Mesej utama
– Terdapat sedikit penyelidikan dalam bidang pemulihan motor pada orang yang amputasi disebabkan oleh punca vaskular.
– Kajian melaporkan beberapa keputusan yang positif, tetapi kami kurang yakin dengan keputusan itu kerana bilangan peserta yang kecil dan data yang terhad.
Apakah itu amputasi dan apa yang boleh berlaku selepas amputasi?
Amputasi adalah pemotongan bahagian luar badan. Amputasi akibat punca vaskular biasanya dikaitkan dengan penyakit kencing manis dan penyakit arteri periferal. Penyakit arteri periferal disebabkan oleh mendapan berlemak pada dinding arteri (juga dipanggil aterosklerosis) yang membawa kepada penyempitan arteri (juga dipanggil stenosis) dan sumbatan pada saluran darah utama yang membekalkan bahagian bawah kaki.
Selepas amputasi anggota bawah, proses pemulihan memerlukan penyesuaian fizikal. Pemulihan motor bertujuan untuk meningkatkan proses pemulihan dan penggunaan prostetik meningkatkan mobiliti, membolehkan kembali ke aktiviti biasa, dengan kehilangan fungsi minimum dan kualiti hidup yang lebih baik. Latihan kekuatan (dihuraikan untuk membina kekuatan dalam satu kumpulan otot pada satu masa) adalah teknik yang biasa digunakan untuk pemulihan motor berikutan pemotongan anggota bawah. Latihan kekuatan termasuk latihan untuk otot pinggul di sekeliling dan otot sisa anggota yang bertujuan untuk meningkatkan kekuatan otot. Intervensi terkini yang mungkin meningkatkan proses pemulihan boleh dilakukan di rumah. Ini termasuk pengimejan motor (pergerakan simulasi atau latihan mental tindakan tanpa benar-benar melakukan pergerakan), persekitaran maya (simulasi janaan komputer) dan pemudahan neuromuskular proprioceptive (meregangkan otot, bertujuan untuk mencapai kelenturan statik maksimum).
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada intervensi ini berkesan untuk pemulihan motor kerana kemudahan latihan di rumah dan kos yang lebih rendah mungkin menarik untuk pengamal jagaan kesihatan dan pesakit.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang direka dengan baik pada orang yang mengalami amputasi bawah lutut akibat penyakit arteri periferi atau penyakit kencing manis yang membandingkan intervensi yang berbeza untuk pemulihan motor antara satu sama lain. Intervensi boleh diberikan secara bersendirian atau digabungkan dengan penjagaan biasa (contohnya, pembalut luka dan penjagaan tunggul).
Apakah yang kami temui?
Kami menemui dua kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta dibahagikan antara kumpulan rawatan melalui kaedah rawak) dengan 30 peserta (carian terkini pada 9 Januari 2023). Satu kajian dengan lapan peserta menilai pengimejan motor penjagaan biasa digabungkan dengan berjalan berbanding berjalan sahaja. Satu kajian dengan 22 peserta membandingkan dua protokol latihan berjalan yang berbeza (satu memfokuskan pada tahap kemerosotan berbanding satu menumpukan pada tahap tugas). Kami mendapati tiada kajian yang menggunakan intervensi lain seperti persekitaran maya.
Keputusan utama
Tiada perbezaan yang jelas dalam penilaian mobiliti antara pengimejan motor penjagaan biasa digabungkan dengan berjalan dan berjalan sahaja.
Kedua-dua protokol latihan berjalan mungkin sedikit bertambah baik dari garis dasar kepada selepas rawatan untuk penilaian mobiliti. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan sampingan yang membandingkan dua protokol latihan berjalan yang berbeza.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin dengan bukti kerana ia hanya berdasarkan dua kajian dengan bilangan peserta yang kecil. Peserta-perserta kajian menyetahui rawatan yang mereka terima, dan ini boleh menjejaskan keputusan kajian.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Pencarian terkini adalah pada Mei 9.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.