghidap diabetes dan penyakit kardiovaskular (penyakit jantung dan saluran darah).
- Ubat SGLT2i berkemungkinan mengurangkan risiko kemasukan ke hospital untuk kegagalan jantung dan ubat GLP-1RA boleh mengurangkan strok yang membawa maut dan tidak membawa maut.
- Kami memerlukan kajian lanjut untuk mengetahui sama ada ubat-ubatan ini juga mempunyai kesan positif terhadap kesihatan kardiovaskular tanpa diabetes atau jika kesan yang dilihat pada penghidap diabetes hanya disebabkan oleh keupayaan ubat-ubatan ini untuk mengawal gula dalam darah.
Apa itu penyakit kardiovaskular?
Penyakit kardiovaskular adalah sekumpulan keadaan yang menjejaskan jantung dan saluran darah. Ia adalah salah satu punca utama kematian di seluruh dunia. Bahan berlemak dalam darah boleh membina dan menyekat saluran darah, membawa kepada masalah seperti kegagalan jantung – apabila jantung tidak dapat mengepam darah ke seluruh badan dengan betul – strok dan serangan jantung. Orang yang tidak aktif atau berat badan berlebihan, atau mempunyai tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau diabetes berisiko mendapat penyakit kardiovaskular.
Beberapa jenis baru ubat diabetes, DPP4i, GLP-1RA dan SGLT2i, telah direka untuk mengawal gula dalam darah. Ia juga boleh menghalang komplikasi kardiovaskular dalam penghidap diabetes yang juga mempunyai penyakit kardiovaskular.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada ubat DPP4i, GLP-1RA dan SGLT2i adalah rawatan yang berkesan untuk penyakit kardiovaskular pada orang yang diketahui mempunyai penyakit kardiovaskular, dengan dan tanpa diabetes. Kami juga ingin tahu jika ubat tersebut menyebabkan kesan yang tidak diingini.
Kami berminat sama ada pesakit yang mengambil ubat ini mempunyai risiko yang lebih tinggi atau lebih rendah untuk: mati akibat penyakit kardiovaskular; mengalami serangan jantung yang membawa maut atau tidak membawa maut; mengalami strok yang membawa maut atau tidak membawa maut; mati kerana sebarang sebab; dimasukkan ke hospital kerana kegagalan jantung; dan mengalami kesan yang tidak diingini, seperti memburukkan fungsi buah pinggang, paras gula dalam darah yang rendah, patah tulang, dan radang pankreas (pankreatitis).
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat ubat DPP4i, GLP-1RA dan SGLT2i berbanding satu sama lain atau dengan plasebo (ubat yang kelihatan seperti ubat sebenar tetapi tidak mempunyai bahan aktif).
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 31 kajian. Kami dapat menggabungkan dan menganalisis bukti daripada 20 kajian, dengan 129,465 peserta. Enam daripada 20 kajian menyiasat DPP4i, 7 mengkaji GLP-1RA dan 7 menyiasat ubat SGLT2i, semuanya dibandingkan dengan plasebo. Peserta dalam kajian itu berumur antara 60 dan 71 tahun dan kebanyakannya menghidap diabetes.
Keputusan utama
UbatDPP4i berbanding plasebo:
- tidak mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular atau daripada sebarang sebab, atau risiko serangan jantung atau strok;
- mungkin tidak mengurangkan risiko kemasukan ke hospital akibat kegagalan jantung;
- mungkin tidak meningkatkan risiko memburukkan fungsi buah pinggang atau patah tulang dan mungkin tidak meningkatkan risiko paras gula dalam darah yang rendah;
- berkemungkinan meningkatkan risiko pankreatitis.
UbatGLP-1RA berbanding plasebo:
- mengurangkan sedikit risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular dan dari sebarang sebab, dan mengurangkan sedikit risiko strok;
- mungkin tidak mengurangkan risiko serangan jantung;
- tidak mengurangkan risiko kemasukan ke hospital akibat kegagalan jantung;
- boleh mengurangkan risiko memburukkan fungsi buah pinggang tetapi mungkin tidak memberi kesan pada pankreatitis;
- ketidakpastian tentang kesan pada paras gula dalam darah yang rendah dan patah tulang.
UbatSGLT2i berbanding plasebo:
- mungkin mengurangkan sedikit risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular dan dari sebarang sebab;
- mengurangkan risiko kemasukan ke hospital akibat kegagalan jantung;
- tidak mengurangkan risiko serangan jantung dan mungkin tidak mengurangkan risiko strok;
- mungkin mengurangkan risiko memburukkan fungsi buah pinggang;
- mungkin tidak memberi kesan pada pankreatitis dan tidak memberi kesan kepada patah tulang.
Walaupun tiada kajian membandingkan satu ubat secara langsung dengan yang lain, kami menggunakan teknik statistik yang dipanggil meta-analisis rangkaian yang membolehkan kami membandingkan satu dengan yang lain. Keputusannya serupa dengan yang di atas.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kami yakin atau sederhana yakin dengan bukti kematian akibat penyakit kardiovaskular atau sebarang sebab, serangan jantung, strok dan kemasukan ke hospital akibat kegagalan jantung. Kami kurang yakin dengan bukti untuk kesan yang tidak diingini kerana beberapa kajian memberikan maklumat tentang kesan yang tidak diingini dan tidak banyak yang dilaporkan. Kebanyakan kajian melibatkan pesakit diabetes sahaja jadi keputusan ini mungkin disebabkan oleh kawalan yang lebih baik terhadap diabetes mereka, dan bukannya kesan ubat-ubatan terhadap penyakit kardiovaskular.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 16 Julai 2020.
Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my